15+ Kebaikan dan Kelebihan Urut Selepas Bersalin

Kebaikan dan kelebihan urut selepas bersalin

Selepas bersalin, badan letih dan rasa layu. Bahasa orang kita, badan rasa lemau.

Maka, ramai mencadangkan agar ibu-ibu yang baru lepas bersalin, supaya mendapatkan urut selepas bersalin untuk mengembalikan semula kesegaran badan.

Kelebihan urut selepas bersalin ini bukanlah dongengan semata-mata. Berikut ialah antara kelebihan urut pada ibu selepas melahirkan anak:

 

Melancarkan perjalanan darah dalam badan

Urut selepas bersalin ini dapat meningkatkan lagi pengaliran darah. Maka, ini akan membolehkan ibu mendapat lebih banyak oksigen yang disalurkan pada tubuh badan.

 

Membetulkan urat tegang, terputus atau yang terkeluar dari tempatnya

Perlu ambil maklum, bahawa urut selepas bersalin ini bukanlah penawar sepenuhnya kepada masalah tegang urat. Cuma ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan.

 

Meredakan tekanan

Bila stress, bukankah dengan berurut itu dapat melegakan kita?

 

Membanyakkan susu badan

Minta tukang urut untuk urut sekali di bahagian payu dara. Perlu diingat, ia bukan menjamin susu jadi banyak. Cuma jika urut payu dara dimasukkan sekali dalam sesi urutan selepas bersalin, ia akan merangsang sel-sel payudara supaya lancar.

Dengan PantangPlus, pakej urut selepas bersalin memang sudah termasuk sekali dengan urut payu dara. Selain dapat hilangkan bengkak susu, dapat juga merangsang sel-sel.

 

Mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan selepas kerja keras melahirkan anak

Semua ibu yang pernah melahirkan anak, pasti bersetuju bahawa melahirkan anak itu menggunakan banyak tenaga, mental dan fizikal. Maka, untuk pulih dengan cepat, ia perlukan sokongan setiap ahli keluarga.

 

Kelebihan dan kebaikan urut selepas bersalin yang lain ialah:

 

Mengeluarkan angin dalam badan

 

Mengeluarkan darah yang terperangkap dan tertakung

 

Menaikkan rahim

 

Mengecutkan rahim

 

Memecahkan lemak

 

Mengetatkan dan membentuk kembali tubuh

 

Menyegarkan badan

 

Sebelum menjalani urutan selepas bersalin

Pastikan ibu telah memberi susu pada bayi terlebih dahulu. Jika tidak, sediakan susu dengan mengepam sebelum tukang urut datang.

Kenapa?

Ini kerana, proses urutan boleh terganggu kerana bayi akan menangis minta disusukan.

Jika masih lagi tercari-cari tukang urut selepas bersalin, jangan segan-silu untuk hubungi kami di PantangPlus. Kami sedia membantu.

7 Menu Berpantang Yang Anda Belum Cuba Lagi

menu berpantang

Bagi ibu-ibu yang sedang melalui tempoh berpantang, menu makanan berpantang adalah kemestian.

Selepas melahirkan bayi, para ibu disaran mengamalkan pemakanan sihat berupa menu berpantang yang berkhasiat untuk mengembalikan tenaga yang hilang.

Biasanya tempoh berpantang adalah lama, sekurang-kurangnya selama 44 hari.

Ramai yang kata menu berpantang membosankan, benarkah begitu?

Membosankan atau tidak, pemakanan si ibu perlu dijaga untuk mengelakkan masalah sampingan seperti bentan dan luka lambat sembuh.

Sebenarnya menu pantang bukan hanya terhad kepada nasi kosong dan ikan bakar sahaja, ia boleh dipelbagaikan dan masih menyelerakan.

Untuk para ibu yang sedang berpantang atau bakal ibu, kami kongsikan 7 menu menarik semasa berpantang yang boleh anda cuba.

 

Lempeng Nestum

 

Bahan-bahan:
1 ½ cawan nestum
3 sudu besar susu pekat manis
2 cawan susu segar
2 sudu besar madu
1 cawan tepung gandum (boleh ditambah jika adunan lembik)
Kismis (ditabur atas adunan ketika masak)

Cara-cara:

  • Campur semua bahan kecuali kismis di dalam mangkuk, gaul sebati sehingga menjadi pekat.
  • Panaskan minyak zaiton atau butter di atas kuali non-stick untuk elak adunan melekat. Guna api kecil.
  • Masukkan sesenduk kecil adunan, ratakan dan tabur kismis.
  • Balikkan apabila bahagian bawah adunan sedikit keras, kemudian angkat.

 

Sup Herba Ikan Haruan

 

Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan
2 sudu besar minyak jagung
2 cawan air
Ditumbuk – 1 sudu besar lada hitam, 3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 2 cm halia
1 keping asam keping
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  • Bersihkan ikan dengan air asam jawa terlebih dahulu untuk hilangkan hanyir ikan. Potong kepada dua bahagian.
  • Panaskan minyak jagung, tumis bahan-bahan yang ditumbuk sehingga wangi.
  • Masukkan air, kacau hingga mendidih.
  • Masukkan asam keping dan ikan, kacau rata dan masak hingga menduduk.
  • Boleh campur serbuk rempah sup.
  • Taburkan daun bawang dan daun sup sebelum dihidang.

 

Grilled Salmon Dengan Lada Hitam 

 

Bahan-bahan (ikan)
1 keping ikan salmon
1 sudu kecil minyak zaiton
1 biji bawang merah (potong kasar)
1 biji bawang putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk daun rosemary
Garam secukup rasa

Bahan-bahan (sos lada hitam)
1 biji bawang merah
1 kiub stok ayam
1-2 sudu besar lada hitam tumbuk halus
Kicap
2-3 sudu tepung jagung campur dengan air
2 sudu minyak zaiton

Cara-cara:

  • Perap ikan bersama bahan-bahan lain selama 4-5 jam. Kemudian perap sehingga masak.
  • Untuk memasak sos, tumis bawang merah yang dicincang, masukkan tepung jagung yang dicampur air, masukkan kiub stok ayam dan kacau rata.
  • Masukkan kicap dan lada hitam. Masak hingga mendidih.
  • Boleh tambah air jika kuah kurang pekat.
  • Setelah masak hidangkan bersama ikan salmon.

 

Kerabu Nasi Ulam Daging 

 

Bahan-bahan:
500g nasi putih
400g daging (diperap rempah, dipanggang dan potong nipis)
40g ikan bilis
30g lada hitam
3 biji bawang merah
6 batang serai
½ biji cili benggala

Bahan ulam:
2 helai daun selom
2 batang bunga kantan
3 helai daun kunyit
6 helai daun kaduk
5 helai daun limau purut
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  • Sangai ikan bilis dan bawang.
  • Tumbuk lada hitam hingga hancur. Gaulkan bersama bawang, serai, halia, lengkuas dan cili benggala.
  • Campurkan bersama nasi dan ulam-ulaman yang telah dihiris halus.

 

Kerutuk Daging

 

Bahan-bahan:
1 kg daging batang pinang – dihiris
2-3 sudu besar rempah kerutuk
Kisar – 2 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah
Hiris halus – 2 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah, 2cm halia
Rempah – kayu manis, bunga lawang, buah pelage
Sekotak santan
1 keping asam keping
Gula melaka, gula pasir dan garam secukup rasa

Cara-cara:

  • Campur bawang yang dikisar bersama rempah kerutuk, manakala bawang dan halia yang dihiris ditumis bersama rempah.
  • Selepas garing masukkan rempah kerutuk, masak hingga keluar minyak.
  • Masukkan daging, tambah sedikit air dan dikacau rata. Masak sehingga air kering, keluar minyak dan sehingga daging empuk.
  • Masukkan santan, masak sehingga mendidih.
  • Perasakan dengan garam, gula, gula melaka dan asam keping.

 

Tortilla Daging dan Keju 

 

Bahan-bahan:
1 keping tortilla
1 keping keju
Daging yang dibakar dengan rempah dan dihiris halus
Potong dadu – 1 biji tomato, ½ batang lobak, 1 biji bawang Holland dan 1 biji cili benggala
Sedikit lada hitam, garam
Salad dipotong nipis

Cara-cara:

  • Gaul kesemua bahan termasuk salad.
  • Letakkan di atas tortilla bersama keju.
  • Gulung kemas dan boleh dimakan.

 

Kerabu Daun Mengkudu

 

Bahan-Bahan:
200g pucuk mengkudu
3 sudu kecil kelapa parut
½ biji bawang besar dihiris halus
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  • Celur sebentar pucuk mengkudu, kemudian tos air dan hiris halus.
  • Gaul bersama pucuk mengkudu bersama bahan-bahan lain dan perasakan dengan gula dan garam.

 

Diharap koleksi menu berpantang ini dapat membantu anda mempelbagaikan pemakanan anda semasa tempoh berpantang kelak. Selamat mencuba 🙂

 

 

Senarai Tukang Urut Selepas Bersalin (Kemaskini 2019)

Senarai tukang urut selepas bersalin

Bukan mudah hendak mencari tukang urut selepas bersalin yang berilmu, berkualiti dan dipercayai. Mereka bukan sahaja masuk ke rumah, tubuh kita juga akan dilihat dan disentuhnya, malahan bukannya sekali, tetapi urutan badan perlu dilakukan dalam beberapa hari.

Jika tersilap pilih, merugikan wang dan matlamat yang diingin dicapai pula akan menjadi bayangan sahaja. Badan pun sakit-sakit.

Disini disertakan senarai tukang urut selepas bersalin yang kami kumpulkan dari beberapa laman web yang lain.

Perlu diingat, senarai ini bukan dari kami. PantangPlus hanya menyenaraikan sahaja. Sila berurusan terus dengan mereka.

 

Senarai #1: Wan Syahida Kahar

http://wansyahidakahar.blogspot.com/2017/02/senarai-tukang-urut-dan-mak-bidan.html

Blogger ini kumpulkan maklumat bidan urut dari media sosial. Beliau himpunkan dalam satu.

Senarai #2: SirapLimau

https://siraplimau.com/senarai-tukang-urut-selepas-bersalin/

Senarai ini mungkin agak lama kerana tarikh akhir dikemaskini ialah pada tahun 2016. Kalau rajin, boleh cuba Whatsapp makcik tukang urut dalam senarai ini satu-satu.

Yang kami suka, ada juga senarai dari luar Selangor dan Kuala Lumpur!

 

Senarai #3: TiniSpa

http://www.tinispa.com.my/senarai-bidan-rawatan-selepas-bersalin-sekitar-kuala-lumpur-dan-selangor/

Senarai ini terhad kepada kawasan bandar, iaitu di kawasan Lembah Kelang sahaja.

 

Pesanan kami

Hati-hati semasa mencari tukang urut selepas bersalin. Ada yang kurang pengalaman, tapi dia kata sudah buat servis banyak kali.

Cuba dapatkan saranan kawan-kawan lain yang pernah ambil dengan tukang urut yang mereka selesa. Mahal sikit tidak mengapa, janji puas hati.

Sebagai alternatif, boleh terus hubungi PantangPlus yang mempunyai rangkaian tukang urut selepas bersalin di seluruh Malaysia dan luar negara.

Lebih mudah, jimat masa dan tidak pening kepala!

6 Tips Mencegah Meroyan Semasa Berpantang (Selepas Bersalin)

Meroyan semasa berpantang

Meroyan atau juga dikenali umum sebagai post-partum depression adalah masalah mental yang berlaku kepada wanita selepas bersalin. ‘Post’ bermakna ‘selepas’ dan ‘Partum’ adalah dari perkataan Latin yang bermaksud ‘Membawa/Mengandungi’.

Sebenarnya meroyan semasa berpantang tidak boleh terus dikatakan sebagai gila, ini kerana terdapat tiga kategori meroyan mengikut tahap dari segi perubatan yang, iaitu blues (perasaan sedih agak panjang), depression (kemurungan) dan yang paling teruk adalah psychosis.

Mengikut kajian, perasaan sedih (post-partum blues) boleh menyerang 50% hingga 85% ibu dan kerap berlaku dalam dua minggu setelah melahirkan. Ia boleh dikenali melalui sikap yang berubah mendadak, cepat tersentuh, merasa gelisah dan terasa kesunyian tanpa bantuan.

Kategori kedua pula adalah post-partum depression iaitu kesedihan dan kemurungan yang lebih berpanjangan sehingga setahun selepas melahirkan. Kebarangkaliannya terjadi pula adalah sehingga 13%, iaitu jauh lebih tinggi berbanding meroyan kategori ketiga iaitu post-partum psychosis yang mempunyai kadar hanya 0.01% kemungkinan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah bersalin.

Tanda Meroyan

Terdapat banyak tanda meroyan semasa berpantang yang perlu difahami bakal ibu dan diperhatikan oleh orang disekelilingnya, termasuklah;

  1. Terlalu banyak menangis dan merasa putus asa
  2. Kurang selera makan
  3. Emosi sensitif dan menjauhkan diri
  4. Tidak boleh tidur (insomnia) walau telah dibantu
  5. Tidak cekap menguruskan diri sendiri
  6. Halusinasi seakan berada dalam dunia sendiri
  7. Mendengar ‘bisikan’, cenderung perkara memudaratkan diri dan orang lain

Namun terdapat jenis meroyan yang menjadikan seseorang itu pasif, tidak memudaratkan diri sendiri namun sudah menjadi tidak cekap mengurus diri selain mengalami masalah ingatan. Ibu sahabat baik saya, Auntie ‘Z’ mengalami meroyan jenis ini setelah melahirkan anak kelimanya iaitu adik sahabat saya. Dia terpaksa bersara awal dari menjadi guru sekolah dek kerana tidak mampu menjalankan tugas dan seakan-akan hilang ingatan.

Sehingga kini beliau masih berkeadaan begitu namun dari jauh, keadaannya kelihatan agak normal. Makan dan pakainya dijaga rapi oleh ahli keluarga selain masih mengambil ubat yang dibekalkan hospital. Namun sekiranya berbual dengan beliau, beliau tidak akan menjawab soalan dengan begitu tepat selain akan mengulang mengatakan sesuatu dengan berkali-kali tanpa memandang siapa yang bertanya.

Punca Meroyan

Kerapkali puncanya dikaitkan dengan penurunan mendadak hormon setelah bersalin, walaupun kajian terhadapnya masih dijalankan. Namun perkara berikut mungkin menyumbang kepada punca berlakunya meroyan semasa berpantang;

  1. Perubahan fizikal tubuh
  2. Menghadapi penyakit setelah bersalin seperti masalah pencernaan dan tekanan darah
  3. Proses kehamilan dan bersalin yang sukar
  4. Sokongan kekeluargaan dan kewangan yang goyah
  5. Perubahan jadual tidur dan cara hidup yang lebih fokus kepada bayi; bukan diri sendiri
  6. Sejarah keluarga mengalami depresi

Mencegah lebih baik dari mengubati, namun sekiranya sudah mengalami tanda meroyan semasa berpantang, terdapat pelbagai cara untuk mengubati dan mengatasinya.

Cara Atasi Meroyan

Cara mengubati meroyan adalah melalui pelbagai sudut termasuk memperbaiki hubungan sosial, spiritual dan akhir sekali adalah melalui bantuan perubatan.

  1. Ubat anti depressant iaitu ubat yang membantu mengimbangkan kimia otak yang merangsang emosi
  2. Terapi psikologi melalui perkongsian perasan dan beban yang dirasai
  3. Merapatkan diri dengan Tuhan
  4. Kurangkan rasa mementingkan kesempurnaan
  5. Mendapatkan pembantu rumah
  6. Bergaul dengan ibu-ibu yang lain dan berjumpa teman yang dipercayai

Cara Mencegah Meroyan

Cara terbaik untuk terus mencegah meroyan ketika berpantang dari terkena adalah termasuk;

  1. Membuat pelan pengurusan rumah seperti membeli bekalan makanan dan keperluan secukupnya
  2. Meminta bantuan seseorang menguruskan rumah
  3. Mengikut pantang diet makanan yang kurang minyak, bernutrisi tinggi dan menggunakan bahan segar
  4. Cuba sebaik mungkin mendapatkan rehat dan tidur yang cukup terutama ketika bayi sedang tidur
  5. Mendapatkan urutan tubuh untuk melegakan kesakitan dan menenangkan fikiran
  6. Berbual dan berkongsi segala keresahan yang dirasai

Saya sendiri mengakui saya melalui post-partum blues dimana saya merasa letih dek kerana melayan bayi menyusu dan menangis dengan kerap. Tubuh sendiri masih belum pulih setelah bersalin, kemudian waktu makan dan rehat yang amat diperlukan juga terpaksa ditolak tepi demi memberi sepenuh perhatian kepada bayi sendiri.

Bantuan yang diberi ahli keluarga mencukupi namun ketika sedang berehat atau makan, terbit pula perasaan rasa bersalah kerana meninggalkan bayi bersama ahli keluarga yang terpaksa berhempas-pulas membantu.

Namun terkadang memang mesti ‘mementingkan diri’ dengan mengurangkan pengurusan rumah dan lebih menumpukan kepada mendapatkan waktu rehat dan memanjakan diri demi memulihkan tubuh. Pakej-pakej untuk memulihkan tubuh boleh didapati di PantangPlus.com.

Semoga diizinkan Tuhan ‘menghilangkan’ perasaan murung tersebut melalui usaha anda berterusan.

Cara Mandi Nifas dan Mandi Wiladah Yang Betul (Sumber Mufti Wilayah)

Cara mandi nifas

Mandi Wajib Nifas VS Mandi Wajib Wiladah; perkara yang tidak asing lagi diperkatakan oleh semua wanita yang beragama Islam lebih-lebih lagi yang baru mendirikian rumah tangga.

Ini kerana, perkara ini sangat penting untuk kita ambil tahu agar ibadah kita tidak tersia-siakan dek kerana cara mandi wajib yang tidak betul akibat daripada kealpaan kita daripada mengambil tahu. Tahukah anda mandi wajib selepas bersalin terbahagi kepada dua iaitu mandi wajib Nifas dan mandi wajib Wiladah.

Apa itu Nifas?

Nifas merupakan darah yang keluar daripada rahim sejurus melahirkan anak atau sebaik sahaja rahim dikosongkan. Terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan seseorang wanita itu tidak mengalami darah nifas antara asbabnya adalah keguguran ataupun melahirkan secara caesar. Darah nifas yang keluar selalunya selama 40 hingga 60 hari, bergantung kepada cara si ibu berpantang.

Apa itu Wiladah?

Manakala Wiladah pula bermaksud ‘bersalin atau melahirkan’ termasuklah wanita yang  keguguran (walaupun cuma segumpal darah atau segumpal daging) atau yang melahirkan secara caesar.Menurut Mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad wanita ini WAJIB MANDI, sekalipun tiada darah nifas yang keluar. Hal ini kerana, secara QIAS anak yang lahir itu adalah hasil gabungan air mani lelaki dan air mani wanita oleh itu hukum mandi wajib tetap sama walaupun berbeza cara melahirkannya.

Persoalan yang selalu timbul

“Kalau tiada darah nifas, perlu ke aku cepat-cepat mandi wajib wiladah? Dan kalau aku ada darah nifas, adakah aku perlu mandi wajib dua kali (nifas dan wiladah)? Dan jika aku kedatangan nifas dan haid serentak, macam mana?. Ataupun selesai nifas, terus datang haid, perlu ke aku mandi wajib dua kali (nifas dan haid)?”

Berikut adalah antara persoalan yang selalu bermain difikiran newly mom, ramai yang beranggapan bahawa mandi wiladah harus dilakukan dengan segera dan kemudiannya setelah habis nifas wajib mandi sekali lagi dan sesiapa yang didatangi haid harus mandi dua kali juga. Pandangan ini adalah TIDAK BENAR sama sekali, menurut Imam Syafi’ie ianya turut tidak dianjurkan oleh hukum dan menyusahkan.

Jawapan kepada persoalan mandi nifas dan mandi wiladah

Oleh itu, para ibu sila ambil perhatian, mandi wajib wiladah yang dilakukan dalam kadar segera adalah untuk mereka yang TIDAK keluar darah nifas, yang biasanya keguguran atau caesarian. Agar ianya membolehkan anda beribadah seperti biasa walaupun masih dalam tempoh berpantang. TETAPI, bagi mereka yang mempunyai darah nifas anda perlu lah menunggu sehingga darah nifas anda kering dan mandi wajib dilakukan cuma SEKALI sahaja untuk kedua-duanya. Begitu juga di antara darah nifas dengan darah haid, anda perlu mandi SEKALI sahaja apabila telah kering kedua-duanya.

Apa kata mufti?

Menurut ulama Fekah dan seperti yang telah dibincangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan hukumnya adalah sah jika kita mengangkat kesemua hadas besar itu sekaligus dengan satu mandian sahaja. Tidak perlu lah mandi dua kali.

Panduan Mandi Wajib Yang Betul Untuk Ibu Yang Lepas Bersalin 

Anda tidak perlu bimbang, sebenarnya ianya mudah sahaja lebih kurang sama dengan cara mandi wajib selepas haid yang biasa kita lakukan cuma berbeza dari sudut niat nya sahaja. Jom kita semak niat mandi wajib berikut:

 

  • Niat Untuk Mandi Wajib Wiladah Sahaja

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas wiladah kerana Allah Ta’ala”.

 

  • Niat Untuk Mandi Wajib (Wiladah + Nifas) atau (Nifas + Haid)

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas akbar (besar) kerana Allah Ta’ala”.

 

Cara-caranya:

  1. Niat seperti yang dinyatakan di atas;
  2. Membaca Bismillah;
  3. Membasuh telapak tangan dan celahan jari;
  4. Membasuh kemaluan menggunakan tangan kiri, sabun dan air yang bersih. Setelah itu, cuci tangan tersebut sehingga bersih;
  5. Mengambil wudhu’ seperti biasa;
  6. Menyiram kepala 3 kali, dimulakan pada sebelah kanan dalam keadaan rambut yang terurai;
  7. Meratakan air ke seluruh badan dan pastikan air kena pada setiap bahagian tubuh anda, jangan lupa check bahagian lipatan ketiak, perut, lengan dan bahagian lainnya;
  8. Basuh kaki sehingga bersih, dan jangan lupa untuk bersihkan celahan kuku dan jari anda.

 

Demikianlah cara mandi wajib nifas dan wiladah yang betul dan anda boleh lah memulakan ibadah seperti biasa.

Kesimpulan

Oleh itu, kesimpulan daripada entri ini adalah, terdapat dua jenis mandi wajib selepas bersalin dan berpantang yakni mandi wiladah dan mandi nifas.

Mandi wiladah wajib disegerakan selepas bersalin seandainya si ibu tiada darah nifas, TETAPI untuk si ibu yang berdarah nifas maka haruslah tunggu sehingga darah nifasnya kering terlebih dahulu dan mandi wajib boleh dilakukan cuma SEKALI untuk mengangkat kedua-dua hadas tersebut.

Semoga entri dari PantangPlus ini dapat memberi pencerahan kepada yang masih dalam kebingungan terhadap permasalahan ini.

Apa yang orang lain cari?:

  • mandi wiladah
  • niat mandi nifas
  • mandi selepas bersalin