Ketahui 6 Sebab Nurse Datang Rumah Selepas Bersalin, Semasa Pantang

Jagaan ibu selepas melahirkan bayi merupakan servis yang diberikan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Keutamaan lawatan jururawat ke rumah dilaksanakan buat para ibu yang baru melahirkan bayi kerana pemerhatian sepenuhnya perlu dilakukan. Walaupun para ibu melahirkan bayi di hospital swasta, servis ini tetap akan dilaksanakan dengan syarat ibu-ibu melaporkan kelahiran bayi di klinik kesihatan terdekat.

Keadaan ibu yang masih ‘kepenatan’ selepas melalui proses kelahiran serta keadaan yang tidak mengizinkan mungkin menyukarkan ibu-ibu untuk hadir ke klinik. Dengan lawatan jururawat ke rumah anda, ianya memudahkan anda kerana anda tidak perlu berulang-alik ke klinik kesihatan atau hospital bagi memeriksa keadaan diri anda dan bayi selepas bersalin kelak.

Foto Kredit : sofeya.id

KENAPA JURURAWAT DATANG MELAWAT IBU BERPANTANG?

Salah satu daripada tugasan jururawat adalah datang melawat para ibu di rumah selepas melahirkan bayi. Itu sememangnya tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan mereka telah memilih serta berkorban untuk melepaskan tanggungjawab mereka di rumah demi berbakti kepada anda.

Usah pernah berasa rimas dan menganggap bahawa mereka sekadar membuang masa begitu sahaja dengan datang rumah ke rumah anda tidak mengira keadaan cuaca, tidak kira ianya adalah waktu bekerja atau hujung minggu. Lawatan jururawat ini penting untuk mengetahui tahap kesihatan diri anda dan bayi.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah kepentingan lawatan jururawat ke rumah anda selepas bersalin?

Ikuti perkongsian jururawat ini iaitu Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadi beliau berkenaan tempoh lawatan jururawat, sebab jururawat datang melawat ibu berpantang dan pemeriksaan yang dilakukan semasa sesi lawatan.

Foto Kredit : dik.my.id

TEMPOH LAWATAN JURURAWAT

Bagi ibu yang baru sahaja melahirkan bayi, lawatan ke rumah akan dilakukan mengikut sela masa tertentu iaitu dari hari 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, 10, 15 dan 20 anda melahirkan bayi.

Bagi kes bayi yang mengalami ‘jaundice’ (kuning) pula, lawatan akan dilakukan pada hari pertama kelahiran sehingga hari ke-10.

Foto Kredit : everydayhealth.com

6 SEBAB JURURAWAT DATANG MELAWAT

Berikut merupakan 6 sebab mengapa jururawat melakukan lawatan ke rumah anda selepas anda melahirkan bayi.

1. PEMERIKSAAN UMUM KEPADA IBU

Secara umumnya, jururawat akan melakukan pemeriksaan umum terhadap ibu seperti berikut :-

  • Memeriksa tekanan darah.
  • Memeriksa suhu badan.
  • Mengambil kadar denyutan nadi.
  • Lokia (iaitu darah nifas yang keluar dari segi warna, bau serta kuantiti yang keluar bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian seperti tumpah darah atau jangkitan kuman pada kemaluan).
  • Pemeriksaan tinggi rahim (untuk nenilai tentang penurunan rahim adalah bersesuaian dengan jumlah hari melahirkan).
  • Pemeriksaan perineum (Bagi melihat kepada jahitan serta luka yang terhasil selepas melahirkan, dikhuatiri luka tersebut masih belum sembuh dan boleh mengakibatkan jangkitan).

Daripada pemerhatian di atas, jururawat boleh menilai sebarang tanda yang memerlukan para ibu ke hospital dengan kadar segera.

Foto Kredit : ingstemme.no

2. MASALAH TIDAK DAPAT BUANG AIR

Terdapat ibu yang tidak membuang air kecil atau besar selepas melahirkan bayi ekoran trauma dengan proses kelahiran. Maka, di sini jururawat bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan kesihatan yang sewajarnya.

Anda mungkin berasa segan untuk memberitahu masalah sebegini serta meluahkan perasaan yang mengganggu emosi semasa berada di hospital atau ketika lawatan ke klinik. Dengan kehadiran jururawat ke rumah, sekurang-kurang masalah dan bebanan emosi itu boleh diluahkan, sekaligus dapat mengurangkan risiko ‘postpartum blues’  di kalangan ibu berpantang.

Foto Kredit : dailyqudrat.com.pk

3. MENGESAN TROMBOSIS VENA

Jururawat yang melawat anda di rumah juga dapat menilai keadaan diri anda sekiranya berlaku ‘Deep Vein Thrombosis’ atau trombosis vena – keadaan di mana terbentuknya gumpalan darah yang besar di dalam pembuluh darah pada bahagian paha dan betis.

Dikhuatiri darah beku ini akan bergerak melalui saluran darah terus ke paru-paru yang mana ianya sangat merbahaya kerana boleh mengakibatkan sesak nafas dan juga kematian.

Foto Kredit : organikeczane.com

4. MENGESAN MASALAH PENYUSUAN

Ibu-Ibu juga akan diperiksa sekiranya mempunyai masalah untuk menyusukan bayi atau mengalami masalah bengkak payudara. Pemeriksaan payudara juga dilakukan bagi mengesan sebarang jangkitan yang berlaku.

Selain itu, jururawat akan turut mengajar teknik penyusuan dan lekapan yang betul bagi menyusukan bayi. Ianya bertujuan untuk memberi keselesaan kepada ibu dan bayi semasa proses menyusukan bayi serta mengurangkan kes rungutan ibu-ibu yang mengatakan mereka tidak ada susu atau susu tidak mencukupi untuk bayi.

Foto Kredit : marvelousbaby.com

5. MAKLUMAT BERKENAAN KAEDAH PERANCANG KELUARGA

Selain daripada pemeriksaan kesihatan para ibu, jururawat turut memberitahu berkenaan kaedah perancangan keluarga. Ianya sangat penting untuk dimaklumkan terutamanya bagi kes ibu yang melahirkan bayi secara pembedahan dan ibu yang melahirkan ramai anak dengan jarak yang terlalu dekat.

Di sini, ibu-ibu boleh bertanya tentang beberapa perkara kepada jururawat yang datang melawat secara langsung supaya sebarang keraguan terjawab secara verbal.

Foto Kredit : pinterest.com

6. PEMERIKSAAN BAYI OLEH JURURAWAT

Jururawat akan melakukan pemeriksaan berikut terhadap bayi :-

  • Menimbang berat bayi.
  • Mengukur tinggi bayi.
  • Mengukur lilitan kepala bayi.
  • Menilai cara bayi menyusu badan sama ada betul atau tidak bagi membantu bayi berasa kenyang selepas menyusu.

Selain itu, jururawat akan turut menilai keadaan bayi sekiranya bayi mengalami ‘jaundice’. Pemerhatian dilakukan dengan melihat pada warna kulit serta mata bayi bagi mengesan tanda-tanda ‘jaundice’ serta menilai sama ada tanda-tanda ini telah merebak atau semakin berkurangan.

Jururawat adalah individu yang cukup terlatih dalam menilai keadaan bilakah waktu bayi seharusnya dibawa ke hospital bagi pemeriksaan darah berkaitan ‘jaundice’.

Foto Kredit : elnuevoherald.com

HARGAI KOMITMEN JURURAWAT

Sebagaimana yang anda sedia maklum, jururawat yang hadir melawat anda di rumah, ada yang sudah bekeluarga. Mereka sedaya upaya memberikan komitmen mereka buat anda dan meninggalkan keluarga mereka demi berkhidmat sebagai jururawat. Maka, usah pentingkan diri sendiri. Tidak salah jika anda meluangkan sedikit masa buat mereka demi menunaikan tanggungjawab mereka.

Jururawat tidak seharusnya dihalau kerana jika terjadi sebarang perkara yang tidak diingini kepada anda, mereka perlu bertanggungjawab untuk menulis surat tunjuk sebab atas perkara yang berlaku itu.

Jangan gusar, jururawat yang datang melawat anda di rumah tidak minta setitis air pun untuk dihidangkan demi menghilangkan dahaga mereka di panas terik, atau tuala bagi mengelap baju dan tudung yang basah sewaktu hujan. Cukup sekadar dihargai serta kehadiran mereka diterima. Selagi mereka melihat ibu-ibu sihat dan melalui proses berpantang dengan jayanya tanpa sebarang masalah, itu sudah membuahkan rasa syukur di hati mereka.

Semoga kita semua dapat menghargai komitmen jururawat yang datang melawat kita di rumah selepas melahirkan bayi kelak, seterusnya dapat menjalani tempoh berpantang dengan baik melalui pemeriksaan kesihatan yang dijalankan.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • lepas bersalin berapa hari misi datang melawat

8 Perubahan Fizikal Selepas Bersalin

Melihat gambar-gambar bayi comel di laman Facebook atau Instagram, pastinya mengujakan para wanita yang bakal bergelar ibu buat kali pertama. Rasa tidak sabar menantikan kelahiran cahaya mata yang dikandung dan merasai pengalaman baru bersama insan istimewa ini.

Selain daripada membuat persediaan awal dengan membeli pelbagai barangan keperluan bayi, anda turut perlu membuat persediaan dari segi fizikal, mental dan emosi untuk menghadapi hari-hari baru bersama bayi anda kelak.

Selain itu, anda seharusnya bersedia mengalami beberapa perubahan fizikal diri anda agar anda atau pasangan tidak terkejut apabila menghadapi realiti sebenar diri anda selepas melahirkan anak kelak.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : botasot.info

8 PERUBAHAN FIZIKAL SELEPAS BERSALIN

Apakah perubahan-perubahan fizikal yang bakal dialami oleh para ibu selepas bersalin?

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang 8 perubahan fizikal selepas bersalin buat pengetahuan ibu-ibu dan juga pasangan anda di luar sana. Maklumat ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

1. SAKIT BADAN

Selepas bersalin, anda akan mengalami sakit-sakit pada tubuh badan anda. Ini kerana, semasa proses bersalin, bukan sahaja otot pelvis digunakan, malah ia turut melibatkan otot pinggul, abdomen, belakang, paha, tangan dan betis.

Posisi badan, tekanan, tenaga dan kuasa yang digunakan ketika bersalin menyebabkan otot-otot ini meregang berlebihan daripada biasa.

Bukan otot-otot sahaja, sendi-sendi seperti pergelangan kaki, pergelangan tangan, lutut dan siku juga terlibat sama yang menjadi punca anda berasa sakit-sakit badan.

Ianya akan mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : mp.163.com

2. DARAH NIFAS

Semasa mula-mula bersalin, darah nifas atau ‘lochia’ ini pada kebiasaannya lebih banyak daripada darah haid biasa dan terdapat darah yang berketul-ketul.

Perlahan-lahan ia akan berkurangan dan warnanya akan berubah kepada warna perang dan kemudiannya kuning.

Pastikan anda kerap menukar pad. Jika pendarahan terlalu banyak atau ia mengeluarkan bau yang sangat busuk, dapatkan rawatan segera daripada doktor.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : youtube.com

3. LUKA EPISIOTOMI

Bagi wanita yang bersalin normal, jika perlu, doktor akan melakukan episiotomi semasa proses melahirkan bayi. Episiotomi ini dilakukan oleh doktor dengan memotong di kawasan antara bukaan faraj dan dubur untuk mengelakkan koyakan faraj terus ke dubur.

Ambil maklum bahawa luka ini sememangnya sakit dan pedih. Tidak kira sama ada anda berjalan atau duduk, anda akan mengalami rasa sakit dan pedih itu. Untuk mengurangkan kesakitan, anda boleh makan ubat paracetamol. Jika tiada masalah, luka ini akan sembuh dalam masa 4 minggu.

Yang penting, pastikan luka tersebut kering. Gunakan ubat yang diberi oleh jururawat dan lakukan ‘sitz bath’  sepertimana yang diajar oleh jururawat. Jika jururawat datang melawat di rumah, anda wajib benarkan jururawat memeriksa luka tersebut kerana luka jahitan itu berisiko untuk dijangkiti kuman.

Tanda-tanda ibu berpantang dijangkiti kuman adalah jika luka episiotomi bengkak, sangat sakit daripada biasa, merah dan berbau, disertai dengan demam. Usah sapukan sebarang serbuk atau bahan asing di kawasan luka episiotomi tersebut. Dapatkan rawatan segera daripada doktor.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : medicalnewstoday.com

4. LUKA PEMBEDAHAN

Untuk para ibu yang bersalin secara Caesarean, sakit di bahagian pembedahan itu sememangnya tidak terkata. Doktor akan membekalkan ubat tahan sakit dan anda perlu makan ubat tersebut.

Selepas keluar daripada hospital, jika luka tersebut menjadi merah, bengkak, bernanah, sangat sakit atau anda demam, maklumkan kepada jururawat yang datang melawat di rumah atau segera ke hospital.

Jika mahu batuk atau bersin, letakkan bantal pada abdomen dan peluk bantal tersebut untuk mengurangkan rasa sakit.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : dailyqudrat.com.pk

5. RENGAT

Rasa sengal atau seperti nyilu di dalam bahagian bawah abdomen selepas bersalin dipanggil rengat atau turut disebut ‘after pains’.

Ianya berlaku dalam masa beberapa hari selepas bersalin kerana rahim kita sedang dalam proses pengecutan. Rasa rengat ini akan lebih ketara dialami semasa bayi menyusu.

Rahim akan mengecut sepenuhnya seperti sebelum mengandung dalam tempoh 6 minggu.

Perubahan fizikal selepas bersalin
Foto Kredit : mediamuslimah.com

6. SEMBELIT DAN BUASIR

Terdapat ibu yang mengalami sembelit dan buasir selepas melahirkan bayi. Walaupun anda sedang berpantang, usah amalkan petua-petua yang tidak masuk akal kerana diri anda yang akan merana kelak sekiranya anda mengalami masalah sembelit atau buasir.

Semasa berpantang, anda wajib minum air 2 hingga 3 liter sehari, serta makan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi mengelakkan masalah sembelit dan buasir ini.

Usah menambah derita diri sendiri apabila sakit pada luka di tempat episiotomi atau pembedahan masih belum sembuh, ditambah pula dengan sembelit dan kemudiannya menjadi buasir. Perkara ini bukan sahaja mengganggu diri anda dari segi fizikal, malah akan turut mengganggu mental dan emosi anda kelak.

Foto Kredit : babygaga.com

7. BENGKAK SUSU

Apabila susu sudah mula dihasilkan oleh badan anda, payudara akan membengkak dan puting akan berasa lebih sensitif. Usah risau, terus menyusukan bayi anda seperti biasa.

Walau bagaimanapun, sekiranya payudara menjadi bengkak dan merah, disertai dengan demam, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Foto Kredit : marvelousbaby.com

8. MASALAH TERKUCIL

Sesetengah wanita mengalami masalah terkucil selepas bersalin di mana mereka tidak dapat mengawal proses membuang air.

Batuk atau ketawa juga boleh menyebabkan terkucil disebabkan otot pelvis yang terlebih meregang semasa proses melahirkan bayi.

Belajar membuat Senaman Kegel untuk mengurangkan risiko ‘urinary and faecal incontinence’  ini.

Kebanyakan pesakit akan boleh mengawal semula diri mereka daripada terkucil dalam tempoh masa beberapa bulan.

Foto Kredit : galena.co.id

SUAMI TURUT MAIN PERANAN

Walaupun kesemua perubahan fizikal dan kesakitan ini hanya dialami oleh isteri, suami tidak seharusnya lepas tangan dan tidak peduli dengan luahan hati isteri selepas bersalin kelak.

Buat para suami, lahirkan rasa empati anda kepada isteri. Mereka sanggup bertarung nyawa demi melahirkan zuriat anda berdua. Sentiasa bertimbang rasa terhadap isteri kerana selepas bersalin, bukan semua perkara akan kembali normal seperti biasa.

Ambil berat. Ambil tahu. Ambil peduli. Semoga dengan kehadiran insan baru dalam keluarga anda, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna bersama insan tersayang.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • luka jahitan bengkak
  • sakit betis selepas pantang