Motherhood.com.my – Untuk Semua Keperluan Bayi Anda

Perhatian kepada semua ibu bapa, jangan risau! Penyelesaian kepada semua masalah keibubapaan anda akhirnya di sini!

Tidak diragukan lagi menjadi seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Ibu yang baru melahirkan bayi bukan sahaja perlu memberikan lebih perhatian kepada bayinya malah perlu mengekalkan prestasi kerja dan kehidupan seharian. Tidak menang tangan bukan! Jangan risau, Motherhood.com.my boleh membuatkan perjalanan anda sebagai seorang ibu lebih lancar dan mudah.

Apakah rasanya menjadi seorang ibu?

Menjadi seorang ibu merupakan suatu pengalaman yang mencemaskan serta mengujakan pada masa yang sama. Walaupun pengalaman menjadi ibu baru sangat meletihkan, namun ia juga mampu membuatkan anda terasa sangat bahagia. Bergelar ibu bermakna hidup anda juga sudah berubah – segala keputusan dan tindakan yang akan dibuat berdasarkan keperluan anak anda. Perjalanan seorang ibu sangat unik kerana setiap ibu akan memiliki cerita tersendiri dengan si kecil mereka. Namun perjalanan ini bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi ibu bapa si kecil tersebut. Hal ini demikian kerana anda perlu berhadapan dengan situasi yang tidak diketahui ataupun yang tidak dijangka oleh anda. Misalnya, bangun tidur seawal 4.00 pagi untuk menyusukan bayi, menukar lampin di tempat yang tidak selesa, memujuk bayi anda apabila si kecil anda menangis di khalayak ramai serta mengimbangi kehidupan profesional dan keibubapaan dengan jadual yang padat. Meskipun begitu, ia juga memberikan seribu satu kegembiraan dan kenangan, melihat anak anda membesar dan paling penting, berbangga dengan apa yang telah anda capai bersama si anak. Oleh sebab itu, kami membuat keputusan untuk mencipta Motherhood.com.my khusus untuk menemani para ibu bapa sepanjang perjalanan ini dan membantu membuatkan pengalaman keibubapaan anda terasa mudah.

 

Siapa kami? Dan apa yang kami lakukan?

Sejak tahun 2014, Motherhood.com.my adalah satu platform atas talian untuk para ibu bapa membeli barang-barang keperluan ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak. Matlamat kami? Membantu ibu bapa terutamanya para ibu menghadapi setiap fasa yang berlainan semasa hamil. Selain itu, rangkaian produk kami terdiri daripada jenama berkualiti tinggi lagi dipercayai seperti Nestle,Fiffy, Philip Avent dan Pigeon; juga produk seperti OEM yang berkualiti dan berpatutan bagi mereka yang ingin memilih produk dengan harga mampu milik. Pendek kata, kami menawarkan lebih daripada 500 jenama merentasi 90 kategori yang berbeza, merangkumi susu formula, permainan kanak-kanak, lampin pakai buang sehinggalah kepada pam menyusu. Hasilnya, para ibu dengan mudah dapat mencari barang keperluan bayi mereka.

Melalui blog kami, ibu-ibu boleh mendapatkan maklumat berguna berkaitan tips keibubapaan, panduan menyusu, ulasan mengenai produk dan testimoni para ibu. Blog ini ditulis bertujuan untuk memudahkan tugas ibu bapa dan memberikan ruang untuk mereka mencipta kenangan bersama anak mereka. Bukan itu sahaja, kami juga menyediakan video bersiri bagi menyelesaikan masalah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu di Malaysia. Kami juga telah menemuramah selebriti yang bergelar ibu seperti Amber Chia, Belinda Chee, Azura Zainal serta ramai lagi. Mereka memberikan nasihat dan berkongsi pengalaman tentang cara mereka membesarkan anak masing-masing.

Menyedari bahawa proses membesarkan anak boleh membuatkan anda kesempitan wang, kami sentiasa menawarkan promosi secara berterusan dan keahliaan secara percuma. Tambahan pula, ibu bapa berpeluang untuk memenangi hadiah percuma dengan menyertai pertandingan yang terdapat di media sosial kami.

Jadi apa yang anda tunggu? Layari Motherhood.com.my sekarang untuk penyelesaian kepada semua masalah keibubapaan anda!

7 Topik Mudah Bercakap Dengan Bayi

Perkembangan bahasa merupakan perkara yang sangat penting buat kanak-kanak. Bermula dengan hanya membuat bunyi-bunyi tertentu, beralih kepada menyebut perkataaan dan seterusnya membina ayat, ia sebenarnya memerlukan rangsangan daripada ibu bapa serta individu di sekeliling mereka.

Menurut Prof. Erika Hoff, seorang Ahli Psikologi Perkembangan di Florida Atlantic University, kanak-kanak tidak dapat belajar apa yang mereka tidak dengari. Ibu bapa seharusnya bercakap dengan bayi dan anak kecil sepertimana bercakap dengan orang dewasa (berserta kata hubung, kata adjektif dan sebagainya) agar mereka mendapat input bahasa yang sewajarnya.

Walaupun bayi tidak memberikan maklumbalas, ibu bapa perlu rajin berbual dan bercakap dengan mereka seawal bayi lagi. Apabila bayi mendengar perkataaan yang disebut oleh ibu bapa, ianya akan disimpan di dalam memori mereka dan akan digunakan oleh mereka untuk bertutur apabila tiba masanya kelak.

Bercakap dengan bayi
Foto Kredit : pplware.sapo.pt

7 TOPIK MUDAH BERBUAL DENGAN BAYI

Untuk peringkat permulaan, mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya, apakah topik mudah yang sesuai untuk dibualkan dengan bayi?

Berikut merupakan 7 topik mudah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk berbual dengan bayi setiap hari.

1. ANGGOTA BADAN

Topik paling mudah yang boleh dibualkan di mana-mana sahaja adalah berkenaan anggota badan.

Ibu bapa hanya perlu sebutkan nama anggota badan sambil memegang atau menunjukkan kepada bayi anggota badan berkenaan. Selain itu, kita boleh memberitahu anak tentang kegunaan setiap anggota badan tersebut dalam kehidupan seharian. Bagi yang beragama Islam, selitkan juga tentang pencipta anggota tubuh badan kita ini.

Lebih menarik lagi, jika ibu bapa boleh menyanyikan lagu-lagu ringkas tentang anggota badan. Tentu anak kecil ini berasa seronok dan gembira mendengar nyanyian itu sambil belajar tentang anggota badan.

Bercakap dengan bayi
Foto Kredit : dzielnicarodzica.pl

2. AKTIVITI HARIAN

Apa jua perkara yang sedang kita lakukan terhadap bayi, beritahu kepada bayi. Beritahu kepada bayi sama ada kita sedang memakaikannya pakaian, memandikannya, menyapu losyen pada badan bayi, memakaikan lampin pada bayi, dan sebagainya agar mereka belajar bahawa ibu atau bapa mereka sedang merapikan diri mereka.

Selain itu, kita juga boleh memberitahu kepada bayi perkara yang sedang kita lakukan seperti sedang mengemas beg, menutup almari, menyidai tuala, menyangkut baju dan sebagainya.

Jika begini caranya, pasti tidak henti-henti mulut kita berbicara dengan bayi, bukan? Dengan cara ini, semakin banyak input diterima oleh bayi dalam membantu perkembangan bahasa mereka.

Cara bercakap dengan bayi
Foto Kredit : checkpregnancy.com

3. PAKAIAN

Sama ada ibu bapa mahu pun bayi, pakaian pasti ditukar setiap hari. Maka, pakaian juga merupakan salah satu topik mudah untuk dibualkan dengan bayi.

Beritahu anak kecil ini tentang pakaian yang sedang mereka pakai pada hari itu – tentang warna pakaian, jenis pakaian tersebut (seluar, baju, dan lain-lain), serta pakaian tersebut dipakai pada waktu malam atau siang.

Ibu bapa juga boleh memberitahu bayi tentang pakaian yang kita pakai pada hari itu. Pasti banyak perkara yang bayi dapat belajar walaupun ia hanya berkisar tentang pakaian sahaja.

Cara bercakap dengan bayi
Foto Kredit : covermagazin.com

4. BENDA DI SEKELILING

Benda di sekeliling merupakan topik yang paling banyak untuk dibualkan dengan bayi. Bila bercakap dengan bayi, cuba perkenalkan kepada mereka dengan pelbagai jenis permainan, makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, perabot dan apa jua yang kelihatan di sekeliling kita.

Terangkan juga kepada bayi tentang warna, saiz, bentuk, dan sebagainya bagi memberi input tambahan kepada bayi tentang sesuatu item tersebut.

Jika barang tersebut tidak merbahayakan, benarkan anak kecil ini untuk memegang barang itu. Dengan cara ini, bayi bukan sahaja dapat mengenal pelbagai benda di sekelilingnya, malah turut membantu perkembangan deria sentuhan mereka.

Tips bercakap dengan bayi
Foto Kredit : tqrtmtesting.com.au

5. CUACA

Untuk berbual tentang cuaca, ibu bapa perlu membawa atau mengajak anak keluar atau sekurang-kurangnya melihat daripada tingkap mahu pun pintu kaca, bagaimanakah cuaca di luar pada hari ini. Adakah pada hari ini cuaca panas, hujan gerimis, hujan lebat, cerah atau mendung? Adakah kelihatan matahari, awan atau pelangi di luar sana?

Bagaimana pula dengan keadaan persekitaran ketika itu? Jika cuaca ketika itu berangin, ibu bapa boleh memberitahu bayi bahawa angin itu walaupun tidak dapat dilihat, ianya dapat dirasakan sejuk pada kulit, dedaun pokok bergoyang ditiup angin dan ada juga daun yang luruh ke tanah.

Jika kita tinggal atau bercuti di negara yang mempunyai empat musim, lebih banyak pengalaman dapat dilalui dan lebih banyak perkara dalam topik cuaca dapat dibualkan dengan anak kecil.

Daripada topik ini, anak kecil ini dapat belajar bahawa cuaca mungkin berubah dan tidak semestinya sama pada setiap hari.

Tips bercakap dengan bayi
Foto Kredit : tandcglass.com

6. DESTINASI

Ibu bapa dan bayi pasti tidak akan duduk di rumah sahaja setiap hari, bukan? Apabila keluar daripada rumah untuk membeli barang atau sekadar mengambil angin luar, ceritakan kepada bayi destinasi yang ingin dituju.

Beritahu bayi ke mana tempat kita akan pergi, tujuan kita ke sana, berapa lama kita dijangka akan berada di sana, dan sebagainya.

Dalam perjalanan menuju ke destinasi, sekiranya bayi tidak tidur, berbual dengan bayi tentang lampu isyarat, kenderaan, deretan pokok atau bangunan di tepi jalan. Apabila telah sampai ke destinasi, maklumkan kepada bayi bahawa kita telah tiba ke lokasi yang dimaksudkan.

Walaupun bayi mungkin belum dapat melihat dengan jelas tentang apa yang diceritakan oleh ibu bapa, tetapi apa jua yang kita bualkan itu akan disimpan ke dalam memori mereka. Oleh itu, usah pernah jemu untuk berbual dengan bayi.

Tips bercakap dengan bayi dalam kandungan
Foto Kredit : grist.org

7. KEADAAN PERSEKITARAN

Keadaan persekitaran sama ada di rumah mahu pun di luar rumah pastinya berbeza, bukan? Bagi bayi, semua persekitaran adalah perkara baru buat mereka.

Jika berada di dalam rumah, beritahu bayi bahawa kita berada di bilik, ruang tamu, dapur, bilik mandi, dan sebagainya. Jika terdapat bunyi kipas atau televisyen, beritahu mereka juga tentang bunyi tersebut. Dengan ini, mereka dapat mengaitkan apa yang mereka dengari dengan perkataan-perkataan yang disebut oleh ibu bapa.

Apabila berada di luar rumah, dengarkan jika terdapat bunyi cengkerik, ayam, kicauan burung, desiran ombak menghempas pantai, dan sebagainya. Jelaskan kepada bayi sama ada suasana ketika itu senyap atau pun bising. Selain itu, berikan juga input kepada bayi tentang apa yang kelihatan di persekitaran mereka. Ingat, bercakap dengan bayi, kena tengok keadaan persekitaran juga.

Tips bercakap dengan bayi dalam kandungan
Foto Kredit : drdiegobiella.com.br

JOM BERBUAL DENGAN BAYI

Walaupun mungkin terdapat segelintir masyarakat yang pelik melihat kita bercakap dengan bayi, usah bimbang, bercakap dengan bayi sebenarnya adalah perkara yang normal. Kita seharusnya berasa lebih bimbang jika tidak mendedahkan sebarang input bahasa buat bayi semenjak mereka kecil.

Selain daripada 7 topik di atas, terdapat banyak lagi perkara yang boleh kita bualkan dengan bayi. Mindanya yang sedang pesat berkembang perlu diberi rangsangan bahasa semaksimum mungkin agar potensinya untuk bertutur dapat digilap oleh ibu bapa.

Jadikan aktiviti berbual dengan bayi sebagai rutin harian dan kebiasaan kita bersama mereka. Semoga dengan usaha ibu bapa yang rajin berbual dengan bayi, anak ini akan cepat bertutur dan membesar menjadi individu yang bijak.

Jom berbual dengan bayi!

4 Tips Mengatasi Bayi Meleleh Air Liur dari 'Occupational Therapist'

“Kenapa dengan si kecil ni ya, semua barang nak masuk dalam mulut? Lepas tu, meleleh air liur dia, tak berhenti!. Bagaimana cara untuk atasi kedua-dua isu ini ya?

Setiap anak adalah berbeza. Mereka berbeza dari pelbagai aspek termasuklah dari segi fizikal, tahap perkembangan, cara belajar, minat dan juga ragam.

Antara perkara yang sering menjadi tanda tanya ibu bapa adalah mengapa anak gemar memasukkan barang yang dijumpai ke dalam mulut dan mengapa air liur anak sering meleleh.

Ikuti perkongsian seorang ‘Occupational Therapist’ (OT), iaitu Puan Mahfuzah Zainol tentang cara-cara mengatasi masalah anak yang gemar memasukkan barang ke dalam mulut dan mengurangkan atau menghentikan lelehan air liur anak.

Foto Kredit : verywell.com

‘ORAL SENSORY SEEKING BEHAVIOUR’

Dalam perkembangan kanak-kanak atau ‘developmental milestone’, ‘oral sensory seeking behaviour’  ini pada kebiasaannya dapat dilihat pada usia anak di bawah 1 tahun, iaitu apabila anak sering memasukkan barang ke dalam mulutnya atau sering melelehkan air liur.

Jika perkara ini masih berlaku selepas anak melewati umur 1 tahun, kemungkinan terdapat isu ‘sensory craving’  atau ‘sensory seeking’  pada bahagian oral atau mulut anak.

Dalam usaha menangani kedua-dua isu ini, ibu bapa boleh mempraktikkan 4 teknik berikut untuk mengurangkan dan seterusnya mengatasi kedua-dua perkara tersebut daripada terus berlaku.

1. TEKNIK ‘ORAL MOTOR STIMULATION’

‘Oral motor stimulation’  ini menggunakan kaedah ‘mouth tapping and pressing’  di sekitar mulut dan pipi anak.

Objektif teknik ini adalah untuk memberi ‘sense of tactile input’  (sentuhan dan ‘touch pressure’) di sekitar kawasan itu.

Teknik ‘oral motor stimulation’  ini sangat sesuai juga untuk kanak-kanak yang mengalami masalah ‘drooling’  atau meleleh air liur (kerana tidak menelan air liur tersebut).

Ia turut berkesan membantu bayi pra matang (seperti anak pertama Puan Mahfuzah) untuk menghisap susu terus dari badan. Cuma teknik ini perlu kerap dipraktikkan.

Foto Kredit : pinterest.com

2. GUNA ‘TEETHER’

Salah satu cara untuk menangani masalah ‘sensory seeking behaviour’  pada otot oral anak adalah dengan menggunakan ‘teether’. ‘Teether’  ini digunakan untuk digigit oleh anak-anak yang mempunyai ‘sensory seeking’  atau ‘sensory craving’  di sekitar mulut mereka.

Kini, terdapat pelbagai jenis ‘teether’  yang menarik dengan pelbagai bentuk dan warna dijual di pasaran.

Objektif penggunaan ‘teether’  ini adalah untuk mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka. Penggunaan ‘teether’  lebih terjamin kebersihannya berbanding barang atau objek lain yang diragui tahap kebersihannya.

Selain itu, objektif penggunaan ‘teether’  ini adalah memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala.

Foto Kredit : chipi.co.il

3. GUNA ‘CHEWY TUBE’

‘Chewy tube’  merupakan alat permainan kanak-kanak yang dicipta khas agar boleh digigit oleh mereka.

Fungsi dan objektifnya adalah sama seperti ‘teether’  iaitu untuk mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka dan memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala.

‘Chewy tube’  ini boleh digantung pada leher anak. Sekiranya anak terasa ingin menggigit, mereka boleh menggigit ‘chewy tube’  ini untuk memenuhi keperluan sensori oral mereka (oral sensory fulfilness).

Foto Kredit : rehabmart.com

4. GUNA ‘TOOTHETTE’

‘Toothette’  merupakan alat penjagaan oral yang jika dilihat sekali imbas, ianya kelihatan seperti lollipop. Walau bagaimanapun, ‘toothette’  sebenarnya merupakan batang (stick) yang di hujungnya terdapat kapas atau span untuk digunakan oleh ibu bapa bagi memberi rangsangan (stimulate) pada bahagian oral motor iaitu di sekitar bahagian dalam mulut anak.

Fungsi ‘toothette’  ini juga sama seperti ‘teether’  dan ‘chewy tube’  iaitu bertujuan memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala serta mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka.

Foto Kredit : ebay.com

SEJAUH MANA KEBERKESANAN TEKNIK-TEKNIK INI?

Sebagai ibu bapa, kita pasti tertanya-tanya, adakah teknik-teknik ini akan membuahkan hasil yang diingini apabila dipraktikkan kelak?

Sejujurnya, bukan mudah untuk menangani isu ‘oral sensory behaviour seeking’  ini pada anak. Kesemua tips dan teknik ini bukan ‘magic touch’  yang mana hanya perlu buat sekali sahaja dan ianya terus berkesan. Ia memakan masa dan perlu dilakukan berterusan sehingga terlihat kesannya.

Terdapat ibu bapa yang sering berputus asa setelah teknik-teknik ini tidak berjaya membuahkan hasil.

Ini contoh kes kanak-kanak berumur 4 tahun mengalami masalah ‘drooling’  yang teruk. Pada awal pertemuan, bajunya basah dek lelehan air liurnya. Dan air liur ini apabila kering mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Setelah hampir setahun mempraktikkan teknik-teknik yang dinyatakan seperti di atas, Alhamdulillah air liurnya berkurangan sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun, tidak bermakna dengan melakukan teknik-teknik itu semata-mata, ianya berjaya menangani isu anak berusia 4 tahun ini. Tetapi mungkin dengan usaha itu, Allah memperkenankan doa kita sebagai ibu bapa dan memperlihatkan hasilnya.

Foto Kredit : grebweb.com

USAHA SELAGI TERDAYA

Setiap masalah seperti bayi meleleh air liur, ada jalan penyelesaiannya termasuk isu ‘oral sensory seeking behaviour’  ini. Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk ditangani, teruskan berusaha dan usah berputus asa. Kerana berusaha itu adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa dan mengharapkan keajaiban berlaku dengan tiba-tiba.

Kita hanya berusaha, Allah yang akan menentukannya. Semoga dengan usaha, diiringi dengan doa serta keyakinan kita sebagai ibu bapa, in sha Allah kelak, kita pasti berjaya menyelesaikan apa jua masalah yang dialami anak-anak.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Mahfuzah Zainol melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.