,


6 Tips Berpantang Selepas Bersalin dari Doktor Perubatan

Berpantang selepas bersalin

“Jika tak ikut cara berpantang orang dahulu selepas bersalin nanti, adakah ianya akan menjejaskan kesihatan? Bagaimanakah cara berpantang yang relevan untuk ibu-ibu pada zaman moden ini ya?”

Berpantang Selepas Bersalin

Buat para ibu yang berada dalam zaman moden ini, isu berpantang selepas bersalin merupakan salah satu isu yang pastinya menimbulkan dilema dalam diri. Sama ada mahu mengamalkan petua berpantang orang zaman dahulu atau berpantang mengikut nasihat pakar perubatan masa kini?

Seiring dengan gaya hidup zaman sains dan teknologi masa kini, kemajuan sains perubatan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Jika dahulu, adalah sangat sukar untuk kita mendapatkan maklumat-maklumat tentang kesihatan. Tetapi kini, semuanya berada di hujung jari. Hanya dengan satu klik, pelbagai info kesihatan sahih dapat kita perolehi.

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang tips-tips berpantang selepas bersalin untuk ibu moden. Tips-tips ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

6 TIPS BERPANTANG LEPAS BERSALIN

TIPS 1 : MINUM AIR SECUKUPNYA

Ibu-ibu yang berpantang selepas bersalin memerlukan air yang secukupnya iaitu 2 hingga 3 liter sehari. Ianya penting bagi penghasilan susu ibu yang banyak kerana susu ibu mempunyai komponen air yang tinggi. Selain itu, minum air yang mencukupi dapat mengatasi masalah sembelit.

Mengapa orang dahulu kata, minum air banyak masa pantang lepas bersalin nanti urat kembang?

Secara logiknya, pada zaman dahulu, sumber air adalah sangat sukar didapati dan sangat terhad. Mereka perlu mengambil air dari perigi, dapatkan kayu untuk hidupkan api serta perlu jerang air dengan cara yang betul bagi mengelakkan air yang dimasak tidak berbau asap yang mana boleh menyebabkan rasa payau. Jika ibu-ibu minum air dengan kuantiti yang banyak, ia pasti menyukarkan. Disebabkan faktor-faktor ini, air minuman dicatu buat mereka.

Kini, kemudahan sudah tersedia. Jika tidak mahu memasak air, para ibu boleh terus minum air daripada penapis air mengikut keperluan yang sepatutnya. Tiada istilah kembang urat dan sebagainya jika ibu-ibu minum banyak air semasa berpantang selepas bersalin.

 

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : sydsvenskan.se

TIPS 2 : MAKAN MAKANAN YANG BERKHASIAT

Ibu yang berpantang selepas bersalin memerlukan zat nutrisi daripada makanan yang berkhasiat. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar pengambilan makanan yang terbaik adalah mengikut sukatan ini – suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein, separuh pinggan adalah sayur dan buah.

Ikan, ayam, daging dan telur mengandungi protein yang tinggi dan amat diperlukan untuk pembaikan tisu-tisu badan.

Sayur-sayuran dan buah-buahan pula mengandungi serat untuk mengelakkan sembelit. Selain itu, untuk menggantikan darah yang hilang selepas bersalin serta mempercepatkan penyembuhan luka, vitamin-vitamin seperti Vitamin A, B1, B2 dan B6, dan C, asid folik, zat besi dan garam galian (seperti kalium) yang terkandung dalam sayur-sayuran dan buah-buahan dapat membantu.

Jika makanan ibu berpantang dicatu atau disekat dengan hanya nasi putih dan ikan kering atau ikan bilis sahaja, nutrisi para ibu jelas tidak mencukupi.

Namun, sekiranya para ibu mempunyai alahan terhadap makanan tertentu atau sistem penghadaman tidak sesuai dengan sesetengah makanan, makanan-makanan tersebut perlu dielakkan.

Mengapa wujud petua makan ikan atau ayam atau telur, kelak tempat luka pembedahan atau kecederaan akan gatal?

Secara logiknya, pada zaman dahulu, tiada orang menjual ayam dan telur di pasar seperti sekarang. Ayam perlu dibela sendiri dan ikan pula perlu dijala di laut atau dikail di sungai, bukan dibeli di kedai atau pasar. Ayam dikira makanan mewah zaman dahulu dan jika setiap hari para ibu makan ayam, habislah ayam sereban. Dahulu, ayam dan ikan tidak boleh disejukbekukan seperti sekarang. Maka, muncul petua makan ayam dan telur nanti gatal.

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : plus.google.com

TIPS 3 : KEKAL AKTIF SEMASA BERPANTANG

Selepas bersalin, para ibu tidak seharusnya bermalas-malasan ketika berpantang. Ibu berpantang perlu bergerak mengikut daya kemampuan masing-masing. Petua orang dahulu meminta ibu berpantang tidur atau berbaring sahaja semasa berpantang mungkin sudah tidak relevan pada masa ini kerana zaman kita berbeza. Teknologi masa kini banyak memudahkan kehidupan seharian kita.

Melakukan kerja rumah merupakan salah satu cara untuk ibu-ibu kekal aktif semasa berpantang. Ianya bertujuan untuk mengelakkan darah beku pada kaki kerana jika darah beku itu bergerak ke paru-paru, ianya boleh membahayakan para ibu dan boleh membawa maut.

Walau bagaiamanapun, usah lakukan kerja rumah sehingga mendera dan membahayakan diri sendiri, lakukan secara sederhana dan sekadar termampu sahaja.

Tidak semua orang mampu memiliki pembantu rumah atau pembantu untuk menjaga para ibu ketika berpantang. Ibu-ibu yang masih mempunyai ibu atau ibu mertua yang menjaga anda semasa berpantang adalah sangat beruntung. Jika tidak, siapa lagi mahu menguruskan rumah tangga kita selain diri kita sendiri dan bantuan suami? Jadi, usah bimbang untuk kekal aktif semasa berpantang dengan melakukan kerja rumah mengikut kemampuan.

Pantang selepas bersalin
Foto Kredit : litefm.iheart.com

TIPS 4 : BERTUNGKU SECARA SEDERHANA

Bertungku selepas bersalin adalah dibolehkan selagi mana tidak berlebihan. Jangan ditungku pada bahagian luka disebabkan pembedahan Caesarean atau luka episiotomi.

Dari segi Sains, apabila kita bertungku, haba dari batu tungku akan menyebabkan saluran darah di kulit pada bahagian yang diletakkan batu tungku itu akan mengembang. Peredaran darah akan bertambah baik apabila salur darah tadi berkembang sedikit daripada yang asal. Dengan itu :

  • Nutrisi dan oksigen yang ada dalam darah akan pergi ke bahagian yang ditungku.
  • Melegakan rasa sakit dan lenguh di otot terbabit.
  • Meningkatkan fleksibiliti otot.
  • Membantu menyahkan bahan buangan apabila darah mengalir dengan baik.

Perlu diingat, batu tungku tidak boleh diletakkan lebih daripada 30 minit pada satu-satu tempat kerana dikhuatiri saluran darah itu akan mengecut.

Selain daripada batu tungku, ibu-ibu boleh menggunakan alternatif lain seperti pek berhaba untuk membantu mencapai objektif yang sama seperti bertungku. Walau bagaimanapun, tidak mengapa jika ibu-ibu tidak bertungku semasa berpantang kerana ianya bukan perkara yang salah dan para ibu tidak sepatutnya dipersalahkan.

Nota : Kulit manusia terdiri daripada banyak lapisan seperti dalam gambar rajah di bawah. Hanya sebahagian lapisan di bahagian atas abdomen sahaja yang mendapat kebaikan bertungku. Lapisan otot yang berada di bahagian dalam-dalam badan, tidak akan mendapat manfaatnya. Ini kerana, jika kita potong kulit badan, terdapat lapisan lemak dahulu dan kemudian barulah kelihatan lapisan otot. Lapisan lemak ini berfungsi untuk menapis haba. Maka haba tungku itu tidak akan sampai ke lapisan otot yang kedudukannya berada di bahagian dalam-dalam badan kita.

Pantang selepas bersalin
Keratan rentas lapisan abdomen

TIPS 5 : SEGERA KE HOSPITAL JIKA ALAMI MASALAH KESIHATAN

Jika ibu berpantang selepas bersalin mengalami sebarang masalah kesihatan atau kemusykilan tentang diri sendiri mahupun bayi, maklumkan kepada jururawat yang datang melawat para ibu di rumah. Ibu-ibu seharusnya pergi ke klinik atau hospital jika perlu.

Antara simptom-simptom merbahaya buat para ibu selepas bersalin adalah :-

  • Demam melebihi 38°C.
  • Sakit kepala yang teruk diiringi dengan mata kabur, muntah dan kaki bengkak.
  • Darah nifas yang keluar begitu banyak secara tiba-tiba. Ditambah dengan pening kepala atau denyutan nadi yang laju.
  • Sakit dada dan sukar bernafas secara tiba-tiba. Ditambah pula jika ibu turut mengalami batuk darah dan pening kepala.

Dalam keadaan seperti yang dinyatakan di atas ini, para ibu perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan daripada mereka yang lebih pakar.

Pantang selepas bersalin
Foto Kredit : 3a2ilati.com

TIPS 6 : BERFIKIRAN POSITIF

Terdapat banyak perubahan yang akan berlaku kepada ibu selepas melahirkan bayi. Ianya merupakan suatu perubahan besar dalam hidup terutamanya bagi para ibu yang pertama kali menimang cahaya mata.

Dalam keadaan ibu yang masih belum sihat sepenuhnya selepas bersalin, saat ini sememangnya waktu yang sukar kerana ibu bukan sahaja perlu menjaga kesihatan diri, malah turut perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran bayi yang baru dilahirkan.

Suami dan ahli keluarga terdekat seharusnya memberi sokongan padu dari segi mental, fizikal, emosi dan moral kepada para ibu agar ibu berpantang selepas bersalin ini dapat sentiasa berfikiran positif.

Buat para ibu, nikmati waktu berpantang kerana tidak semua orang melaluinya. Jika ibu-ibu dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dalam diri dari segi fikiran mahupun emosi, usah berlengah lagi, dapatkan rawatan segera.

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : islamozaik.com

BERANI BERPANTANG CARA MODEN

Biar pun para ibu dikecam kerana tidak mengikut cara berpantang orang dahulu, ibu-ibu harus kental menghadapi semua kecaman tersebut. Ibu-ibu harus kuat dan menjadi individu yang berani mempertahankan pendirian kerana kita mempunyai alasan yang kukuh dengan berpantang mengikut cara moden sebegini.

Betulkan yang salah dan biasakan yang betul.

Semoga tips-tips ini bermanfaat dan ibu-ibu dapat melalui tempoh berpantang selepas bersalin dengan jayanya.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Pautan asal perkongsian Dr. Rusyainie Ramli :
Pautan 1
Pautan 2
Pautan 3
Pautan 4
Pautan 5

Apa yang orang lain cari?:

  • tips berpantang selepas bersalin
  • berpantang dari sudut perubatan moden
  • Berpantang doktor
  • kaedah lepas besalin
  • makanan pantang yang tak boleh makanan selepas bersalin
  • tempoh berpantang dari segi perubatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

cara urutan bayi

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

Bolehkah Bayi Mandi Air Sejuk? Kalau Demam Macam Mana?