in

Doula Buat Kecoh! Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Doula

Doula menjadi perbualan ramai sejak kebelakangan ini.

Kenapa ia menjadi isu kontroversi? Apa yang menyebabkan orang ramai mempertikaikan doula?

Ia menjadi semakin panas setelah salah sebuah stesyen televisyen tanah air menjadikan isu doula sebagai tajuk perdebatan di antara seorang doula dan seorang pakar perubatan profesional.

Secara realitinya, masih ramai di antara kita tidak mengetahui fakta sebenar di sebalik khidmat perbidanan jenis ini di Malaysia.

Sememangnya terdapat kes kelahiran yang berakhir dengan kematian tetapi isu ini perlu diperhalusi secara ilmiah.

Masih segar dalam ingatan kes pada tahun 2013 di mana seorang ibu meninggal dunia akibat komplikasi serius selepas memilih melahirkan anak dengan ditemani seorang wanita.

Ibu itu dikatakan telah hadir ke beberapa sesi kelas kelahiran di rumah bersama wanita berkenaan untuk mempraktikkannya sendiri.

Terdapat juga kes di mana seorang bayi yang dilahirkan secara normal dibiarkan dalam keadaan tali pusatnya masih bersambung pada uri.

Alasan yang diberikan adalah uri akan kering sendiri dan tali pusat akan tertanggal dengan sendiri. Ramai yang mempertikai kerana keadaan itu akan memudaratkan kesihatan bayi.

 

Apa Maksud Doula Sebenarnya?

doula at work

 

Ia berasal dari perkataan Greek yang bermaksud ‘hamba wanita’.

Kamus English Oxford mentafsirkannya sebagai ‘wanita yang kebiasaannya tiada latihan perbidanan yang formal, diambil bekerja untuk memberi panduan dan sokongan kepada wanita semasa proses kelahiran’.

Berbeza pula dengan penafsiran daripada American Pregnancy Organization – golongan pelatih profesional yang berperanan memberi sokongan emosi, ilmu (kehamilan, meneran dan bernafas) dan fizikal (sentuhan).

 

Jenis-jenis Doula

 

  • Jenis Antepartum berperanan menyampaikan pendidikan berkaitan kehamilan dan teknik kelahiran.
  • Jenis Labor berperanan sebagai peneman ibu ketika bersalin. Bagaimanapun dasar hospital kerajaan Malaysia tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin kecuali suami, begitu juga dengan polisi hospital swasta.
  • Jenis Postpartum membantu proses selepas bersalin dalam hal penjagaan dan penyusuan bayi.

 

Doula vs Bidan

doctor or doula

 

Mungkin sesetengah wanita merasakan doula dan bidan bersalin adalah orang yang sama.

Jangan tersilap!

Bidan atau midwife adalah ahli perubatan terlatih dan profesional yang membantu wanita secara langsung ketika tempoh kelahiran.

Sebagaimana yang diterangkan dari awal, doula hanya bertindak sebagai peneman, membantu secara fizikal seperti kaedah meneran dan urutan bagi menenangkan si ibu.

Para wanita perlu tahu bahawa seseorang doula TIDAK BOLEH / TIDAK LAYAK UNTUK:

  1. Memberikan nasihat perubatan kepada ibu hamil
  2. Menetapkan kaedah bersalin yang sesuai kepada si ibu
  3. Menggantikan peranan doktor, doktor pakar dan jururawat
  4. Menjadi penasihat perubatan utama kepada si ibu
  5. Menangani isu kecemasan semasa bersalin, termasuk si ibu yang mempunyai kandungan berisiko

 

Hukum Menurut Islam

dr zulkifli mufti wilayah

 

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang kurang memahami kesan dan akibat menggunakan servis ini.

Masyarakat luar negara amat menggalakkan proses bersalin di hospital dengan bantuan mereka yang pakar dalam perubatan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam tulisannya pada 11 Februari 2018 menyatakan penggunaan khidmat doula tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan terlatih.

Walaupun ada pihak yang menegaskan amalan ‘home birth’ ini seperti mencontohi Maryam alahissalam, namun hukum fiqh semasa tidak memungkinkan masyarakat sekarang untuk mengamalkannya.

Jika ada pasangan suami isteri menekankan soal aurat ketika bersalin, mereka perlu faham bahawa nyawa adalah jauh lebih penting.

Hari ini sudah banyak wad bersalin yang mesra aurat malah ada juga hospital yang memberi khidmat bersalin dengan menutup aurat.

Amat malang sekiranya minda kita masih sempit dan hanya mementingkan diri sendiri.

 

baby and mom

Jangan biarkan sehingga membahayakan nyawa si ibu dan anak. Fahami sebaik-baiknya fakta peneman ibu dan perkhidmatannya.

Dapatkan nasihat dan pemantauan doktor sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran kelak. Dalami ilmu tentang perbidanan dan hal ehwal bersalin melalui buku, ceramah, blog dan nasihat pakar.

Ianya lebih baik daripada mempertaruhkan nyawa bayi yang dikandung selama sembilan bulan itu.

 

 

Written by Syazwani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

pantang larang selepas bersalin mengkut islam

Pantang Larang Selepas Bersalin Mengikut Islam

senaman kegel

Senaman Kegel Untuk Wanita Bersalin