Urutan Postnatal (7 Sebab Ibu Malaysia & Singapura Perlu Tahu)

Bagi wanita yang pertama kali melahirkan, mungkin belum biasa dengan rutin pemulihan tradisional yang antaranya melibatkan urutan postnatal atau selalu orang panggil urut selepas bersalin. Sehingga kini, samada di Malaysia atau Singapura, urut bersalin masih diamalkan kerana manfaatnya yang begitu banyak.

Kami pasti, akan ada dialog seperti ini:

“Susahnya nak cari tukang urut selepas bersalin dekat area ni. Tapi nanti kalau tak cari cepat, takut Mak marah pulak. Pentingkah sangat ke urut bersalin ni?”

Sungguhpun kajian secara saintifik tidak banyak yang dijalankan secara mendalam tentang urut bersalin, namun kebanyakannya menunjukkan hasil positif dan selamat.

Izinkan kami berkongsi.

7 Sebab Wanita Mesti Buat Urutan Postnatal Lepas Bersalin

PantangPlus.com ingin berkongsikan antara kebaikan dan kepentingan urut bersalin yang patut ibu-ibu tahu.

1. Melegakan Rasa Sakit Badan

Proses mengandung dan bersalin adalah proses yang amat memenatkan, Ia banyak memberi tekanan pada bahagian tubuh terutamanya bahagian bawah abdomen, belakang, dan pinggang.

Sejurus selepas bersalin, anda masih terus mengerahkan tenaga untuk menjaga serta menyusukan bayi. Sesetengah posisi menyusu badan boleh menjadikan tubuh anda sakit dan tidak selesa pada awalnya.

Urut bersalin dapat membantu anda untuk relaks dan melegakan rasa sakit yang dialami seperti lenguh, pening, sakit otot, sengal urat, dan lesu.

2. Urutan Postnatal Melancarkan Perjalanan Darah

Urutan lembut seluruh badan juga mampu melancarkan lagi perjalanan darah di samping membantu membuang toksin dalam badan.

Dengan teknik yang betul, ia juga dapat mengeluarkan darah beku yang terperangkap di dalam rahim dengan berkesan.

3. Menggalakkan Pengeluaran Susu Ibu

Banyak petua orang dulu-dulu mempercayai bahawa urut bersalin amat berkesan untuk mengatasi masalah kurang susu badan atau puting tersumbat.

Dari satu sudut, ia dilihat ada benarnya kerana pengeluaran susu ibu boleh terjejas akibat stres. Apabila berurut, tubuh akan menjadi kurang stres dan secara tidak langsung ia membantu proses penghasilan susu ibu dengan lebih efektif.

Selain itu, sentuhan juga membantu rembesan hormon oksitoksin yang mencetuskan let down reflex, lalu menggalakkan produksi susu ibu daripada puting payudara.

4. Mencegah Tekanan Selepas Bersalin (Postnatal Depression)

Seperti yang disebutkan di atas, urutan dapat membantu anda relaks. Selain disebabkan sentuhan, aroma daripada minyak herba juga membantu deria anda untuk berasa lebih tenang dan segar.

Apabila kurang stres, anda akan lebih yakin mengurus bayi dan mampu menjaga kesihatan diri dengan baik. Dengan ini, risiko meroyan atau postnatal depression dapat dikurangkan.

5. Urutan Postnatal Mengembalikan Bentuk Tubuh

Seperti yang kita sedia maklum, urutan dapat membantu memecahkan lemak yang terkumpul bagi membantu proses kehamilan.

Selalunya, urut bersalin akan disertai dengan pemakaian bengkung yang akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan serta mengembalikan bentuk tubuh yang asal.

6. Memberi Peluang Ibu Dimanja Dengan Urut Bersalin

Setelah seharian mengurus dan menyusukan bayi dalam tempoh berpantang, tentu ibu akan berasa lega apabila diberi sedikit masa untuk berehat.

Ketika inilah ibu dapat mengadukan sebarang kesakitan, meminta nasihat, berbual-bual, atau menenangkan fikiran tanpa perlu memikirkan bayi yang menangis.

7. Mempercepatkan Proses Pemulihan Selepas Bersalin

Selain begitu banyak manfaat yang diperolehi sama ada secara fizikal mahupun mental, urut bersalin mampu mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin.

Dapatkan Nasihat Doktor Jika Ragu-ragu Terhadap Urutan Bersalin

Umumnya, urutan postnatal adalah selamat untuk semua wanita. Namun, seeloknya wanita yang bersalin secara pembedahan menunggu sehingga 12-14 minggu sebelum memulakan sebarang rutin urutan. Pastikan luka anda telah sembuh dan anda boleh berbaring dengan selesa semasa urutan bersalin dijalankan.

Dapatkan tukang urut yang bertauliah dan berpengalaman untuk mengelakkan sebarang risiko. Jika ragu-ragu tanyakan pendapat doktor atau jururawat sebelum berurut.

Leave a Comment