in

Bersalin di Hospital Kerajaan vs Hospital Swasta. Mana Lebih Bagus?

Di mana nak bersalin?

Itulah persoalan yang wajib bermain di fikiran ibu yang mengandung. Malahan, itu juga soalan cepumas oleh semua orang terhadap golongan bakal ibu. Bimbang dengan layanan dan perkhidmatan yang bakal diterima selalunya menjadi faktor utama.

Namun, banyak lagi faktor yang boleh dibandingkan sebelum keputusan muktamad dipilih. Untuk pandangan jangka masa yang panjang, hospital mana yang lebih bagus, kerajaan atau swasta?

 

  1. Tempahan Pakej

Pengalaman bersalin di hospital kerajaan

Bunyinya seperti pakej pelancongan kan? Jenis bilik, harga dan cara kelahiran samada normal atau melalui pembedahan telah pun ditetapkan. Tinggal pilih sahaja. Mudah! Ekslusif! Istimewa!

Namun lain pula ceritanya jika terlambat, sahabat saya hanya mampu menepuk dahi apabila impiannya untuk bersalin anak sulung di hospital swasta punah dek pakej yang telah habis dijual dua bulan sebelum beliau bersalin. Ini kerana bilangan katil dan doktor pakar lebih sedikit berbanding di hospital kerajaan. Tambahnya, mungkin juga kerana tarikh jangkaan bersalinnya jatuh pada ‘musim orang bersalin’.

Berbanding dengan bersalin di hospital kerajaan, anda sentiasa diterima masuk tanpa sebarang tempahan pakej. Kebiasaannya bakal ibu datang ke hospital kerajaan samada untuk temujanji bersalin yang ditetapkan atau melalui jabatan kecemasan (tanpa dirancang).

  1. Tarikh Lahir ‘Cantik’

Bersalin di hospital kerajaan

Ada segelintir klinik kesuburan/sakit puan/perbidanan yang menyediakan perkhidmatan memilih tarikh ‘cantik’ untuk bersalin. Iyalah, tarikh itu akan menjadi sejarah dan digunakan oleh anak sebagai nombor pengenalannya untuk sepanjang hidupnya. Sudah tentu tarikh yang istimewa menjadi idaman kalbu hampir kesemua bakal ibu.

Namun, pemeriksaan teliti oleh doktor terhadap kesihatan ibu, usia kandungan, sejarah kelahiran terdahulu dan berbagai lagi perlu dijalankan demi memenuhi keinginan itu. Pada hari yang dipilih itu, ibu tersebut akan diberikan suntikan perangsang kelahiran (induce) supaya kandungan boleh dilahirkan secara normal. Pelbagai risiko perlu diterangkan dan difahamkan oleh semua pihak yang terlibat; ia bukanlah sesuatu yang perlu diambil mudah kerana ia melibatkan dua nyawa.

Bersalin di hospital kerajaanpula, tarikh bukanlah menjadi kayu pengukur. Kesihatan dan kondisi kedua-dua nyawa bayi dan ibunya adalah menjadi keutamaan. Memilih tarikh cantik untuk bersalin hampir mustahil didengari, namun terpilih untuk melahirkan anak pada 31 Ogos atau pada Hari Malaysia, hampir pasti akan menerima gelaran ‘Anak Merdeka’ atau ‘Anak Malaysia’. Jika bernasib baik, wajah dan nama anda boleh dipaparkan di media dan juga mungkin akan menerima sagu hati kenang-kenangan.

 

  1. Ketelitian Prosedur dan Perkhidmatan Ditawarkan

Pengalaman bersalin di hospital kerajaan

Sudah ternyata lebih banyak prosedur, perkhidmatan dan ujian yang disediakan oleh hospital dan klinik kesihatan kerajaan berbanding dengan di hospital swasta. Kedengaan seperti leceh, namun semuanya lengkap dan merangkumi segala keperluan pemeriksaan ketika antenatal, bersalin dan juga post natal(setelah bersalin).

Malahan, lawatan ke rumah juga disediakan ketika masih berpantang. Anda akan merasa amat bertuah dan istimewa ketika dalam tempoh berpantang berbanding ketika mengandung kerana jururawat akan meluangkan masa untuk datang ke rumah menjenguk anda dan bayi.

Jururawat kerajaan terlatih mestilah memberikan tunjuk ajar tentang cara penyusuan, cara mandi, pemilihan pakaian dan penjagaan rapi luka anda dan pusat bayi demi mengelakkan jangkitan kuman. Tambahan lagi, lactation consulationsecara percuma juga boleh diberikan secara one-to-onesekiranya mengalami masalah menyesuaikan diri dengan penyusuan badan.

  1. Jarak Dan Frekuensi Hospital/Klinik Mengikut Kawasan

Bersalin di hospital kerajaan

Sekirannya anda perlu berziarah jauh dari mukim sendiri namun perlu menghadiri temujanji atau mengambil bekalan ubat, anda masih boleh melakukannya kerana banyak lagi klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara. Apa yang perlu hanyalah membawa Buku Rekod Kelahiran (buku bayi) untuk staf menyemak butiran bayi sebelum menerima sebarang nasihat dan rawatan susulan.

Antara bekalan ubat yang penting setelah bersalin pula adalah pil atau dos suntikan perancang keluarga. Saya memilih untuk mengambil pil perancang Noriday dan bekalan ubat secara percuma boleh didapatkan dengan membawa kad perancang keluarga yang berwarna ungu ke klinik atau hospital kerajaan yang terdekat. Begitu mudah!

Ini amatlah berbeza dengan hospital atau klinik swasta yang mungkin hanya ada empat buah cawangan di seluruh negara. Lebih sukar lagi, tempat yang anda pergi jauh di pendalaman. Sudahnya, anda tetap akan perlu ke hospital kerajaan untuk rujukan atau sebarang farmasi demi mendapatkan bekalan ubat. Lebih teruk lagi, anda mungkin jadi malas untuk meneruskan temujanji susulan dek kerana hospital swasta pilihan anda tiada di kawasan yang berdekatan dengan anda ketika itu.

  1. Ruang Privasi & Keselesaan Diri

Kebiasaannya bilik wad kelas ketiga untuk ibu yang menunggu untuk bersalin adalah sangat besar, sehinggakan anda boleh ditempatkan bersama kira-kira tiga puluh bakal ibu yang lain sementara menunggu masa masing-masing. Bersalin di hospital kerajaan, memang begitulah.

Kipas terpaksa dikongsi, tiada tirai pemisah katil, lampu sentiasa dibuka pada waktu malam dan pelawat lelaki juga kerap berada di wad. Mereka adalah kaum suami yang datang menemani isteri mereka demi memberikan semangat. Jadinya, anda pula perlulah sentiasa berpakaian menutup tubuh dan bertudung sarung walaupun hendak tidur.

Berikutan lebih ramai pesakit yang datang ke hospital kerajaan, ini menyebabkan masa menunggu adalah agak lama. Anda perlu sentiasa pandai-pandai bawa diri untuk rasa lebih yakin dan selesa ketika pemeriksaan ‘bawah’. Pad dan seluar dalam pakai buang dipastikan sentiasa dipakai, diganti dan saiznya pula bersesuaian. Pakai buang adalah lebih mudah dicuci, diurus terutamanya ketika anda sudah terlantar kesakitan hendak bersalin dimana jururawat bertugas yang perlu melakukan segalanya untuk anda.

Di hospital swasta pula, sebarang intervensi yang dirasakan tidak perlu tidak akan dilakukan. Antara prosedur popular yang kurang selesa untuk dilalui adalah menyeluk vagina; samada untuk memeriksa saiz bukaan atau untuk mengeluarkan darah beku setelah melahirkan. Namun begitu, risiko mengelak dari mengeluarkan darah beku boleh mengakibatkan tumpah darah yang boleh membahayakan nyawa ibu. Oleh itu, anda perlulah banyakkan membaca dan bertanya untuk melengkapkan diri dengan ilmu sebelum sewenang-wenangnya mengelak sebarang prosedur yang dirasakan akan menganggu privasi dan keselesaan anda di hospital swasta.

  1. Masa

Pengalaman bersalin di hospital kerajaan

Tidak dinafikan bersalin di hospital kerajaan bermakna lebih masa menunggu perlu dikorbankan. Ingatlah bahawa staf dan doktor amat terlatih kerana mereka perlu bertindak dengan segera namun tindakan mestilah tepat demi memenuhi semua keperluan pesakit yang datang. Kebanyakan mereka masih lagi mampu mengawal emosi dan menjalankan tugas melayan pelbagai karenah manusia yang burduyun-duyun datang. Ini yang menjadikan mereka manusia hebat yang sentiasa melakukan yang terbaik dalam masa yang singkat.

Menurut Datuk Dr. S. Subramaniam, mantan Menteri Kesihatan, setiap doktor pelatih wajib menjalani latihan selama dua tahun di hospital kerajaan. Mengikut logiknya, hospital kerajaan adalah medan yang sesuai untuk melatih mereka menjadi doktor yang baik dan oleh kerana itu, pada pendapat peribadi saya, staf di hospital kerajaan lebih terlatih berbanding swasta. Ini membuatkan masa menunggu lebih berbaloi walaupun lebih lama berbanding di hospital swasta.

Masa menunggu dirasakan lebih pendek di hospital swasta, mungkin kerana suasana menunggu yang selesa. Kebiasaannya ruang menunggu berkeadaan seperti lobi hotel, berbanding hospital kerajaan yang rata-rata menggunakan kerusi plastik dan barisannya berhimpit muat-muat untuk dilalui.

Memilih untuk tinggal lebih awal dan lama di hospital swasta adalah tidak digalakkan jika tiada sebarang komplikasi. Jika bukaan vagina anda belum melebihi 3cm, anda akan diminta pulang dahulu  walaupun hakikatnya anda mampu membayar caj mengikut bilangan bermalam, demi menunggu bukaan.  Jika di hospital kerajaan pula, jika sudah pasti tanda hendak bersalin, anda akan ditahan di wad untuk pemerhatian rapi sehingga anda selamat bersalin.

  1. Mahal atau Murah?

Di hospital swasta, kadar yang dikenakan adalah sepuluh atau lebih kali ganda berbanding dengan kadar dikenakan hospital kerajaan. Kos untuk bersalin normal berjumlah kira-kira RM 3,000 manakala untuk kelahiran melalui pembedahan Caesarean adalah kira-kira RM10,000. Kos tersebut adalah yang termaktub pada pakej dan syarat ditetapkan. Sekiranya berlaku sebarang komplikasi, caj tambahan akan dikenakan.

Kos melakukan pemeriksaan kandungan yang biasa di hospital swasta adalah berjumlah mendekati RM 300. Contohnya, kadar biasa untuk menerima nasihat dari doktor pakar bernilai RM 150, kos ubatan bernilai RM 30, sewaan mesin ultrasound pula RM 55, caj khidmat staf untuk menggunakan mesin ultrasound pula sekitar RM 30 atau lebih. Ia jauh lebih mahal berbanding jumlah keseluruhan pemeriksaan dan bersalin di hospital kerajaan. Apa yang penting, tepuklah poket tanya selera.

 

Pengalaman saya sendiri

Saya perlu melalui bahagian kecemasan kerana air ketuban pecah pada usia kandungan 34 minggu 5 hari, iaitu dua hari sebelum fetus digelar ‘full term’ atau matang. Saya diterima masuk dengan mudah tanpa sebarang tempahan dan terus dilayan oleh doktor pelatih yang bertugas.

Setelah saya bersalin, saya ditempatkan di wad yang berisi seramai lapan orang, kurang sesak namun masih juga kurang selesa. Lagi menyedihkan, saya telah ‘diarahkan’ keluar/discaj  dalam tempoh kurang 24 jam bersalin demi memberi ruang kepada pesakit lain. Saya bersalin pada jam 4 pagi setelah bertarung sejak jam 10 malam. Kemudian pada pukul 4 petang hari yang sama, saya perlu keluar setelah ‘lulus’ segala ujian jahitan dan seluk untuk mengesan darah beku yang tertinggal.

Lain kisahnya dengan kakak saya yang telah menggunakan khidmat doktor yang sama untuk rawatan kesuburan hinggalah menyambut keempat-empat anaknya. Malah kakak saya menggunakan bilik yang sama iaitu bilik perseorangan yang lengkap dengan tandas sendiri, penyaman udara dan penutup tirai untuk privasi. Jadual lawatan waris pula jauh lebih longgar berbanding di hospital kerajaan.

Kadar untuk wad yang saya duduki adalah sekitar RM5 setiap malam. Ketika saya berjalan ke tandas, saya melalui sebuah bilik berenam yang ternyata lebih privasi, dekat dengan tandas dan bilik bayi. Saya sempat menjenguk dan kelihatan hanya dua pesakit sedang berada di wad itu, salah seorangnya pula sedang berkemas dan saya mengagak, mungkin dia sudah boleh pulang.

Saya segera bertanya kepada jururawat yang terdekat untuk cuba mendapatkan tempat di wad istimewa itu kerana saya percaya setakat RM 60 satu malam, apalah sangat. Saya memberi alasan ‘kukuh’ kepada jururawat itu supaya menempatkan saya di wad tersebut supaya saya dekat dengan wad bayi demi memudahkan saya menyusukan anak saya. Jururawat itu terus memberikan jawapan yang ringkas kepada saya; “Puan, wad itu untuk pesakit yang ada masalah jantung”.

Saya terdiam seketika, mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Fahamlah saya, rezeki masing-masing sudah tertulis. Tak boleh sewenangnya membanding dan mempersoalkan kehidupan orang lain sedangkan kita tak tahu apa yang perlu ditanggung mereka. Lagipun, saya telah didiscaj keluar sebelum sempat bermalam setelah bersalin, berikutan saya tiada sebarang komplikasi.

Jumlah wang yang perlu suami saya bayar untuk keseluruhan kos saya bersalin, bermalam, kos rawatan kuning, segala suntikan vitamin/ubat berserta enam malam bayi saya di wad adalah kurang dari RM 200. Malahan, saya bertuah kerana boleh mengusung balik pelbagai set sampel barangan mandi dan lampin yang diberikan secara percuma oleh penaja melalui pihak hospital.

Apabila dikenang kembali saat pemeriksaan berkala di klinik kesihatan kerajan ketika mengandung, saya merasakan semuanya berbaloi berbanding jika memilih untuk melakukan pemeriksaan di hospital swasta. Selain daripada nasihat percuma secara bersemuka dan demonstrasi yang ditawarkan, nota juga sudah tersedia untuk rujukan pada bila-bila masa.

Nota berkenaan maklumat kandungan berdasarkan usia, mengenali tanda hendak bersalin, posisi tidur, posisi bekerja ibu mengandung, nutrien, perkembangan bayi, keperluan diet, dan pelbagai lagi maklumat penting sudah ada dalam buku Rekod Kandungan dan Buku Rekod Bayi. Semasa saya menerima nasihat dan praktikal dari jururawat, beliau membuka dan menggariskan segala isi penting dari buku saya itu. Seribu satu ilmu saya terima dan alhamdulillah saya merasai keikhlasan dan ketelitian setiap perkhidmatan yang ditawarkan.

 

Bagaimana, pilih bersalin di hospital kerajaan atau swasta?

Melalui perbandingan diatas, kelebihan dari segi ruang privasi, keselesaan dan masa  ternyata menyebelahi mereka yang memilih hospital swasta. Sesetengah perkhidmatan sampingan yang hampir tidak diperlukan juga disediakan mereka seperti kemudahan pakej dan pilihan tarikh. Namun, perkara yang amat dititikberatkan adalah ketelitian prosedur dan perkhidmatan yang lengkap pada harga yang murah, adalah ditawarkan oleh hospital kerajaan.

Hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan yang teliti dan murah sejak dari pada fasa perancangan keluarga, pemeriksaan kandungan, menyambut kelahiran dan jagaan setelah bersalin. Kesimpulannya, pada jangka masa yang panjang, tampak jelas hospital kerajaan adalah pilihan yang lebih bijak dan lebih baik berbanding hospital swasta.

Yang penting, tak kisah samada bersalin di hospital kerajaan atau swasta, jika perlukan tukang urut selepas bersalin, boleh dapatkan dari PantangPlus.com. Segalanya lengkap!

Apa yang orang lain cari?:

  • adalah dek beranda bernilai wang
  • bersalin hospital kerajaan atau swasta
  • kos bersalin hospital kerajaan
  • hospital swasta vs kerajaan
  • kos bersalin di hospital kerajaan 2018
  • kos bersalin di hospital swasta 2018
  • suami tidur di hospital swasta
  • perbezaan melahirkan anak di hospital kerajaan atau swasta
  • pakej bersalin hospital di princecourt
  • kos untuk melahirkan anak
  • kos untuk bersalin di hospital kerajaan
  • kos perbelanjaan bersalin di hospital swasta
  • kos pembayaran hospital bayi x cukup bulan
  • kos bersalin swasta
  • kos bersalin hospital swasta
  • kos bersalin di hospital kerajaan
  • klinik swasta tolak kes beranak ke hospita hospital
  • hospital swasta bersalin
  • hospital bersalin terbaik
  • caj hospital bersalin 2018

2 Comments

Leave a Reply
  1. sekiranya post yg diberikan tidak tepat apa kata saudari nana tolong tepatkan… tidak adil dan cukup rasanya memberikan komen sebegitu jika saudari nana sendiri tak mampu nak bagi fakta yang tepat..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Persediaan sebelum bersalin

7 Persediaan Sebelum Bersalin, Supaya Tidak Kelam-Kabut Nanti

7 Tips Jaga Luka Jahitan Bersalin Normal, Agar Cepat Sembuh & Kering