in

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

Foto Kredit: parents.com

“Letihnya berjaga semalaman sebab baby asyik meragam. Sembelit ke? Kembung ke? Mungkin kena urut sikit agaknya baru selesa. Macam mana cara urutan bayi yang bagus ya?”

Pernahkah kita pergi memanjakan diri di spa? Ada juga muzik perlahan, pencahayaan yang malap, aroma yang menenangkan, dan yang paling seronok tentulah urutan yang melegakan badan. Walaupun diurut berjam-jam, rasa macam sekejap saja masa berlalu. Siap boleh tertidur lagi!

Begitulah keistimewaan urutan badan yang bukan saja dapat dinikmati oleh orang dewasa, tetapi juga anak kecil termasuklah bayi. Selepas mandi adalah waktu yang ideal untuk mengurut bayi. Dengan cara urut bayi yang betul, lebih mudah mereka tidur nyenyak sepanjang malam.

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

Cara urut bayi yang berkesan boleh memudahkan bayi untuk tidur lena pada waktu malam.

Berikut adalah cara urut bayi yang boleh anda praktikkan setiap hari.

1. Sediakan Tempat Yang Selesa

Pertama sekali, sediakan tempat yang paling selesa untuk mengurut bayi. Keringkan bayi dengan tuala selepas mandi supaya bayi tidak berasa sejuk. Pakaikan lampin jika anda khuatir bayi akan membuang air semasa diurut.

Pastikan semua kelengkapan telah ada di sisi supaya anda tidak perlu bangun dan bergerak ke mana-mana sepanjang sesi urutan nanti.

Antara kelengkapan yang akan digunakan adalah:

  • minyak urut
  • tuala kecil
  • pakaian bayi
  • selimut bayi
Urut Bayi
Foto Kredit: thechampatree.com

2. Tumpukan Perhatian Terhadap Bayi

Sebaik-baiknya anda juga perlu berada dalam keadaan yang selesa untuk mengurut bayi. Basuh kedua-dua belah tangan dengan bersih terlebih dulu dan matikan telefon bimbit agar anda dapat betul-betul fokus pada bayi.

Bercakap-cakaplah dengan bayi dan beritahunya bahawa anda akan mengurutnya. Walaupun bayi belum memahami perkataan, kata-kata anda dapat memberi isyarat tertentu buat bayi dan membuatnya berasa selamat.

Cara Urut Bayi

3. Mula Dari Kaki

Sebenarnya anda boleh memulakan urutan pada mana-mana anggota badan yang paling disukai oleh bayi. Namun, kaki adalah anggota yang sesuai kerana ia kurang sensitif berbanding bahagian-bahagian lain.

Mula-mula, oleskan sedikit minyak dan urutkan bahagian tapak kaki, tumit, dan ibu jari. Kemudian, beralih ke bahagian buku lali dan seterusnya ke peha. Gunakan sedikit daya untuk menggenggam peha bayi dan tariknya ke arah bawah.

Urut Bayi

4. Perut

Dengan menggunakan kedua-dua belah ibu jari, buat urutan dari bahagian pusat ke arah luar. Gerakkan jari perlahan-lahan daripada perut ke dada.

Sekiranya bayi selalu kembung, boleh gunakan teknik urutan ‘I Love You’, iaitu dengan membuat gerakan seperti huruf ‘I’, ‘L’, dan ‘U’ seperti dalam rajah di bawah.

Cara urutan bayi
Foto Kredit: pinterest.com

5. Dada

Letakkan kedua belah tangan anda di atas kedudukan jantung bayi. Kemudian, usap ke luar dan leperkan tapak tangan anda pada dadanya. Ulangi beberapa kali.

Urut Baby
Foto Kredit: newbornbaby.com.au

6. Bahu Ke Tapak Tangan

Sekarang letakkan kembali kedua-dua tangan anda di atas dada bayi. Ambil salah satu tangannya dan urutkan bahagian dari bahu sehingga ke pergelangan tangan.

Seterusnya, buat gerakan bulatan kecil pada tapak setiap tangannya dengan ibu jari anda.Lakukan pada kedua-dua belah tangan.

Cara Urut Baby
Foto Kredit: dreamstime.com

7. Belakang

Seterusnya, tiarapkan bayi anda dan mula mengurut dari bahu dan turun ke bahagian tulang belakang hingga ke punggung.

Akhiri dengan membuat satu usapan memanjang dari bahu hingga ke hujung kaki. Gunakan sedikit tekanan dan ulangi usapan ini beberapa kali.

Cara Urut Bayi
Foto Kredit: parentlane.com

8. Tamatkan Sesi

Selepas selesai, pakaikan bayi dengan pakaian dan berilah pelukan kepadanya. Kemudian bolehlah menyusu dan mendodoikannya. Bayi akan rasa selesa dan mungkin terus tertidur selepas beberapa ketika.

Jika bayi meragam dan meronta semasa sedang diurut, tak perlu dipaksa. Tamatkan sesi dan cuba lagi pada lain waktu.

Urut Baby

Jadikan Sebahagian Rutin Tidur

Apabila bayi tahu dia akan diurut, secara automatiknya bayi juga tahu bahawa waktu tidurnya sudah hampir tiba.  Maka apabila urut bayi dilakukan dengan konsisten, secara tidak langsung ia juga akan memberi isyarat untuk bayi tidur dengan lebih mudah.

Selamat mencuba!

Apa yang orang lain cari?:

  • cara BAJUKAN BAYI SELEPAS MANDI
  • cara mandi bayi
  • cara urut badan bayi
  • cara urut bayi selepas mandi
  • cara urut kepala bayi lepas mandi
  • kaedah urutan bayi
  • petua mengurut bayi
  • selepas mandi keringkan dulu badan baru pakai baju
  • urut bayi sebaiknya sebelum atau sesudah mandi
  • urutan bayi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

cara hilangkan sakit kepala

Urutan Ini Akan Melegakan Sakit Kepala Tanpa Perlu Makan Panadol

Berpantang selepas bersalin

6 Tips Berpantang Selepas Bersalin dari Doktor Perubatan