7 Tips Jaga Luka Jahitan Bersalin Normal, Agar Cepat Sembuh & Kering

Luka episiotomi atau luka jahitan bersalin bagi ibu-ibu yang bersalin secara normal tidak seharusnya diambil remeh. Ia memerlukan penjagaan yang rapi agar luka tersebut cepat sembuh dan tidak mengalami sebarang jangkitan.

Ikuti perkongsian daripada jururawat ini iaitu Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadi beliau berkenaan tips sebenar penjagaan luka episiotomi atau luka jahitan bersalin normal.

7 TIPS PENJAGAAN LUKA JAHITAN BERSALIN NORMAL

Anggota intim merupakan satu kawasan yang mempunyai mekanisma pembersihan semulajadi. Kawasan ini memerlukan penjagaan yang betul terutamanya apabila melibatkan luka episiotomi di mana tahap jagaan seharusnya berada pada tahap maksimum.

Berikut merupakan 7 tips penjagaan luka jahitan bersalin normal atau luka episiotomi selepas anda melahirkan bayi.

1. PASTIKAN KAWASAN ‘PERINEUM’  BERSIH ELAK JANGKITAN PADA LUKA JAHITAN

Darah nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka jahitan bersalin. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan bahawa kawasan ‘perineum’  dalam keadaan bersih.

Bersihkan luka jahitan tersebut sama ada dengan menggunakan air suam atau ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.

Elakkan daripada menyapu benda asing lain di kawasan ‘perineum’  seperti serbuk manjakani atau minyak gamat yang tidak kita ketahui tahap kebersihannya.

2. SEMBELIT MENYEBABKAN LUKA JAHITAN LAMBAT PULIH

Sembelit perlu dielakkan kerana masalah sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran untuk membuang air besar. Perkara ini akan menyebabkan luka jahitan bersalin tersebut terlerai sedikit atau mungkin terlerai terus.

Minum banyak air dan makan banyak sayur-sayuran serta buah-buahan bagi membantu kelancaran proses pembuangan najis.

Pasti anda pernah mendengar kenyataan bahawa minum air dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan perineum atau peranakan berair, manakala makan sayur-sayuran pula akan menyebabkan angin. Kedua-dua kenyataan ini adalah mitos semata-mata dan tidak benar sama sekali.

Ketahuilah bahawa kekurangan air dalam badan bukan sahaja akan menyebabkan sembelit, malah menjadi punca luka episiotomi lambat sembuh serta menyebabkan gangguan pada penghasilan susu badan.

3. PAKAI PAKAIAN DALAM JENIS KAPAS

Pakaian dalam juga turut memainkan peranan penting dalam penjagaan luka episiotomi ini.

Pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas (cotton) kerana material ini berupaya menyerap peluh. Ianya sangat penting bagi mengelakkan kelembapan di kawasan perineum.

4. KERAP TUKAR PAD

Adalah sangat penting untuk anda menukar pad dengan kerap serta lap kering perineum setelah ke tandas.

Perkara ini bertujuan untuk mengelakkan potensi infeksi pada bahagian perineum dan luka episiotomi.

5. CUCI ‘PERINEUM’  DENGAN CARA YANG BETUL

Kaedah yang betul untuk mencuci bahagian ‘perineum’  adalah dengan mencucinya dari arah hadapan ke belakang (dari kawasan ‘perineum’  ke ‘anus’ ).

Dengan mengamalkan cara mencuci sebegini, anda dapat mengelakkan flora pada ‘anus’  daripada menjangkiti luka episiotomi.

6. ELAKKAN MENCANGKUNG

Bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi, seeloknya gunakan tandas duduk dan elakkan daripada mencangkung.

7. PERIKSA TANDA JANGKITAN

Jika luka anda agak lewat sembuh tetapi tidak ada sebarang tanda jangkitan seperti di bawah, teruskan penjagaan luka episiotomi daripada senarai 1 hingga 6 seperti biasa.

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda di bawah ini, segera ke hospital untuk berjumpa dengan doktor anda.

  • Kemerahan.
  • Bengkak pada luka episiotomi.
  • Sakit yang teramat di kawasan luka terutama apabila bergesel sewaktu berjalan.
  • Pengeluaran discaj berbau.
  • Demam.

PRAKTIKKAN KAEDAH YANG BETUL

Tips-tips penjagaan luka episiotomi yang diberikan oleh jururawat ini cukup mudah untuk dipraktikkan, bukan?

Semoga semua tips ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan luka episiotomi sentiasa dijaga rapi sehingga ianya kembali sembuh.

 

Mommies mencari set berpantang yang lengkap? Atau bengkung? Atau ‘herbal massage oil’?

Layari Shopee PantangPlus dan dapatkan barangan yang bakal memudahkan proses bersalin & berpantang mommies. Klik sini !

 

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Jururawat Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.