Tips Elak Sembelit Ketika Berpantang. Caranya Mudah Sahaja!

Sembelit ketika berpantang bukanlah sesuatu yang aneh untuk ibu selepas bersalin. Sebenarnya adalah normal jika ibu mengalami kesukaran membuang air besar beberapa hari pertama selepas melahirkan bayi. Berikut adalah tips elak sembelit ketika berpantang yang boleh diamalkan oleh para ibu selepas bersalin. Jangan sampai melarat!

1. Minum air suam secukupnya dapat menghindari sembeli ketika berpantang

Tips elak sembelit

Foto kredit: reviewjournal.com

Tahukah anda, sekitar 60% daripada badan kita merupakan air? Air merupakan elemen terpenting dalam kelangsungan proses tubuh seperti sistem pernafasan, saraf, perkumuhan dan pencernaan. Oleh itu, badan memerlukan air yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Sembelit ketika berpantang adalah salah satu petanda kurangnya air di dalam badan.

Menyusukan bayi juga boleh buat anda dahaga. Jadi para ibu disarankan agar minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air kosong sehari. Minumlah sedikit demi sedikit, tetapi kerap. Jangan sampai memaksa diri pula. Minum air secara berlebihan tidak akan memberikan manfaat tambahan, malah mungkin akan buat anda rasa tidak selesa.

2. Makan makanan berserat tinggi dapat mengelakkan sembelit ketika berpantang

Sembelit ketika berpantang

Foto kredit: dietspotlight.com

Makanan berserat tinggi membantu meningkatkan pergerakan usus dan melawaskan penghadaman. Ia juga membantu untuk melembutkan najis supaya anda tidak payah nak teran teruk-teruk semasa membuang.

Kumpulan makanan seperti bijirin penuh (wholegrains), kekacang, beras perang, buah-buahan segar dan sayur-sayuran elok diamalkan dalam diet seharian anda. Ambil makanan ini bersama makanan lain untuk mengelakkan gas berlebihan.

Buah-buahan yang sudah dikeringkan seperti kismis atau apricot pula sesuai untuk dijadikan snek sihat bagi mengisi perut yang lapar. Selain itu, buah prun merupakan satu pilihan yang bijak. Prun bukan sahaja mengandungi serat yang tinggi – sekitar 3g serat untuk setiap lima biji prun, malah mengandungi sorbitol, iaitu, bahan semula jadi yang akan merangsang pergerakan usus.

Sayur-sayuran berdaun hijau juga elok untuk diamalkan kerana ianya bukan sahaja mempunyai serat yang tinggi malah rendah kalori! Jadi ibu-ibu boleh makan dengan senang hati kerana kumpulan makanan ini tidak akan membuatkan anda gemuk.

 

3. Banyakkan bergerak

Elak sembelit semasa berpantang

Foto kredit: momjunction.com

Amalan gaya hidup aktif dapat melegakan masalah pencernaan seperti sembelit atau kembung perut. Ia juga membantu tubuh untuk menyerap nutrien dengan lebih berkesan.

Bagaimana bersenam melegakan sembelit? Aliran darah akan meningkat ke semua otot badan kita apabila kita bersenam. Ini secara tidak langsung akan menjadikan otot-otot dalam sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik. Jadi makanan pun akan terproses dengan lebih cepat.

Pastikan anda membuat senaman setiap hari. Duduk atau baring terlalu lama akan membuatkan sembelit lebih teruk. Mulakan dengan senaman yang ringan; mengikut kemampuan.

Misalnya, banyakkan berjalan. Sekiranya masih di hospital, bangunlah daripada katil dan berjalan secara dekat tetapi kerap. Mahu keliling wad pun, boleh juga. Apabila di rumah pula, sekadar bersiar-siar di sekeliling kawasan perumahan pun sudah memadai.

4. Sedari isyarat badan

Cegah sembelit ketika berpantang

Foto kredit: aliexpress.com

Jangan abaikan isyarat ‘membuang’ daripada badan anda dek kerana takutkan luka jahitan yang belum sembuh. Makin kita tahan, makin keras najis kita nanti. Dikhuatiri melarat hingga kepada buasir pula.

Sebenarnya, perasaan takut untuk membuang air besar selepas bersalin dek kerana luka jahitan membuatkan masalah ini semakin teruk. Kerunsingan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada otot dan saraf sekaligus menyukarkan lagi proses tersebut. Cuba alihkan perhatian dengan membaca buku atau majalah semasa di dalam tandas.

 

5. Posisi mirip mencangkung

Elak sembelit selepas bersalin

Foto kredit: google.com

Tips elak sembelit ketika berpantang seterusnya adalah kedudukan sewaktu anda ‘melabur’. Mencangkung adalah posisi paling ideal untuk membuang air besar. Ini kerana posisi tersebut menepati fisiologi badan manusia untuk tujuan pencernaan.

 

Bagaimana sekiranya rumah anda hanya ada tandas duduk? Jangan risau, anda boleh ikuti petua-petua di bawah.
– Duduk sepenuhnya. Jangan bertenggek di atas tandas. Jangan juga terus mencangkung kerana badan belum masih kuat.
– Luruskan dan bongkokkan badan berulang kali untuk membantu menggerakkan otot-otot perut anda.
– Letak kaki di atas bangku kecil ataupun jengketkan kaki supaya lutut lebih tinggi daripada kedudukan pinggul.
– Pada masa yang sama, letakkan siku di atas lutut

Tips elak sembelit selepas bersalin

Foto kredit: sharktankshopper.com

6. Pengambilan ubat julap dapat membantu sembelit ketika berpantang

Julab adalah sejenis bahan yang membantu merangsang pergerakan usus sekaligus melancarkan proses penyahtinjaan. Sesetengah doktor akan membekalkan ubat julap atau pelembut najis apabila anda keluar daripada hospital.

Julab selamat untuk mendapatkan kelegaan bagi jangka masa pendek. Namun begitu, penggunaan ubat julap secara berterusan akan memberi kesan sampingan kepada kesihatan usus. Contohnya, kekejangan perut yang ringan, cirit-birit, loya dan kembung perut.

Sebab itu penting untuk kita mendapatkan konsultasi daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu. Ini kerana keperluan dos setiap individu berbeza mengikut situasi masing-masing.
Selalunya doktor akan mengesyorkan ubat julap jenis cecair terlebih dahulu untuk diminum.

Sekiranya selepas tiga atau empat hari sembelit masih tidak surut, julab jenis supositori mungkin akan dicadangkan. Julab jenis supositori ini perlu dimasukkan ke dalam dubur dan mampu memberikan kelegaan segera.

 

Rujukan

https://www.healthspan.co.uk/advice/why-exercise-is-good-for-your-digestive-system
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/constipation/in-depth/laxatives/art-20045906
https://water.usgs.gov/edu/propertyyou.html
https://www.babycenter.com.my/a1044760/sembelit-selepas-bersalin
http://makbuyong.com/makanan-dan-minuman-untuk-elak-sembelit-ketika-berpantang/

7 Tips Atasi Sembelit Ketika Berpantang Selepas Bersalin

 

 

Promosi Hari Malaysia Untuk Pakej Berpantang Anda!
Booking Slot Consultation Kami PERCUMA!
Slot Terhad Untuk 50 Pelanggan & Dapatkan Hadiah Menarik Dari Kami!


Leave a Comment