,


Walau Banyak Manfaat, Ini 7 Kesilapan Mengurut Bayi Yang Tidak Disedari

Foto Kredit: shutterstock.com

“Kenapa Afifah ni merengek semacam je. Takkan tak suka diurut pulak? Atau aku yang salah teknik urutan bayi?”

Seperti yang kita sedia maklum, urutan bayi memberi berjuta manfaat kepada bayi sejak mereka baru lahir lagi. Namun, sesetengah ibu bapa berasa hairan kenapa bayi mereka langsung tak suka apabila diurut. Ada yang tak kenakah?

Mari kita lihat beberapa kesilapan mengurut bayi yang mungkin anda lakukan secara tidak sedar.

Walau Banyak Manfaat, Ini 7 Kesilapan Mengurut Bayi Yang Tidak Disedari

1. Mengurut Selepas Bayi Menyusu

Seeloknya tunggu sekitar 30-45 minit selepas menyusu untuk memulakan sesi urutan bayi. Tempoh mengurut yang terlalu dekat dengan waktu menyusu boleh menyebabkan ketidakhadaman atau muntah.

Foto Kredit: preciouslittlesleep.com

2. Masa Urutan Bayi Terlalu Lama

Ini adalah antara kesilapan yang paling selalu kita buat. Sebenarnya, tempoh mengurut selama 5 minit sudah mencukupi bagi bayi baru lahir.

Jika bayi memberi ‘eye contact’, merelakskan tubuh badannya, tersenyum dan membuat bunyi, ia menandakan bayi menyukainya dan bolehlah anda memanjangkan sedikit tempoh urutan bayi.

Foto Kredit: birthlight.com

3. Minyak Urut Yang Tidak Sesuai

Memang banyak produk yang mengeluarkan minyak bayi buat masa ini. Jadi, sebagai ibu bapa dan pengguna, kita haruslah bijak memilih jenis minyak urut yang baik untuk bayi.

Elakkan minyak yang terlalu wangi dan kuat baunya. Menurut pakar kulit, minyak yang paling baik untuk bayi adalah minyak khusus yang mengekalkan ciri semulajadi, kurang berbau, dan tidak merbahaya jika ditelan.

4. Sentuhan Yang Terlalu Lembut / Kuat

Urutan bayi tak semestinya terlalu lembut hingga tiada langsung tekanan pada sentuhan anda. Ada kajian menunjukkan bahawa sentuhan yang terlalu lembut boleh menyebabkan bayi berasa ‘geli’ dan tidak selesa.

Sebaliknya, sentuhan yang lebih tegar (tapi tidak terlalu kasar) akan membuatkan bayi berasa selamat dan nyaman. Lihat pada reaksi bayi semasa mengurutnya, biasanya kita boleh mengagak sama ada mereka serasi dengan tekanan yang dikenakan atau sebaliknya.

Foto Kredit: shutterstock.com

5. Memaksa Bayi Yang Terlalu Penat

Selalunya ibu bapa akan mengurut bayi ketika menghampiri waktu tidur. Tapi kadangkala, ini adalah masa yang paling sukar untuk bayi anda kerana mungkin dia sudah terlalu penat. Jadi, kalau bayi nampak tidak selesa, berhenti dulu dan tidak perlulah mengurut lagi.

Anda boleh cuba mengurut bayi selepas bayi mandi pada waktu pagi. Ketika itu, bayi lebih segar dan mahu diurut.

Foto Kredit: shutterstock.com

6. Bukan Ibu Ayah Yang Mengurut Bayi

Benar, urutan bayi memberi banyak manfaat dari segi kesihatan. Tapi jangan lupa bahawa ia mempunyai kelebihan luarbiasa dalam menjalinkan ikatan ibu bapa dan bayi. Ikatan ini mampu menyumbang kepada perkembangan sosial, emosional dan minda bayi.

Walaupun dah banyak servis dan spa yang menawarkan perkhidmatan mengurut bayi, seeloknya ia dilakukan sendiri oleh ibu bapa. Bahkan. sesetengah pakar berpendapat bahawa tindakan ini secara tidak langsung mengajar si kecil ‘terbiasa’ dengan sentuhan oleh orang luar.

Foto Kredit: bloomingbabiesyorkshire.co.uk

7. Mengurut Sambil Main ‘Handphone’

Gangguan seperti ini rasanya tak perlu diterangkan lagi dalam masyarakat moden. Dengan tidak memberi perhatian, urutan anda kurang berkesan dan boleh mengganggu proses bayi anda untuk fokus.

Idealnya, urutlah bayi anda di kawasan yang senyap supaya anda berdua dapat merasai pengalaman yang seronok dan relaks.

urutan bayi
Foto Kredit: fr.dreamstime.com

Jadikan Urutan Sebagai Rutin Harian

Supaya bayi lebih tenang untuk diurut, cuba lakukan urutan pada waktu yang sama dan di tempat yang sama setiap hari. Jadikan ia sebagai rutin. Ini akan membantu bayi ‘mengenal’ aktiviti yang bakal dijalankan sekaligus membuatnya lebih mudah bekerjasama dan bersedia untuk diurut.

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

tuam bayi

7 Tips Menggunakan Tungku Bayi Dengan Betul, Baru Selesa!

5 Aktiviti Yang Mesti Dielakkan Oleh Wanita Berpantang. Bahaya!