Segera Ke Hospital Jika Ibu Berpantang Alami 4 Simptom Bahaya Ini!

Apakah simptom selepas bersalin yang ramai orang tidak sedar? Tidak dinafikan, sebagai seorang ibu, jadual harian anda pasti akan berubah dengan kehadiran insan baru dalam kehidupan anda.

Walau bagaimanapun, dalam kesibukan menguruskan diri dan juga bayi selepas bersalin, anda seharusnya tidak mengambil mudah akan isu kesihatan diri sendiri.

Simptom selepas bersalin

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah simptom-simptom yang membahayakan kesihatan ibu berpantang?

Apakah perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan ibu perlu segera ke hospital?

Simptom selepas bersalin
Foto Kredit : sofeya.id

4 SIMPTOM BAHAYA IBU BERPANTANG

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang 4 simptom bahaya yang perlu diambil perhatian oleh ibu-ibu berpantang.

Maklumat ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

1. DARAH NIFAS YANG BANYAK

Perhatikan jika darah nifas keluar dengan begitu banyak secara tiba-tiba (contoh : penuh satu pad dengan darah nifas dalam masa 1 jam).

Ditambah pula jika anda berasa pening atau mengalami denyutan nadi yang laju, ianya mungkin petanda anda mengalami ‘postpartum haemorrhage’ atau dengan kata lain, tumpah darah.

Usah berlengah, anda harus segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Simptom selepas bersalin
Foto Kredit : youtube.com

2. SAKIT KEPALA YANG TERUK

Simptom selepas bersalin yang kedua, jika anda mengalami sakit kepala yang teruk diiringi dengan mata kabur, muntah dan kaki bengkak selepas bersalin, pergi ke hospital dengan kadar segera untuk mendapatkan rawatan.

Pada kebiasaannya, simptom ini terjadi kepada mereka yang mempunyai rekod darah tinggi semasa mengandung.

Dikhuatiri, ibu-ibu berpantang yang mempunyai simptom sebegini akan mengalami ‘eclampsia’  yang pada kebiasaannya terjadi dalam masa 3 hari lepas bersalin.

Simptom selepas bersalin
Foto Kredit : kumparan.com

3. DEMAM MELEBIHI 38°C

Simptom selepas bersalin yang ketiga ialah demam. Demam melebihi 38°C disertai dengan menggigil merupakan simptom berbahaya buat ibu berpantang. Pada kebiasaannya, demam diiringi dengan salah satu simptom ini :

  • Darah nifas yang berbau sangat busuk.
  • Bengkak payudara – sakit, merah.
  • Luka episiotomi atau Caesarean yang bengkak, merah, sakit lebih daripada biasa dan keluar cecair seakan nanah daripada luka itu.
  • Berasa sangat sakit di bahagian bawah abdomen atau ari-ari.
  • Apabila membuang air kecil, rasa pedih, tidak puas dan urin berbau, serta urin keluar sedikit-sedikit – ini merupakan tanda jangkitan kuman pada pundi kencing.

Terdapat pelbagai punca penyebab demam ini semasa berpantang. Doktor dan jururawat akan berasa sangat risau sekiranya ibu berpantang mengalami demam selepas melahirkan cahaya mata.

Wanita berpantang tidak boleh demam kerana ianya merupakan tanda anda mengalami jangkitan kuman yang mesti dirawat.

Petua agar ibu berpantang yang demam untuk tidur baring di atas lantai, tanpa tilam, duduk berselimut dan sebagainya itu tidak seharusnya diikuti. Anda perlu segera ke hospital.

Simptom selepas bersalin
Foto Kredit : mediamuslimah.com

4. SAKIT DADA DAN SUKAR BERNAFAS

Simptom selepas bersalin yang seterusnya ialah simptom sakit dada dan sukar untuk bernafas secara tiba-tiba, ditambah pula jika disertai dengan batuk berdarah dan pening kepala, ianya sangat membimbangkan doktor dan jururawat.

Jika ibu berpantang selepas bersalin mengalami simptom-simptom ini, anda berisiko mengalami ‘pulmonary embolism’. Ia terjadi apabila terdapat ketulan darah (blood clot) tersekat pada salur darah arteri di paru-paru. Ianya sangat membahayakan dan boleh mengancam nyawa.

Untuk wanita yang berisiko (contoh : obesiti), doktor akan memberi suntikan ‘Clexane’  bagi memastikan darah tidak beku pada kaki (deep venous thrombosis). Ini kerana, darah yang beku itu boleh menjadi serpihan kecil, naik ke bahagian atas badan dan seterusnya menyumbat arteri di paru-paru.

Jika doktor selesai memberikan suntikan ini, kemudian turut memberinya kepada anda untuk dibawa pulang serta dapatkan suntikan di klinik berdekatan, inilah sebabnya.

Foto Kredit : organikeczane.com

JALANI TEMPOH BERPANTANG DENGAN BAIK

Dalam kesibukan menguruskan bayi baru semasa berpantang, jangan abaikan kesihatan diri anda.

Pastikan juga anda mendapat nutrisi daripada makanan berkhasiat ketika berpantang agar kesihatan anda berada pada tahap yang memuaskan dan tempoh berpantang dapat dijalani dengan baik.

Sekali lagi, usah memandang enteng dengan tahap kesihatan anda ketika berpantang selepas bersalin. Segera ke hospital jika anda mengalami mana-mana 4 simptom di atas mahupun simptom lain yang meragukan.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • demam selepas bersalin
  • https://blog pantangplus com/simptom-selepas-bersalin-ibu-berpantang/
  • kesan demam dalam pantang
  • rasa pening dan pitam ketika selepas melahirkan
  • sakit kepala ketika berpantang
  • sakit kepala ketika dalam pantang
  • sakit kepala lepas bersalin
  • sakit kepala semasa berpantang
  • simptom; pening; pitam; muntah; selepas bersalin

5 Tips Uruskan Kerja Rumah Untuk Ibu Yang Berpantang Sendiri

“Boleh ke aku berpantang di rumah sendiri nanti? Rasa leceh pula nak balik kampung. Nanti si kakak pun sekolah, takkan nak ponteng lama-lama pula. Nak ajak mak duduk sini lama-lama, mesti dia tak selesa. Apa agaknya tips berpantang sendiri yang mudah dan praktikal ya?”

Walaupun dulu bakal ibu lebih cenderung untuk bersalin di kampung, namun kini bukan semua boleh membuat keputusan sedemikian. Ada banyak alasan yang menyebabkan seseorang lebih selesa berpantang sendiri. Antaranya adalah kerana faktor kesihatan ibu bapa masing-masing yang kurang memuaskan, ibu bapa mereka masih bekerja atau menjalankan perniagaan, atau pasangan itu sendiri mempunyai anak yang sedang bersekolah. Jadi, mahu tak mahu, terpaksalah membuat keputusan untuk berpantang di rumah sendiri.

Walau apa pun, ibu jangan risau kerana anda sebenarnya mampu menguruskan diri dan keluarga sekalipun hanya berpantang sendiri di rumah.

Mari PantangPlus.com kongsikan beberapa tips berpantang sendiri untuk anda.

5 Tips Berpantang Sendiri Di Rumah

Berikut adalah tips berpantang sendiri serta persediaan untuk anda mengendalikan kerja rumah dengan lebih mudah selepas bersalin nanti.

1. Perancangan Awal

Kalau bercadang nak berpantang sendiri di rumah, anda perlu membuat perancangan awal supaya ia dapat memudahkan perjalanan kerja anda.

Antara rutin yang perlu dirancang adalah memandikan bayi, memasak makanan, mencuci pakaian, dan penjagaan kesihatan diri seperti berurut / berbengkung.

Semua ini perlu dirancang agar seseorang diberi tanggungjawab menguruskannya. Biasanya kerjasama suami amat penting untuk mengambil alih semua tugas ini dalam beberapa minggu terawal. Beritahu awal-awal menu yang perlu dimasak, ajarkan cara menggunakan mesin basuh, menyidai pakaian, melipat baju, dan sebagainya.

Foto Kredit: shutterstock.com

2. Sediakan Checklist Untuk Suami

Buat beberapa hari terawal, mungkin anda boleh membantu suami dengan menyediakan senarai semak untuk perkara-perkara yang boleh dilakukannya.

Dengan cara ini, suami lebih mudah mengatur masa dan membiasakan diri dengan rutin tersebut tanpa perlu disuruh. Tak adalah terlupa nak buat nanti.

Foto Kredit: shutterstock.com

3. Senaraikan Menu Sesuai

Research awal-awal menu yang anda suka dan simpan resepinya dalam satu buku. Nak lagi senang, sediakan stok bahan basah yang boleh dimasak dan simpan dalam freezer untuk sebulan.

Kalau suami anda jenis yang pandai memasak, boleh minta tolong suami. Kalau tak, rasanya tak ada masalah nak masak makanan orang berpantang sebab biasanya cara masakannya sangat ringkas.

Untuk beberapa hari terawal, senaraikan makanan yang anda boleh makan dan suami boleh beli lauk di kedai-kedai makan yang berdekatan.

Sebelum bersalin, ibu boleh juga sediakan stok makanan berpantang contohnya kurma, biskut, serunding halia, atau lauk frozen. Tentu praktikal dan memudahkan.

Foto Kredit: ezrylpark09.blogspot.my

4.  Cari Pembantu Harian / Confinement Lady

Jika suami keberatan atau tak mampu melakukan semua kerja rumah kerana sibuk bekerja, cuba dapatkan perkhidmatan pembantu harian.

Sekarang dah banyak tukang urut / confinement lady yang tawarkan perkhidmatan sebegini, siap ada pakej lagi!

Foto Kredit: utaranews.com

5. Siapkan Emosi & Mental

‘Mood’ wanita ketika berpantang biasanya naik turun macam rollercoaster. Kebanyakan masa, kita sendiri bingung dengan perasaan diri sendiri. Barangkali disebabkan letih, tak cukup tidur, dan menahan kesakitan bersalin, kita mudah marah, tersinggung, dan stres.

Oleh itu, berfikiran positiflah dan yakin bahawa Allah akan mempermudahkan urusan kita. Walaupun dalam keadaan uzur secara syarie, anda sebenarnya masih boleh mengamalkan bacaan ayat-ayat suci, zikir, dan doa untuk memohon kekuatan emosi.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: pinsdaddy.com

Tak Mustahil, Anda Boleh Lakukannya!

Walaupun anda seorang supermom dan biasa melakukan kerja-kerja rumah, ambillah masa untuk berehat dan terimalah pertolongan daripada orang sekeliling.

Tetapkan mind set bahawa tak susah berpantang sendiri. Enjoy the moment bersama bayi anda dan gunakanlah tempoh berpantang untuk berehat agar anda cepat pulih dan dapat kembali melakukan rutin harian dengan lebih efisyen.

Apa yang orang lain cari?:

  • berpantang sendiri
  • cara berpantang sendiri
  • persediann diri berpantang sendiri