7 Tips Mudah Bersalin Secara Normal, Bukan Caesar

Bersalin secara normal bermaksud bayi keluar dari tubuh ibu melalui vagina, samada melalui kontraksi normal atau melalui campurtangan perubatan yang dikenali sebagai induced labour. Bersalin secara normal bermaksud ibu dan janin dalam keadaan yang baik dan boleh melalui kelahiran semulajadi. Penyembuhan selepas kelahiran secara normal adalah lebih mudah dan kurang risiko komplikasi berbanding bersalin secara pembedahan Caeserean. Disini dikongsikan tujuh tips mudah bersalin secara normal untuk tatapan dan fahaman anda sekalian.

 

Saya kongsikan tips mudah bersalin, pengalaman sendiri

  1. Berlatih Kawal Pernafasan

Tips mudah bersalin

Pernafasan yang betul amat penting diamalkan lebih awal. Dalam kesakitan hendak bersalin, perkara yang tidak biasa dilakukan mungkin tidak dapat dilakukan langsung atau dengan betul. Cara mengawal pernafasan adalah dengan menarik nafas sedalamnya sehingga pangkal perut terasa mengembung. Disini terletaknya diafragma yang akan bergerak ke bawah, menolak perut supaya kembung ke luar. Diafragma yang bergerak ke bawah bermakna ia telah memberi ruang kepada paru-paru mengembang.

Tarik nafas selama dua saat, henti seketika dan lepaskan nafas selama dua saat juga. Mengikut pengalaman saya, cara mudah berlatih bernafas untuk bersalin adalah ketika anda membuang air besar. Kedengaran kelakar bukan? Tetapi itu adalah latihan ‘simulasi’ yang paling sesuai untuk berlatih. Kawal pernafasan menggunakan tempoh dua saat diikuti nafas sedikit laju sebelum fokus meneran najis apabila terasa bersedia (ketika merasai kontraksi usus).Ketika merasai sakit kontraksi bersalin juga, ubat yang paling mujarab adalah nafas yang betul dan berirama.

Terdapat tiga jenis pernafasan berirama, iaitu perlahan, sederhana dan diikuti sedikit laju yang dikenali dengan ‘hirup-hirup-lepas’. Setiap jenis pernafasan sesuai dengan fasa berbeza ketika proses bersalin.

Menurut  kajian, tempoh bersalin aktif bagi bakal ibu adalah dari 12 hingga 14 jam. Melalui pernafasan yang betul, oksigen dapat dibekalkan lebih optimum kepada tubuh dan bayi, dapat mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi otot supaya melakukan kontraksi yang lebih berkesan, memberi lebih kawalan dan ketenangan kepada ibu dan membantu melegakan otot pelvis untuk memudahkan proses bersalin secara normal.

 

  1. Pilih Snek yang Tepat

Tips mudah bersalin normal

Snek iaitu makanan ringkas mudah hadam harus dipilih dengan berhati-hati. Menurut Journal of Obstetrics and Gyneacology, wanita yang memakan kurma setiap hari selama sembilan bulan hamil, akan melalui proses bersalin 7 jam lebih pendek berbanding mereka yang tidak mengamalkan kurma.Menurut Melinda Johnson, jurucakap Akademi Nutrisi dan Dietetik di Amerika Syarikat, kurma mengandungi komponen kimia yang seakan-akan hormon oksitoksin yang menggalakkan kontraksi dan pembukaan pintu rahim untuk mudah bersalin secara normal.

Makanan yang terlalu berat seperti nasi dan lauk pauk patut dielakkan ketika hampir waktu bersalin. Ini untuk mengelakkan ketidakhadaman dan loya yang seterusnya menyukarkan si ibu. Malah, jika berlaku sebarang komplikasi ketika bersalin, ibu yang sedang berpuasa lima jam sebelum bersalin adalah lebih selamat untuk melalui proses pembedahan.

Untuk mudah bersalin secara normal, tenaga yang diperlukan masih boleh diperolehi melalui snek ringkas, mudah hadam, penuh tenaga dan berkhasiat. Pilihan saya untuk dibawa ketika ditahan di wad hospital termasuklah buah-buahan seperti pisang, kurma, kismis dan epal.

 

  1. Tidur dan Rehat Secukupnya Merupakan Tips Mudah Bersalin Yang Penting

Tips mudah bersalin

Ketika kandungan saya mencecah tujuh bulan keatas, tubuh mulai rasa sakit, terutamanya pinggang. Ini dek kerana menanggung berat kandungan dan berat badan sendiri yang meningkat 10kg dari ketika bujang. Apabila tubuh sakit, melakukan perkara yang meletihkan dan berat akan memudaratkan fizikal dan mental si ibu.

Mengikut kajian, ibu yang tidur malam kurang enam jam akan melalui tempoh bersalin 11jam lebih lama dan meninggikan kebarangkalian sebanyak empat kali ganda untuk melalui pembedahan Caesarean.  Lebih teruk lagi, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk selama hampir setiap hari, selama hampir lima bulan hamil. Oleh itu, saya tidak dapat tidur dengan lena dek tersengguk dari posisi dan kerana pinggang dan ruang dada yang terasa bagai dihimpit.

Cadangan yang baik adalah untuk melabur sedikit membeli bantal atau kerusi bersesuaian dengan tubuh ibu hamil, yang mana ia juga mungkin boleh dipakai ketika menyusukan anak kelak. Percayalah, itu antara perkara yang saya kesali dek kerana kedekut melabur untuk mendapatkan tidur malam yang selesa. Setelah bersalin, berjaga malam untuk memujuk anak menangis dan  menyusukan badan pula menjadi lumrah. Kekurangan tidur dan rehat sejak hamil boleh berlarutan sehingga selepas bersalin.

Ketika di trimester kedua, saya mula didatangi ‘nesting instinct’dimana saya kerap mengemas dan mengatur barangan serta seluruh rumah. Ia adalah naluri semulajadi si ibu yang bersedia untuk bersalin dan menyediakan persekitaran yang baik untuk cahaya matanya. Namun, saya cuba memastikan barangan bayi sudah hampir lengkap dibeli, dibasuh, digantung di dalam almari dan dipek di dalam beg ‘hospital’ sebelum masuk ke trimester ketiga. Lampin, ubat sapu, kapas, penyembur air, wipes dan set sikat sudah diletakkan didalam bakul kotak yang mudah dialih dan dibawa ke mana-mana.

Ia bertujuan supaya set lengkap selepas bayi mandi itu mudah dicapai dan digunakan sesiapa pun yang membantu saya ketika pantang. Ketika balik ke kampung juga, saya membawa bakul itu yang bersaiz lebih kurang sepemeluk yang dibeli di kedai terkemuka lima ringgit berjenama Jepun. Ketika di dalam kenderaan juga ia lebih mudah dilihat dan dicapai berikutan ia tidak bertutup. Ternyata orang sekeliling saya lebih mudah untuk membantu menguruskan bayi saya dan saya pula berjaya saya mendapat tempoh rehat yang lebih.

 

  1. Senaman Ringkas Antara Tips Mudah Bersalin

Antara senaman melegakan otot badan yang saya kerap amalkan adalah teknik ‘Kucing-Lembu’. Teknik lembu adalah dengan berada dalam posisi merangkak; tangan, lutut dan jari kaki di atas lantai. Kemudian muka dari memandang lantai, bergerak perlahan-lahan memandang depan seperti seekor lembu yang sedang berbunyi. Punggung turut digerakkan keatas supaya ‘melentik’ dan saya menbayangkan tulang belakang berbentuk ‘U’.

Teknik kucing pula adalah sambungannya dimana saya menggerakkan kepala perlahan-lahan dari memandang depan sehingga bergerak memandang perut, sambil tulang belakang dinaikkan. Saya membayangkan diri saya seperti kucing yang sedang marah, dimana tulang belakangnya menaik ke atas berbentuk ‘n’.  Saya ulangi sehingga tiga kali sambil mengawal pernafasan mengikut tips nombor satu di atas.

Teknik ini amat membantu tulang belakang dan pinggang saya melentur ke atas dan bawah dan melegakan sebarang rasa lenguh. Senaman ringkas ini amat mudah dan kerap saya lakukan selepas solat. Ini bermakna ia dilakukan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali sehari. Dengan bantuan suami pula, saya melakukan senaman lain.

Kami berdiri menghadap satu sama lain dan kaki dibuka seluas dan selari bahu. Kemudian saya memegang tangan suami sebelum bergerak perlahan-lahan dari posisi berdiri ke cubaan mencangkung. Set cangkung-bangun ini saya ulang maksima lima kali sahaja. JIka anda tidak mahu mencangkung, boleh juga lakukan ‘plie’iaitu separa mencangkung dimana lutut dibengkokkan sementara posisi badan kekal tegak.

‘Plie’ini tidak memerlukan anda bergantung kepada sesiapa dan tidak perlu membengkokkan lutut hingga mencangkung. Namun , terpulang senaman jenis mana untuk anda lakukan, demi keselesaan dan faedah kepada diri sendiri dan bayi. Faedah senaman ini adalah melatih kekuatan kaki dan melatih keseimbangan dek kerana tubuh ibu hamil akan berubah titik keseimbangan gravitinya setelah perutnya semakin membesar.

Tekoa King, jururawat bidan bertauliah dari Universiti California pula menekankan bahawa ibu yang lebih kerap bersenam akan mempunyai daya tahan lebih tinggi dan seterusnya akan membantu mental dan fizikal mereka untuk mudah bersalin secara normal, selain akan melalui tempoh bersalin yang lebih pendek berbanding ibu yang kurang aktif. Anda seharusnya mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar untuk senaman yang bersesuaian daripada jururawat atau doktor ketika temujanji kehamilan. Paling kurang pun, melakukan kerja rumah yang biasa dan bergerak secara aktif di rumah juga memadai untuk menggerakkan otot dan meningkatkan kadar denyutan jantung (cardio exercise).

 

  1. Salah Satu Tips Mudah Bersalin Ialah Posisi Manfaatkan Graviti

Graviti adalah satu perkara yang perlu dimanfaatkan untuk mudah bersalin secara normal. Banyakkan berjalan dan berdiri adalah salah satunya; di mana posisi berdiri anda akan menyebabkan kepala janin menekan dan merangsang bukaan ‘jalan’. Untuk berada dalam posisi berdiri dan berjalan yang agak lama, anda memerlukan sepasang kaki yang kuat. Sepasang kaki yang kuat adalah hasil daripada senaman ringkas dan latihan mencangkung yang anda boleh lakukan di tips sebelumnya. Manakala posisi duduk pula, anda boleh menegakkan badan ketika bersandar sambil melunjurkan kaki. Pastikan tekanan diberikan di kawasan pelvis dan anda berada dalam posisi rehat yang selesa.

Kadangkala ada yang menggalakkan si ibu untuk berjalan-jalan di taman atau di kompleks membeli-belah. Ini adalah untuk mengalihkan perhatian si ibu supaya tidak merasa bosan, merasa cepat penat disamping mengurangkan tekanan kerana asyik memikirkan perihal akan bersalin. Leka berjalan dan melihat sekeliling menyebabkan senaman kaki menjadi lebih efektif dan kurang membebankan. Sambil itu, boleh melayan kehendak hati melihat-lihat barangan bayi dan barangan rumah yang pasti boleh memberikan keterujaan terhadap si ibu untuk menimang cahaya matanya tidak lama lagi.

 

  1. Jaga Hubungan, Membaca dan Hadiri Kelas Keibubapaan

Ilmu memberi kesan signifikan kepada mental dan persediaan fizikal kepada para ibubapa. Membiasakan dan memahami setiap fasa kelahiran lebih memudahkan proses melahirkan. Berlatih dan berbincang adalah tindakan yang baik untuk mengatasi rasa tekanan dan takut yang keterlaluan. Rasa takut sekadarnya adalah naluri semulajadi dan tindakbalas yang normal. Melalui rasa takut, manusia menjadi lebih bersedia dengan cara untuk mengatasi dan melalui setiap perkara, termasuklah melalui proses melahirkan.

Untuk mudah bersalin secara normal, banyakkan membaca, bertanya dan menghadiri kelas keibubapaan yang boleh didapati percuma di klinik kesihatan kerajaan, atau sesi berbayar di hospital swasta. Pastikan semak tarikh yang ditentukan kerana jika kurang permintaan, mungkin sesi akan ditangguhkan dan anda mungkin hanya dapat menyertainya ketika di trimester ketiga.

Selain itu, cuba perbaiki hubungan sesama manusia dengan mengawal percakapan dan meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan. Dampingi, berbincang dan minta ibu anda memaafkan dan mendoakan anda supaya melalui proses melahirkan yang mudah. Hubungan baik juga perlu cuba dijaga dengan suami, ibu mertua, keluarga sendiri, rakan sepejabat dan jiran terdekat. Pesan dan elakkan mereka dari membunuh binatang secara kejam atau tanpa sebab.

Di PantangPlus, ada kelas untuk bakal-bakal ibu yang diadakan setiap bulan. Boleh hubungi mereka untuk maklumat lanjut.

 

  1. Pentingkan Doa, Jangan Ralit dengan ‘Air Selusuh’

Air Selusuh yang mengandungi ramuan akar kayu dikhuatiri mengandungi bahan yang tidak diketahui, dos yang tidak tepat dan bahan yang boleh menyebabkan keradangan. Malah seorang doktor tempatan pernah melakukan pendedahan bahawa air selusuh hanya memaksa pintu rahim terbuka sebelum waktunya, sehingga menyebabkan ibu merasa sakit lebih lama berbanding normal. Saya dan keluarga langsung tidak pernah menyentuh sebarang air selusuh dan kami semua alhamdulillah mudah bersalin secara normal.

Terlalu ralit dengan ‘kemujaraban’ air selusuh dikhuatiri akan menganggu kepercayaan akidah anda. Sekiranya mahu jalan paling selamat untuk akidah dan tubuh anda, bacaan ayat Quran dan zikir boleh dilakukan dan dihembus di dalam air masak biasa. Ia sepertimana yang dilakukan di masjid dan surau dimana bacaan yasin, tahlil dan doa dibaca beramai-ramai dan dihembus kedalam air biasa. Air masak biasa yang faedahnya umum diketahui, berfungsi untuk menghidrasi dan mengangkut nutrisi dalam badan.

Ketika di bilik bersalin, zikir nabi Yunus ketika di dalam perut paus telah di tampal di dinding oleh pihak hospital. Zikir tersebut berbunyi ‘Laa ilaahailla anta, subahanaka, inni kuntum minazzalimin’ dan bermaksud ‘Tiada tuhan selain Engkau (Allah), Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk golongan yang menzalimi diri sendiri’. Tujuan zikir ini adalah supaya Tuhan mengampunkan dosa melalui kesakitan bersalin, selain mengakui keesaan dan keagungan Allah sebagai Tuhan tempat bergantung.

Sekian sahaja perkongsian saya mengenai tips mudah bersalin secara normal. Bersalin normal adalah impian, namun jika anda terpaksa melalui pembedahan, ia bukanlah suatu hukuman. Teruskan percaya bahawa rintangan hidup menjadikan anda lebih kuat dan hebat, kerana itu peluang membuktikan bahawa anda mampu melaluinya.

Jika masih mencari pakej berpantang selepas bersalin, boleh dapatkan info lanjut di PantangPlus.

Terima kasih dan semoga segala urusan anda yang bermanfaat akan dipermudahkan.

Promosi Hari Malaysia Untuk Pakej Berpantang Anda!
Booking Slot Consultation Kami PERCUMA!
Slot Terhad Untuk 50 Pelanggan & Dapatkan Hadiah Menarik Dari Kami!


Leave a Comment