Pantang Larang Selepas Bersalin Mengikut Islam (Berserta Tips)

Semakin hari amalan berpantang bagi ibu-ibu selepas bersalin semakin dipandang ringan, kononnya tidak perlu kerana dalaman badan akan pulih sendiri. Ada pelbagai jenis pantang-larang, sama ada mengikut cara tradisional, moden, termasuklah mengikut Islam. Pendek cerita, pantang larang selepas bersalin mengikut Islam banyak manfaatnya.

Ada yang kata Islam menyuruh ibu-ibu bersalin untuk berpantang dan tidak boleh keluar rumah dalam tempoh 40 hari. Benarkah begitu? Apakah pantang larang selepas bersalin mengikut islam?

Hakikatnya di dalam Islam, tidak ada pantang-larang sedemikian untuk wanita yang bergelar ibu. Sedangkan angka 40 itu merujuk kepada tempoh maksimum seseorang wanita itu dalam keadaan nifas, yang dikecualikan dari berpuasa dan solat.

Begitu juga dengan amalan yang dikaitkan sebagai cara berpantang ibu bersalin mengikut Islam, lebih-lebih lagi di zaman Rasulullah SAW. Tidak ada yang ditunjukkan secara jelas. Paling penting, berpantanglah mengikut tuntutan dan tidak menyimpang dari landasan agama Islam.

KESIHATAN
Suami tidak melakukan hubungan seks dalam tempoh enam minggu pertama selepas melahirkan merupakan salah satu pantang larang selepas bersalin mengikut Islam. Ingat, dalaman badan si ibu masih lagi belum sembuh sepenuhnya selepas sembilan bulan mengalami perubahan hormon dan bentuk badan. Bukan itu sahaja, luka kerana koyakan di bahagian vagina atau episiotomi juga belum lagi sembuh dengan baik, apatah lagi luka yang lebih besar.

PEMAKANAN YANG BERKHASIAT
Para ibu digalakkan memberi susu badan sehingga anak berusia dua tahun. Untuk menggalakkan pengeluaran susu, para ibu perlu memakan makanan berkhasiat seperti susu, lobak putih, sayur sawi dan kurma serta buahan.

Untuk menyembuhkan kesan luka, para ibu digalakkan memakan ikan haruan yang boleh dimasak dengan cara sup atau bakar.

Beberapa jenis ikan dan sayuran dipercayai ‘tidak elok’ kepada ibu-ibu berpantang, misalnya ikan bawal hitam, pari, terubuk, kangkung, timun dan tembikai kerana boleh menyebabkan bisa, bentan dan kegatalan di bahagian luka jahitan.

PENJAGAAN EMOSI
Tempoh berpantang pada dua minggu pertama mungkin memenatkan jika ini adalah pengalaman pertama si ibu. Kebersihan diri perlu sentiasa dijaga apatah lagi jika masih dalam keadaan nifas.

Para ibu perlu menjaga emosi sebaiknya. Si suami atau ahli keluarga perlu sentiasa memberi sokongan kepada si ibu supaya mereka tidak mudah mengikut perasaan. Jika bayi tidak berhenti menangis, mintalah pertolongan suami atau ibu, dan beristighfar serta kawal perasaan.

Ketika berpantang juga, amalkan memasang ayat-ayat Al-Quran supaya diri menjadi tenang, Perbanyakkan zikir dan selawat ketika sedang menyusukan anak atau berehat.

Dalam keadaan ‘kotor’ ini juga, para ibu tidak digalakkan hanya tidur atau keluar rumah waktu senja kerana syaitan banyak berkeliaran.

PENJAGAAN DIRI
Tempoh sembilan bulan semasa mengandung semestinya mengubah keadaan luaran dan dalaman badan si ibu. Meskipun amalan seperti bertungku, berurut, mandi rempah, bertangas dan berpilis serta minum akar kayu bukanlah yang dituntut agama, para ibu boleh melakukannya untuk membantu kesihatan luaran dan dalaman.

Walaupun ramai ibu-ibu tidak gemar rmengikut tempoh berpantang, atau sesetengah menggelarkan ia sebagai mengarut, masih terdapat banyak manfaatnya kepada wanita lebih-lebih lagi apabila semakin berusia. Yang penting, berpantanglah mengikut syariat dan yang tidak melanggar ajaran agama Islam sekaligus tidak memberi mudarat kepada si ibu dan bayi.