7 Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Selepas Mengalami Keguguran

Keguguran bayi bukanlah suatu yang kita inginkan. Ada kalanya, detik kehamilan yang menggembirakan bertukar kepada kedukaan. Bagi wanita yang diuji keguguran bayi, usah bersedih dan berputus asa. Sememangnya keguguran memberikan kesan dari segi emosi dan psikologi wanita. Oleh itu, wanita perlu segera memulihkan diri selepas keguguran. Dalam post ini, anda akan mengetahui beberapa perkara yang perlu dilakukan selepas mengalami keguguran.

 

Tempoh berpantang

Mengikut nasihat bidan dan petua orang dulu-dulu, tempoh berpantang bagi keguguran adalah sama seperti pantang bersalin iaitu 44 hari. Namun begitu, ia adalah agak mustahil bagi wanita bekerja. Oleh itu, anda disarankan untuk berpantang selama 2 minggu selepas mengalami keguguran atau mengikut tempoh cuti yang diberikan oleh doktor. Ketika tempoh berpantang, anda perlu berehat secukupnya untuk melegakan badan dan minda.

 

Pemakanan sihat

Kebiasaannya, doktor menyarankan pengambilan makanan yang seimbang bagi tanpa mengehadkan sebarang jenis makanan bagi wanita yang mengalami keguguran. Bagi anda yang rajin dan mengambil berat petua orang dulu, anda boleh mengamalkan pantang larang bagi ibu bersalin. Sediakan makanan berpantang yang boleh disusun mengikut kesesuaian dan banyakkan sayuran serta buah-buahan. Diet yang sihat dan seimbang adalah penting untuk memberi tenaga kepada badan anda selepas mengalami keguguran.

 

Kekalkan kebersihan

Kebersihan adalah sangat penting selepas anda mengalami keguguran. Dengan mengekalkan kebersihan, anda boleh mengelakkan jangkitan kuman. Tukar tuala wanita dengan kerap, elakkan mandi pada waktu malam. Pada waktu ini, anda tidak digalakkan untuk mencuci bahagian sulit anda dengan apa-apa produk bagi mengelakkan jangkitan kuman.

 

Hadkan aktiviti harian

Ketika tempoh berpantang selepas keguguran, kurangkan aktiviti harian anda. Elakkan melakukan kerja-kerja berat dalam tempoh sebulan selepas keguguran. Anda boleh kembali bekerja selepas habis tempoh bercuti. Walaubagaimanapun, rujuk doktor dengan segera jika anda mengalami demam yang teruk, pendarahan yang banyak dan berpanjangan atau faraj berbau semasa tempoh berpantang. Anda juga digalakkan untuk melakukan senaman ringan seperti berjalan.

 

Penjagaan rahim

Penjagaan rahim selepas mengalami keguguran adalah sangat penting. Jika bahagian rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh masuk ke dalam sistem tubuh dan menyebabkan demam panas dan jangkitan di bahagian peranakan. Anda disarankan untuk berurut, bertungku atau mandi herba seperti ibu pantang bersalin. Kaedah ini boleh membantu melancarkan peredaran darah, cepatkan proses penyembuhan serta menyegarkan tubuh badan anda.

 

Elakkan hubungan seks

Selepas mengalami keguguran, anda disarankan untuk berehat seketika daripada melakukan hubungan intim dengan suami. Secara umumnya, isteri tidak boleh disetubuhi selagi mana berlaku pendarahan. Suami dan isteri perlu berbincang dalam membuat perancangan keluarga selepas melalui proses keguguran ini.

 

Penjagaan emosi

Wanita seringkali menyalahkan diri sendiri selepas mengalami keguguran. Adalah penting bagi para suami bagi memahami emosi dan kehendak isteri selepas mengalami keguguran. Pada saat ini, isteri sangat memerlukan sokongan dan perhatian dari suami. Bercakaplah dengan seseorang dan luahkan perasaan anda. Jika kemurungan berterusan, anda boleh rujuk pada doktor atau pakar kaunseling.

 

Keguguran merupakan ujian yang besar bagi pasangan suami isteri yang inginkan cahaya mata. Ingatlah bahawa setiap ujian itu didatangkan kepada mereka yang mampu, bukan di luar kemampuan anda. Usah terlalu lama berasa sedih. Sentiasa positif dan jangan berputus asa. Dengan usaha dan tawakal, anda pasti beroleh peluang untuk hamil semula.

 

Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan perbidanan profesional, lawati laman web utama kami untuk maklumat lanjut.

Apa yang orang lain cari?:

  • petua penjagaan selepas keguguran

Ketahui Beberapa Tanda-Tanda Keguguran Yang Perlu Diambil Berat Oleh Ibu Mengandung

Keguguran merupakan satu fenomena yang sering berlaku di kalangan ibu mengandung, terutama ketika awal kehamilan – semasa 20 minggu pertama. Keguguran merupakan satu kebimbangan bagi ibu hamil. Keguguran atau spontaneous abortion boleh dikenalpasti melalui beberapa tanda-tanda keguguran. Para ibu perlu peka dengan perubahan badan anda dan ketahui jika berlaku keguguran melalui tanda-tanda tersebut. Di sini akan dikongsikan beberapa tanda-tanda keguguran yang perlu diambil berat oleh ibu mengandung.

 

Pendarahan

Pendarahan ketika mengandung merupakan perkara yang membimbangkan. Walaubagaimanapun, ia merupakan perkara yang normal pada awal kehamilan. Jika berlaku pendarahan yang banyak serta terdapat perubahan pada warna darah, anda perlu rujuk kepada doktor dengan segera.

 

Kekejangan

Kekejangan serta sakit belakang adalah normal dan sering berlaku pada ibu hamil. Namun begitu, kekejangan yang tajam dan kerap menandakan bahawa keguguran telah berlaku. Ia mungkin merupakan kontraksi dan tanda awal keguguran.

 

Sakit yang berterusan

Ketika mengandung, terdapat banyak perubahan yang berlaku pada tubuh badan ibu. Oleh itu, anda mungkin merasai sakit dan lenguh sekali-sekala. Namun begitu, kesakitan yang berterusan terutama di bahagian abdomen atau bawah perut boleh menjadi tanda keguguran. Kesakitan ini boleh berlaku sebelum atas selepas pendarahan terjadi.

 

Kehilangan tanda kehamilan

Seperti yang diketahui, perubahan pada badan anda menunjukkan tanda kehamilan, seperti keletihan, sakit belakang serta kerap membuang air kecil. Jika anda terasa kembali normal tanpa tanda kehamilan, ia mungkin menunjukkan tanda keguguran. Ia berlaku kerana hormon yang mengekalkan kehamilan sudah tiada.

 

Tiada lagi alahan

Ramai ibu hamil sering mengalami alahan, terutama ketika awal kehamilan. Alahan kebiasaannya akan berkurangan, seiring dengan usia kehamilan. Namun, jika alahan hilang secara drastik atau tiba-tiba, anda mungkin mengalami tanda keguguran. Ibu hamil mengalami alahan disebabkan oleh hormon yang dihasilkan oleh janin. Oleh itu, kadar hormon tersebut menurunkan jika berlakunya keguguran kandungan lalu menyebabkan alahan anda hilang.

 

Ujian kehamilan bertukar kepada negatif

Ujian kehamilan menyukat kadar hormon hCG, hormon yang dihasilkan dari kehamilan. Pada awal kehamilan, kadar hormon ini menaik dengan cepat lalu menunjukkan ujian kehamilan yang positif. Jika anda mengambil ujian kehamilan buat kali kedua selepas beberapa hari, ia sepatutnya menunjukkan positif. Jika negatif, anda bukan sahaja berisiko mengalami keguguran malahan kandungan luar rahim. Ia kerana paras hormon hCG yang rendah salah satu merupakan tanda keguguran.

 

Tiada denyutan jantung bayi

Denyutan jantung bayi merupakan tanda penting untuk memastikan bayi dalam keadaan baik. Kebiasaannya, denyutan jantung bayi boleh dikesan melalui ‘ultrasound scan’. Jika anda mengalami salah satu tanda yang disebutkan tadi, denyutan jantung bayi boleh memberikan kepastian. Jika denyutan jantung bayi tidak dapat dikesan, ia menunjukkan bahawa bayi telah gugur dan tidak berkembang.

 

Tiada pergerakan bayi

Pergerakan bayi juga merupakan tanda penting. Anda harus peka dengan corak pergerakan kandungan anda sepanjang hari, di mana bayi mungkin bergerak pada waktu tertentu. Berdasarkan rutin ini, anda mungkin perasan jika bayi anda tidak bergerak seperti biasa. Namun harus diambil kira, pergerakan bayi hanya boleh dirasai antara minggu ke-18 dan minggu ke-24.

 

Jika anda mengalami tanda-tanda keguguran seperti yang telah disebutkan, sila rujuk doktor anda dengan segera. Terdapat simptom yang biasa berlaku di kalangan ibu hamil dan tidak perlu dirisaukan. Pun begitu, pencegahan adalah lebih baik dari mengubati. Tempoh berpantang dan berurut selepas keguguran perlu diikuti.

 

Jika anda diuji dengan keguguran pada awal kehamilan, usah bersedih dan jangan sekali menyalahkan diri sendiri. Pasti ada hikmahnya dan rezeki anda akan tiba jua.