5 Tips Berpantang Di Rumah Mak Sendiri, Bukan Berpantang Di Rumah Mertua

Berpantang di rumah mertua

Menjadi ibu ayah terutamanya buat kita yang baru pertama kali bakal menimang cahaya mata adalah perkara yang sangat mengujakan. Sebelum bayi lahir lagi, kita sudah membuat pelbagai persediaan serta perancangan untuk menyambut kelahiran bayi itu kelak termasuk urusan berpantang.

Ada yang memilih untuk berpantang sendiri dan ada yang mendapatkan perkhidmatan ‘confinement lady’  untuk berpantang. Tidak kurang juga yang memilih untuk berpantang di rumah ibu bapa sendiri.

Bagi suami isteri yang merancang atau memilih untuk berpantang di rumah ibu bapa, bukan berpantang di rumah mertua, ikuti perkongsian berdasarkan pengalaman dan pandangan peribadi Puan Intan Dzulkefli ini berkenaan 5 perkara yang perlu kita ambil tahu sekiranya berpantang di rumah ibu bapa.

Foto Kredit : investcorrectly.in

RUMAH IBU BAPA BUKAN ‘CONFINEMENT PLACE FOR FREE’

Peringatan buat kita semua sebagai pasangan suami isteri, rumah ibu bapa bukan ‘confinement place for free’. Bantuan mereka menjaga anak menantu semasa berpantang juga bukan khidmat sukarelawan masyarakat.

Ramai di antara kita yang hanya menjenguk kampung apabila mahu bersalin semata-mata kerana mahukan penjagaan rapi semasa berpantang, tanpa perlu mengeluarkan kos perbelanjaan ribuan ringgit. Astaghfirullah, moga Allah ampunkan kita jika kita pernah berniat sebegini.

Foto Kredit : kalimantanpers.co.id

5 'CHECK LIST'  BERPANTANG DI RUMAH IBU BAPA

Lelaki sebagai suami dan menantu. Ingatlah bahawa sebenarnya tanggungjawab menjaga isteri berada sepenuhnya di atas bahu anda.

Ibu bapa yang sukarela mahu menjaga anak perempuan mereka semasa berpantang perlu dihargai dan diraikan. Bukan bermakna sepanjang tempoh itu, anda sebagai menantu boleh melepaskan diri dan bersenang-lenang laksana bujang, sedangkan di kampung, ibu bapa yang uzur terkial-kial mengangkat air panas buat isteri anda mandi dan hampir pitam mengendong bayi yang meragam dari malam hingga dinihari setiap hari.

Hal berpantang jangan diambil remeh. Suami isteri perlu duduk berbincang dengan ibu bapa tentang segala persediaan dan keperluan yang patut dipersiapkan.

Jika suami jenis 'clueless', isteri memainkan peranan untuk mengingatkan suami hal yang perlu dia ambil tahu, fikir dan sediakan sebelum dan semasa kita berpantang. Kadang-kala suami ini bukan ‘selfish’, tetapi dia tidak terfikir hal remeh-temeh yang bakal berlaku sepanjang tempoh berpantang itu. Mungkin kerana kurang membaca, kurang bertanya atau mungkin juga terlalu ambil mudah. Terutamanya untuk kelahiran pertama.

Jadi, kepada para isteri untuk suami jenis begini, beritahu dan ingatkan suami bahawa selain daripada menyediakan keperluan bayi, kita juga memerlukan set berpantang, upah bidan mengurut, ‘standby’ pam susu jika terkena bengkak susu, serta jangan lupa beri wang perbelanjaan kepada ibu bapa yang menjaga isteri bagi 5 perkara yang disenaraikan ini.

Foto Kredit : news.infoseek.co.jp

1. BAJET MAKANAN SEPANJANG BERPANTANG

Jangan lupa bahawa nafkah isteri tetap sepenuhnya di bawah tanggungjawab suami. Sediakan duit bajet untuk membeli lauk buat isteri sepanjang berpantang di rumah ibu bapa.

Untuk membeli makanan berkhasiat bagi mengembalikan tenaga isteri seperti ikan jenis tertentu, daging, susu, buah-buahan, sayur-sayuran, biskut dan lain-lain, ianya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit jumlahnya.

Tanya kepada ibu atau bapa tentang kos kasar barangan keperluan itu dan sediakan seawalnya sebelum isteri bersalin. Jika ada bajet ekstra, asingkan juga duit belanja dapur untuk ibu bapa.

Foto Kredit : getyourleanon.com

2. BIL AIR DAN ELEKTRIK

Sediakan juga duit untuk membayar bil air dan elektrik di rumah ibu bapa, kerana pada kebiasaanya jumlah bil akan naik sedikit atau mungkin berganda semasa tempoh berpantang isteri di sana.

Jika ada di antara kita yang menggunakan ‘aircond’  24 jam, sudah pasti bil elektrik akan naik mendadak. Jadi jangan buat-buat lupa bayar semula kepada ibu bapa.

Foto Kredit : ghac.com

3. MINYAK KERETA IBU BAPA

Sediakan juga duit minyak kereta ibu bapa yang ke hulu hilir menghantar isteri dan anak untuk ‘check up’  ke klinik / hospital atau untuk sebarang urusan lain semasa ketiadaan suami di rumah ibu bapa kelak.

Lebih-lebih lagi jika destinasi yang ingin dituju itu agak jauh dari kediaman ibu bapa, sudah pasti duit minyak kereta ini sangat diperlukan.

Foto Kredit : vanguardia.com.mx

4. KEPERLUAN TAMBAHAN

Pastikan juga sediakan wang ‘standby’  atau kecemasan sekiranya tiba-tiba bayi perlu dibelikan ‘pacifier’ , pakaian lebih, lampin pakai buang jenama lain jika bayi tidak serasi dengan jenama tertentu, krim ruam dan sebagainya.

Sentiasa bersiap sedia dengan segala macam kemungkinan kerana kita tidak tahu bagaimana kerenah bayi kita kelak. Setiap bayi, berlainan ragamnya.

Foto Kredit : madeof.com

5. BELANJA EKSTRA

Jika ibu bapa turut menjaga anak-anak yang lain semasa isteri berpantang, sudah pasti mereka memerlukan wang belanja tambahan untuk membeli makanan, susu, lampin pakai buang dan sebagainya. Jangan ajar anak meminta-minta daripada datuk nenek mereka, sebaliknya kita sediakan wang perbelanjaan yang mencukupi untuk keperluan anak-anak.

Jika ada bajet lebih lagi, selepas habis berpantang dan anak sudah besar sedikit, suami isteri boleh mengajak ibu bapa berjalan-jalan makan angin atau belanja mereka makan di tempat-tempat yang bagus sedikit untuk meraikan penat lelah mereka.

Sebagai tanda penghargaan, lakukan yang terbaik untuk membayar semula bantuan ibu bapa (walaupun kita sebenarnya tidak layak dan pasti tidak mampu membalasnya setimpal dengan jasa mereka – hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan mereka).

Foto Kredit : wallpaperstudio10.com

PERANCANGAN AWAL

Sekiranya ibu bapa berterus terang sudah tidak mampu menjaga isteri semasa berpantang, mungkin atas faktor uzur dan sebagainya, suami sepatutnya sudah merancang urusan berpantang isteri sejak dari awal kandungan lagi.

Mungkin suami boleh mula membuat perancangan awal untuk mengambil cuti lebih lama selepas isteri bersalin dan mula mencari maklumat tentang tugasan yang perlu dilakukan jika mahu berpantang sendiri.

Jika suami tidak dapat mengambil cuti yang panjang, boleh mula menabung untuk mengupah ‘confinement lady’  menjaga isteri dan bayi semasa berpantang serta bayaran ‘day care’  untuk anak yang lain sementara isteri dalam tempoh berpantang.

Dalam dunia serba moden ini, semua maklumat kini berada di hujung jari dan semakin mudah diakses di mana sahaja kita berada.

Berpantang selepas bersalin

SANTUNI IBU BAPA

Sejujurnya, kebanyakan ibu bapa tidak akan meminta ‘directly’  kesemua wang perbelanjaan ini daripada anak menantu mereka. Tetapi sebagai anak yang baik, peka dan bertimbang rasa, fahami tanggungjawab kita dan buat persediaan awal untuk melunaskan semua senarai keperluan di atas.

Ibu bapa tidak pernah berkira termasuk untuk menjaga anak menantu semasa tempoh berpantang, tetapi anak menantu sering kali berkira dengan ibu bapa. Walhal selepas berkeluarga, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menguruskan segala urusan rumah tangga kita sendiri. Bersyukur kerana mereka sudi untuk memberi bantuan di kala kita memerlukan. Maka, usah mengambil kesempatan atas kebaikan dan kasih sayang ibu bapa.

Ingatlah bahawa kita juga bakal menjadi orang tua kelak. Jangan dizalimi ibu bapa yang duit bulanan pun tidak pernah diberi, tetapi apabila tiba tempoh kritikal sebegini, kita tambahkan pula beban buat mereka. Jaga adab kita sebagai anak kerana dikhuatiri apabila ibu bapa berkecil hati dalam diam dan mereka tidak redha, kita yang menanggung dosa serta menerima balasan.

Ibu atau bapa kita cuma ada seorang sahaja di atas muka bumi ini. Jika Allah ambil mereka kembali, sudah tentu tiada lagi galang gantinya. Semoga kita dapat menyantuni mereka semampunya, kerana Allah tahu segala apa yang ada di dalam hati kita.

Wallahu 'alam.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Intan Dzulkefli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • pantang selepas melahirkan anak pertama
  • produk kecantikan untuk ibu beranak caesar

7 Persediaan Sebelum Bersalin, Supaya Tidak Kelam-Kabut Nanti

Persediaan sebelum bersalin

7 Persediaan Sebelum Bersalin

Kelahiran bayi adalah saat yang paling ditunggu-tunggu oleh bakal ibu dan bapa, sudah pastinya mereka sangat gembira dan teruja dengan kedatangan orang baru di dalam keluarga mereka. Tetapi perlu diingat, banyak persediaan yang perlu dibuat sebelum menimang cahaya mata.

Berikut merupakan beberapa persediaan sebelum bersalin.

1) Kewangan

Persediaan sebelum bersalin

Menyediakan wang yang mencukupi untuk persediaan semasa kelahiran, walaupun anda merancang untuk bersalin secara normal, tetapi anda tidak dapat menjangkakan sekiranya anda perlu menjalani pembedahan.

Jika kandungan berisiko, bersalin di hospital kerajaan sahaja. Tak perlu berangan untuk bersalin di hospital swasta, melainkan kewangan sudah kukuh. Yang penting, jangan sampai berhutang pula.

 

2) Pemakanan

Contoh Makanan Ketika Hamil

Untuk makanan ketika hamil, para ibu perlu mengambil makanan yang seimbang dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menjamin kesihatan bayi didalam kandungan.

 

3) Lokasi hospital bersalin

Persediaan sebelum bersalin

Lokasi yang dipilih haruslah berdekatan dengan tempat kediaman dan tiada kesesakan lalu lintas. Mungkin ada yang kerja jauh dari rumah. Pandai-pandai pilih lokasi hospital bersalin yang tidak terlalu jauh.

Bukan apa, jika tiba-tiba rasa nak bersalin, boleh terus pergi hospital yang selalu ‘check-up’. Lebih mudah, kerana semua maklumat kandungan kita ada bersama mereka.

 

4) Kelengkapan bayi

Kaedah-Persediaan-Sebelum-BersalinApabila telah mencapai usia kandungan 7 bulan, bersiap sedialah  membeli barangan bayi dan menyediakan senarai kelengkapan bayi. Seeloknya beli terlebih dahulu barangan yang diperlukan oleh bayi sebelum mereka dilahirkan.

Bayi cepat besar. Tak perlu beli yang mahal-mahal. Percayalah, nanti akan membazir.

 

5) Kelengkapan ibu

Menyediakan segala jenis kelengkapan ibu seperti pakaian atau ubat-ubatan. Yang paling penting adalah kad pengenalan dan kad pemeriksaan kesihatan ibu hamil. Jangan terlupa bawa pula semasa mahu mendaftar bersalin nanti.

Pastikan sentiasa bawa dalam dompet atau handbag.

 

6) Persediaan berpantang

Untuk kelancaran proses berpantang, para ibu memerlukan kelengkapan yang mencukupi. Merancang siapa yang menjadi tukang urut yang mahir dalam kerja-kerja mengurut wanita selepas bersalin. Jika tidak mahu pening-pening kepala, boleh gunakan servis dari PantangPlus sahaja. Lebih mudah, tak perlu tercari-cari.

Untuk set bersalin, disarankan mendapatkan pandangan daripada mereka yang berpengalaman sebelum memilih set bersalin yang sesuai dengan keperluan diri anda.

 

7) Doa dan surah amalan

Apa yang boleh hafal, hafal. Bukan minta hafal satu surah panjang atau satu juzuk Al-Quran. Zikir mengingati Allah, dan kerapkan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

 

Sudah bersedia untuk bersalin?

Mungkin senarai yang kami beri ini tidak lengkap, selengkap-lengkapnya. Namun, sudah memadai untuk bersedia untuk bersalin. Persediaan sebelum bersalin sangat penting, kerana jika tidak dirancang dengan betul, boleh mengganggu emosi.

Selamat menimang cahaya mata!

Apa yang orang lain cari?:

  • persediaan bersalin
  • tips persedian ibu bersalin