Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

cara urutan bayi

“Letihnya berjaga semalaman sebab baby asyik meragam. Sembelit ke? Kembung ke? Mungkin kena urut sikit agaknya baru selesa. Macam mana cara urutan bayi yang bagus ya?”

Pernahkah kita pergi memanjakan diri di spa? Ada juga muzik perlahan, pencahayaan yang malap, aroma yang menenangkan, dan yang paling seronok tentulah urutan yang melegakan badan. Walaupun diurut berjam-jam, rasa macam sekejap saja masa berlalu. Siap boleh tertidur lagi!

Begitulah keistimewaan urutan badan yang bukan saja dapat dinikmati oleh orang dewasa, tetapi juga anak kecil termasuklah bayi. Selepas mandi adalah waktu yang ideal untuk mengurut bayi. Dengan cara urut bayi yang betul, lebih mudah mereka tidur nyenyak sepanjang malam.

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

Cara urut bayi yang berkesan boleh memudahkan bayi untuk tidur lena pada waktu malam.

Berikut adalah cara urut bayi yang boleh anda praktikkan setiap hari.

1. Sediakan Tempat Yang Selesa

Pertama sekali, sediakan tempat yang paling selesa untuk mengurut bayi. Keringkan bayi dengan tuala selepas mandi supaya bayi tidak berasa sejuk. Pakaikan lampin jika anda khuatir bayi akan membuang air semasa diurut.

Pastikan semua kelengkapan telah ada di sisi supaya anda tidak perlu bangun dan bergerak ke mana-mana sepanjang sesi urutan nanti.

Antara kelengkapan yang akan digunakan adalah:

  • minyak urut
  • tuala kecil
  • pakaian bayi
  • selimut bayi
Urut Bayi
Foto Kredit: thechampatree.com

2. Tumpukan Perhatian Terhadap Bayi

Sebaik-baiknya anda juga perlu berada dalam keadaan yang selesa untuk mengurut bayi. Basuh kedua-dua belah tangan dengan bersih terlebih dulu dan matikan telefon bimbit agar anda dapat betul-betul fokus pada bayi.

Bercakap-cakaplah dengan bayi dan beritahunya bahawa anda akan mengurutnya. Walaupun bayi belum memahami perkataan, kata-kata anda dapat memberi isyarat tertentu buat bayi dan membuatnya berasa selamat.

Cara Urut Bayi

3. Mula Dari Kaki

Sebenarnya anda boleh memulakan urutan pada mana-mana anggota badan yang paling disukai oleh bayi. Namun, kaki adalah anggota yang sesuai kerana ia kurang sensitif berbanding bahagian-bahagian lain.

Mula-mula, oleskan sedikit minyak dan urutkan bahagian tapak kaki, tumit, dan ibu jari. Kemudian, beralih ke bahagian buku lali dan seterusnya ke peha. Gunakan sedikit daya untuk menggenggam peha bayi dan tariknya ke arah bawah.

Urut Bayi

4. Perut

Dengan menggunakan kedua-dua belah ibu jari, buat urutan dari bahagian pusat ke arah luar. Gerakkan jari perlahan-lahan daripada perut ke dada.

Sekiranya bayi selalu kembung, boleh gunakan teknik urutan ‘I Love You’, iaitu dengan membuat gerakan seperti huruf ‘I’, ‘L’, dan ‘U’ seperti dalam rajah di bawah.

Cara urutan bayi
Foto Kredit: pinterest.com

5. Dada

Letakkan kedua belah tangan anda di atas kedudukan jantung bayi. Kemudian, usap ke luar dan leperkan tapak tangan anda pada dadanya. Ulangi beberapa kali.

Urut Baby
Foto Kredit: newbornbaby.com.au

6. Bahu Ke Tapak Tangan

Sekarang letakkan kembali kedua-dua tangan anda di atas dada bayi. Ambil salah satu tangannya dan urutkan bahagian dari bahu sehingga ke pergelangan tangan.

Seterusnya, buat gerakan bulatan kecil pada tapak setiap tangannya dengan ibu jari anda.Lakukan pada kedua-dua belah tangan.

Cara Urut Baby
Foto Kredit: dreamstime.com

7. Belakang

Seterusnya, tiarapkan bayi anda dan mula mengurut dari bahu dan turun ke bahagian tulang belakang hingga ke punggung.

Akhiri dengan membuat satu usapan memanjang dari bahu hingga ke hujung kaki. Gunakan sedikit tekanan dan ulangi usapan ini beberapa kali.

Cara Urut Bayi
Foto Kredit: parentlane.com

8. Tamatkan Sesi

Selepas selesai, pakaikan bayi dengan pakaian dan berilah pelukan kepadanya. Kemudian bolehlah menyusu dan mendodoikannya. Bayi akan rasa selesa dan mungkin terus tertidur selepas beberapa ketika.

Jika bayi meragam dan meronta semasa sedang diurut, tak perlu dipaksa. Tamatkan sesi dan cuba lagi pada lain waktu.

Urut Baby

Jadikan Sebahagian Rutin Tidur

Apabila bayi tahu dia akan diurut, secara automatiknya bayi juga tahu bahawa waktu tidurnya sudah hampir tiba.  Maka apabila urut bayi dilakukan dengan konsisten, secara tidak langsung ia juga akan memberi isyarat untuk bayi tidur dengan lebih mudah.

Selamat mencuba!

Apa yang orang lain cari?:

  • tempat urut kaki demam
  • urut baby lepas mandi
  • urutan baby selepas mandi

7 Kesan Urutan Yang Luarbiasa Kepada Bayi Anda

Rutin mengurut si kecil sudah menjadi amalan turun-termurun dan merupakan antara keperluan dalam penjagaan bayi. Bayi yang belum boleh bercakap meneroka sekelilingnya dengan sentuhan. Oleh itu, urutan boleh menjadi cara komunikasi awal antara ibu bapa dan bayi untuk membina hubungan.

Terdapat pelbagai kebaikan mengurut bayi yang memberi manfaat pada bayi dan ibu bapa. Rutin ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara ibu dan anak malah memberi banyak kelebihan pada sudut kesihatan fizikal dan mental si bayi.

Ini 7 Kebaikan Mengurut Bayi Yang Patut Anda Amalkan

1. Menenangkan Bayi

Umumnya, bayi yang menangis akan terus diam apabila didukung kerana mereka mahukan sentuhan ibu. Bayangkan sahaja apa urutan seluruh badan dapat lakukan pada emosi bayi. Kajian membuktikan apabila mengurut bayi, kita dapat memberi kesan positif pada sistem saraf utamanya.

Apabila bayi diurut, hormon penenang iaitu serotonin dirembeskan dan hormon stres, iaitu kortisol disekat. Hasilnya degupan jantung anak lebih perlahan dan teratur, akan berasa lebih damai dan kurang merengek.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: pinsdaddy.com

2. Menetapkan Corak Tidur

Bayi baru lahir terutamanya menghadapi sedikit kesukaran untuk tidur pada waktu yang tetap. Dengan urutan sebelum tidur, ototnya menjadi lebih tenang, degupan lebih teratur dan hasilnya anak lebih mudah untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Ini kerana hormon melatonin lebih banyak dihasilkan bagi membantu anak tidur dengan lebih mudah.

Melalui tidur yang berkualiti, bayi akan bangun dengan lebih bertenaga, aktif dan ceria.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: inewsgr.com

3. Mengawal Emosi Bayi

Menjaga bayi baru lahir terutamanya bukanlah perkara yang mudah. Tetapi dengan selalu meluangkan masa dengan mengurutnya, ibu akan mendapat satu medium untuk mendapat tahu keperluan khususnya.

Seperti menyusu badan, mengurut adalah teknik yang sangat berkesan dalam membentuk emosi anak secara sihat dan mengeratkan hubungan. Rutin ini dapat mengajar ibu bapa untuk mengenal pasti emosi anak dan menanganinya dengan lebih cekap.

Foto Kredit: parentinghub.co.za

4. Faedah Kesihatan

Mengurut bukan sahaja dapat menenangkan bayi, malah memberi kesan baik pada kesihatannya. Mengurut dapat melancarkan peredaran darah serta penghadaman bayi.

Selain itu, urutan juga dapat memperbaik sistem pernafasan bayi serta sistem imun dalam badannya.

Foto Kredit: wyomingmedicalcenter.org

5. Menggalakkan ‘Bonding’

Ibu bapa baru mungkin agak kekok dan tidak tahu dari mana untuk merapatkan hubungan dengan bayi. Jika ibu dapat ‘bonding’ dengan anak melalui proses menyusu badan, bapa dapat ‘bonding’ dengan kaedah mengurut.

Bayi juga dapat mengenal kita dengan lebih rapat melalui suara, pandangan mata beserta sentuhan lembut yang diberikan selalu. Secara tidak langsung, kebaikan mengurut bayi juga dapat mengurangkan tekanan perasaan atau ‘postnatal depression’.

Foto Kredit: netmums.com

6. Pertambahan Berat Badan Bayi Yang Positif

Menurut sumber, rutin mengurut bayi dapat mengatur penambahan berat badan bayi secara sihat dan semulajadi. Jika bayi diurut dengan minyak, ini dapat merangsang saraf utama iaitu saraf vagus.

Saraf ini berhubung dengan organ-organ penting dalam badan termasuk perut. Oleh itu, urutan dapat merangsang saraf ini dan melancarkan penghadaman dan usus perut. Dengan ini, berat badan bayi dapat diuruskan dengan lebih baik.

Foto Kredit: vicare.vn

7. Membantu Tumbesaran Bayi Pramatang

Agak sukar untuk mengangkat dan mendukung bayi pramatang. Namun begitu, bayi pramatang masih boleh bertindak balas dengan sentuhan dan urutan.

Menurut kajian, bayi pramatang yang kerap diurut menunjukkan perkembangan positif dari sudut mentalnya. Selain itu bayi ini juga lebih cepat pulih dan sihat berbanding bayi pramatang yang tidak diurut.

kebaikan mengurut bayi
Foto Kredit: jjsjustice.com

Guna Teknik Urutan Yang Paling Berkesan

Waktu paling baik untuk mengurut bayi adalah selepas mandi dan sebelum mandi kerana emosi bayi agak stabil ketika waktu tersebut. Pastikan juga persekitaran tenang dan kondusif untuk memulakan urutan di mana bayi berada dalam keadaan paling selesa.

Dalam artikel seterusnya, PantangPlus.com akan berkongsikan teknik urutan yang berkesan agar kebaikan mengurut bayi ini dapat dimaksimakan manfaatnya.