7 Cara Hilangkan Loya Ketika Mengandung (Rasa Mual dan Mabuk Hamil)

Cara hilangkan loya ketika mengandung

Punca loya masih tidak dapat disahkan dengan pasti melalui kajian, namun ia berkait rapat dengan kadar peningkatan hormon yang tinggi berbanding wanita normal. Dalam Bahasa Inggeris, dipanggil ‘nausea

Antara punca yang dikatakan boleh memudaratkan lagi rasa loya termasuklah jenis makanan, bau, suasana, cahaya, perut yang terlalu kosong dan juga kekurangan air dalam badan.

Disini disertakan tujuh tips, cara hilangkan loya ketika mengandung.

  1. Kenalpasti Punca, Suarakan Bantuan

Cuba sebaiknya untuk mendapatkan kefahaman dan empati ahli keluarga dan rakan pejabat. Kebiasaanya suasana lapang, pengudaraan dan pencahayaan yang baik beserta posisi selesa boleh mengurangkan risiko merasa mual.

Ketika saya hamil, apabila suami saya hendak memasak makanan kegemarannya si ikan kering, saya akan segera ‘lari’ masuk ke bilik dan menutup pintu sambil berbaring. Beliau pula akan membuka semua kipas dan tingkap sebelum segera memasak, mengemas dan menyembur haruman setelah selesai.

Jika sensitif terhadap bau, cuba elakkan memakan makanan panas atau berada dekat dengan dapur untuk mengelak aroma makanan panas. Makanan terlalu pedas dan berempah pula bukan ‘pasangan yang baik’ terhadap sistem penghadaman.

Selain itu melalui sejarah keluarga, mengenali punca penyebab loya dan cara mengelakkan yang diamalkan turun-temurun boleh dipelajari dan dijadikan langkah persediaan.

  1. Kerap Makan, Kuantiti Sedikit

Saya juga pernah bergantung kepada jeruk saban pagi dek ingin cepat-cepat menghilangkan loya mengandung. Padahal, pegambilan pelbagai jeruk buah-buahan yang mempunyai pengawet secara kerap adalah tidak elok.

Cara berkesan hilangkan loya mengandung adalah dengan mengambil makanan yang sedikit dengan kerap. Sesetengah wanita gemar biskut dan kekacang, namun saya agak kurang berselera dengan biskut yang berhabuk dalam mulut.

Saya lebih suka memakan kismis kering, buah prun kering (pelawas) dan meminum jus buah. Disamping itu, ibu hamil memang akan cepat merasa lapar berbanding biasa dek kerana perlu membekalkan kalori dan nutrien kepada ‘dua orang’. Maka, carilah snek kering ringkas yang bersesuaian dengan selera sebagai peneman dan penambah nutrien.

Pergerakan mengunyah dan menelan juga adalah berlawanan dengan pergerakan mulut ketika hendak muntah. Bagi sesetengah wanita hamil, kerap mengunyah secara perlahan-lahan kemudian menelan snek yang ringkas adalah efektif dalam melegakan reflex muntah.

  1. Bau Penyelamat di Poket

Sekiranya terhidu sesuatu yang berbau kurang enak, sebotol kecil minyak ‘angin’ atau aromaterapi boleh segera memadam bau yang tidak disenangi itu. Bau segar yang boleh membantu termasuklah bau buah lemon, limau sitrus, daun pudina dan bau jeruk halia.

Sesetengah minyak aromaterapi bersifat berangin kerana memiliki ‘menthol’, menjadikan ia dua dalam satu; memiliki bau yang enak disamping boleh menjadi minyak urut berangin kepada kulit.

Selain itu, sekirannya bersesuaian, ibu hamil boleh cuba memberus gigi setelah makan untuk mengelakkan loya dek kerana bau nafas sendiri. Sekiranya terasa mual dengan buih ubat gigi yang banyak, bolehlah cuba ubat gigi kanak-kanak yang terasa lebih manis buah dan kurang buih yang akan memenuhi mulut. Yang penting, matlamat menghilangkan bau mulut dan membersihkan gigi tercapai.

  1. Air & Rehat Secukupnya

Jika merasakan air masak antara minuman yang tidak sedap, cuba gantikan dengan air berperisa yang dibancuh kurang manis demi membekalkan air mencukupi kepada tubuh. Ada juga wanita hamil mengambil minuman sukan tidak berkarbonat sebagai cara menghilangkan loya mengandung.

Air minuman sukan mengandungi kalori pembekal tenaga dan juga mampu menjadi elektrolit pengganti sekiranya wanita hamil tersebut telah muntah banyak kali. Disamping itu, berbaring dan mendapatkan rehat mencukupi adalah amat perlu demi mengelakkan mual dan penat melampau. Ini kerana, tubuh wanita hamil ‘bekerja lebih masa’ untuk membesarkan janin di dalam rahim.

Sekiranya setelah pemeriksaan darah dan ujian minum glukosa di klinik kesihatan, mintalah cuti kepada doktor atau hubungi sahaja majikan dan beritahu keadaan anda. Jangan paksa diri dan cuba menunjukkan reputasi baik semata-mata.

  1. Buah dan Sayur Warna Pelangi

Uji dan carilah makanan serasi terbaik untuk diri sendiri. Namun semua wanita hamil yang saya kenali, hampir tiada seorang pun merasa mual terhadap buah. Oleh itu, cubalah tanamkan keinginan untuk memakan ‘pelangi’ buah-buahan setiap hari.

Untuk menjaga poket dek kerana harga buah mengikut berat, saya mengambil sekurangnya tiga jenis buah yang berbeza warna sehari. Mengikut kajian, semakin gelap warna buah, semakin banyak nutrisi yang ia kandungi.

Buah biru/ungu seperti prun dan delima memiliki antioksidan tinggi, sayuran hijau membersihkan hati dan mengelak kanser, buah kuning kehijauan seperti avocado dan kiwi melindungi mata, merah seperti tembikai dan tomato adalah untuk kesihatan tisu payudara, warna oren seperti mangga dan labu pula menguatkan daya imunisasi badan.

Selain itu, warna seakan-akan ‘pelangi’ yang terang kelihatan ceria dan meningkatkan selera. Mengikut kajian dan nasihat doktor tempatan, wanita hamil normal boleh mengambil semua jenis buah, yang penting ia dalam kuantiti sederhana.

  1. Makan Vitamin B6

Pengambilan multivitamin sebelum mengandung dikatakan dapat mengurangkan simpton mual ketika hamil kelak. Pengambilan Vitamin B6 pula dikatakan berkesan mengurangkan rasa loya ketika hamil sekiranya diambil sebanyak 25mg, tiga kali sehari. Namun, pengambilannya perlu melalui nasihat doktor. Ini kerana terlalu banyak mengambilnya boleh mengakibatkan rasa kebas dan kerosakan saraf.

Fungsi utama vitamin B6 adalah untuk menghasilkan antibodi dan sel darah merah dalam badan. Antara makanan semulajadi yang banyak mengandungi vitamin B6 adalah termasuk buah pisang, kekacang, kentang, karot, daging dan ikan.

  1. Riadah Ringkas dan Accupressure

Pergerakan dan riadah ringkas adalah usaha yang baik untuk mengalih perhatian dari memikirkan perkara yang meloyakan. Pergerakan senaman ringkas seperti mendongak dan menoleh beberapa saat ke kiri kemudian ke kanan boleh melegakan tengkuk yang tegang akibat tekanan atau keletihan.

Titik acupressure boleh cuba ditekan dalam sesuatu tempoh untuk melegakan rasa loya. Titik yang pertama terletak selepas tiga baris jari dari bawah telapak tangan. Ia perlu ditekan dalam 3 hingga 5 minit.

Manakala titik kedua adalah di antara ibu jari dan jari telunjuk, dan terletak selepas lapisan kulit nipis iaitu mendekati bahagian tapak tangan. Titik ini boleh ditekan dalam 15 saat kerana ia berkait dengan bahagian kepala dan juga dikatakan boleh melegakan pening dan menghilangkan mengantuk.

Sekadar ingatan

Begitulah tips serba ringkas untuk rujukan dan sebagai ikhtiar, sebagai salah satu cara hilangkan loya ketika mengandung.

Ada juga sesetengah orang yang merasakan ibu mengandung kelihatan ‘comel’ ketika muntah-muntah dan merengek meminta makanan itu dan ini. Apa-apapun, tahniah dan selamat menempuhi alam kehamilan kepada anda.

Jangan lupa tengok-tengok pakej menarik dari PantangPlus.com dan bolehlah tempah. Belum cuba belum tahu.

Apa yang orang lain cari?:

  • air hilangkan loya
  • cara mengurangkan mabuk menagandung
  • hilangkan loya ketika hamil
  • kurangkan rasa mual ketika hamil
  • makanan apa yang boleh hilangkan loya
  • menu hilangkan loya ibu mengandung
  • tips hilangkan mual mengandung

6 Tips Mencegah Meroyan Semasa Berpantang (Selepas Bersalin)

Meroyan semasa berpantang

Meroyan atau juga dikenali umum sebagai post-partum depression adalah masalah mental yang berlaku kepada wanita selepas bersalin. ‘Post’ bermakna ‘selepas’ dan ‘Partum’ adalah dari perkataan Latin yang bermaksud ‘Membawa/Mengandungi’.

Sebenarnya meroyan semasa berpantang tidak boleh terus dikatakan sebagai gila, ini kerana terdapat tiga kategori meroyan mengikut tahap dari segi perubatan yang, iaitu blues (perasaan sedih agak panjang), depression (kemurungan) dan yang paling teruk adalah psychosis.

Mengikut kajian, perasaan sedih (post-partum blues) boleh menyerang 50% hingga 85% ibu dan kerap berlaku dalam dua minggu setelah melahirkan. Ia boleh dikenali melalui sikap yang berubah mendadak, cepat tersentuh, merasa gelisah dan terasa kesunyian tanpa bantuan.

Kategori kedua pula adalah post-partum depression iaitu kesedihan dan kemurungan yang lebih berpanjangan sehingga setahun selepas melahirkan. Kebarangkaliannya terjadi pula adalah sehingga 13%, iaitu jauh lebih tinggi berbanding meroyan kategori ketiga iaitu post-partum psychosis yang mempunyai kadar hanya 0.01% kemungkinan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah bersalin.

Tanda Meroyan

Terdapat banyak tanda meroyan semasa berpantang yang perlu difahami bakal ibu dan diperhatikan oleh orang disekelilingnya, termasuklah;

  1. Terlalu banyak menangis dan merasa putus asa
  2. Kurang selera makan
  3. Emosi sensitif dan menjauhkan diri
  4. Tidak boleh tidur (insomnia) walau telah dibantu
  5. Tidak cekap menguruskan diri sendiri
  6. Halusinasi seakan berada dalam dunia sendiri
  7. Mendengar ‘bisikan’, cenderung perkara memudaratkan diri dan orang lain

Namun terdapat jenis meroyan yang menjadikan seseorang itu pasif, tidak memudaratkan diri sendiri namun sudah menjadi tidak cekap mengurus diri selain mengalami masalah ingatan. Ibu sahabat baik saya, Auntie ‘Z’ mengalami meroyan jenis ini setelah melahirkan anak kelimanya iaitu adik sahabat saya. Dia terpaksa bersara awal dari menjadi guru sekolah dek kerana tidak mampu menjalankan tugas dan seakan-akan hilang ingatan.

Sehingga kini beliau masih berkeadaan begitu namun dari jauh, keadaannya kelihatan agak normal. Makan dan pakainya dijaga rapi oleh ahli keluarga selain masih mengambil ubat yang dibekalkan hospital. Namun sekiranya berbual dengan beliau, beliau tidak akan menjawab soalan dengan begitu tepat selain akan mengulang mengatakan sesuatu dengan berkali-kali tanpa memandang siapa yang bertanya.

Punca Meroyan

Kerapkali puncanya dikaitkan dengan penurunan mendadak hormon setelah bersalin, walaupun kajian terhadapnya masih dijalankan. Namun perkara berikut mungkin menyumbang kepada punca berlakunya meroyan semasa berpantang;

  1. Perubahan fizikal tubuh
  2. Menghadapi penyakit setelah bersalin seperti masalah pencernaan dan tekanan darah
  3. Proses kehamilan dan bersalin yang sukar
  4. Sokongan kekeluargaan dan kewangan yang goyah
  5. Perubahan jadual tidur dan cara hidup yang lebih fokus kepada bayi; bukan diri sendiri
  6. Sejarah keluarga mengalami depresi

Mencegah lebih baik dari mengubati, namun sekiranya sudah mengalami tanda meroyan semasa berpantang, terdapat pelbagai cara untuk mengubati dan mengatasinya.

Cara Atasi Meroyan

Cara mengubati meroyan adalah melalui pelbagai sudut termasuk memperbaiki hubungan sosial, spiritual dan akhir sekali adalah melalui bantuan perubatan.

  1. Ubat anti depressant iaitu ubat yang membantu mengimbangkan kimia otak yang merangsang emosi
  2. Terapi psikologi melalui perkongsian perasan dan beban yang dirasai
  3. Merapatkan diri dengan Tuhan
  4. Kurangkan rasa mementingkan kesempurnaan
  5. Mendapatkan pembantu rumah
  6. Bergaul dengan ibu-ibu yang lain dan berjumpa teman yang dipercayai

Cara Mencegah Meroyan

Cara terbaik untuk terus mencegah meroyan ketika berpantang dari terkena adalah termasuk;

  1. Membuat pelan pengurusan rumah seperti membeli bekalan makanan dan keperluan secukupnya
  2. Meminta bantuan seseorang menguruskan rumah
  3. Mengikut pantang diet makanan yang kurang minyak, bernutrisi tinggi dan menggunakan bahan segar
  4. Cuba sebaik mungkin mendapatkan rehat dan tidur yang cukup terutama ketika bayi sedang tidur
  5. Mendapatkan urutan tubuh untuk melegakan kesakitan dan menenangkan fikiran
  6. Berbual dan berkongsi segala keresahan yang dirasai

Saya sendiri mengakui saya melalui post-partum blues dimana saya merasa letih dek kerana melayan bayi menyusu dan menangis dengan kerap. Tubuh sendiri masih belum pulih setelah bersalin, kemudian waktu makan dan rehat yang amat diperlukan juga terpaksa ditolak tepi demi memberi sepenuh perhatian kepada bayi sendiri.

Bantuan yang diberi ahli keluarga mencukupi namun ketika sedang berehat atau makan, terbit pula perasaan rasa bersalah kerana meninggalkan bayi bersama ahli keluarga yang terpaksa berhempas-pulas membantu.

Namun terkadang memang mesti ‘mementingkan diri’ dengan mengurangkan pengurusan rumah dan lebih menumpukan kepada mendapatkan waktu rehat dan memanjakan diri demi memulihkan tubuh. Pakej-pakej untuk memulihkan tubuh boleh didapati di PantangPlus.com.

Semoga diizinkan Tuhan ‘menghilangkan’ perasaan murung tersebut melalui usaha anda berterusan.

7 Tips Cari Tukang Urut Selepas Bersalin, Untuk Orang Bandar

Tukang urut selepas bersalin

Fungsi utama berurut untuk wanita selepas bersalin adalah menghilangkan tekanan, melegakan bengkak, kesakitan, memudahkan proses tidur, baik untuk penyususan badan dan sebagai mengatur semula hormon dalam tubuh.

Bukan mudah hendak mencari tukang urut yang berilmu, berkualiti dan dipercayai. Iyalah, mereka bukan sahaja masuk ke rumah, tubuh kita juga akan dilihat dan disentuhnya, malahan bukannya sekali, tetapi perlu dilakukan dalam beberapa hari. JIka tersilap pilih, merugikan wang dan matlamat yang diingin dicapai pula akan menjadi bayangan sahaja.

Disini disertakan tujuh tips mencari tukang urut selepas bersalin, terutamanya untuk orang bandar yang rata-ratanya mengakui ‘lebih sukar’ mendapatkan tukang urut seperti perwatakan makcik-makcik tua di kampung sana.

  1. Juru urut Turun Temurun

Tiada salahnya sekiranya kita mendapatkan khidmat tukang urut yang telah digunapakai dan dipercayai oleh keluarga lain. Contohnya seperti jiran terdekat. Untuk mendapatkan maklumat serba sedikit, ringankan kaki berjumpa tukang urut yang disyorkan.

Malahan boleh juga menghantar sahabat yang menyamar sebagai pelanggan, untuk mendapatkan sendiri sentuhan dari tukang urut tersebut. Sekiranya berpuas hati, bolehlah meneruskan tempahan segera.

 

  1. Hantar permintaan di kumpulan media sosial

Kebanyakan pemilik perniagaan memiliki laman sosial sendiri dan mereka lebih gemar menyertai kumpulan peniaga yang seangkatan dengan mereka demi berkongsi maklumat. Ini adalah peluang yang baik dimana sekiranya kumpulan tersebut memiliki ketetapan umum, maka anda bolehlah mengiklankan ‘Tukang Urut Untuk Diupah’.

Mana tahu, mungkin ramai tuan badan yang akan menawarkan diri dan kebanyakan pelanggan juga boleh mengesyorkan tukang urut kegemaran mereka. Antara kata kunci yang boleh digunapakai di media sosial adalah ‘pengurut tradisional’ dan ‘berpantang’.

 

  1. Professional, berilmu dan bersih

Ketika ‘menemuduga’ atau menjadi pelanggan secara cuba-cuba, bolehlah perhatikan amalan yang dilakukan oleh tukang urut. Lihat tangan, minyak dan tilam yang digunakan. Selain boleh tahu tahap kebersihan mereka, tahap kemahiran mereka juga boleh dilihat samaada mereka mendapatkan latihan atau tidak.

Kebiasaanya, untuk menjadi terapi urutan, mereka akan belajar asas penyediaan kawasan mengurut dan teknik menuang minyak ke atas tubuh pelanggan. Tukang urut berkemahiran akan mengurut sesetengah kawasan di bahu dan tengkuk untuk mendapatkan kepercayaan dan keselesaan pelanggan sebelum meneruskan urutan.

Bolehlah tanya sedikit tentang titik tubuh yang perlu ditekan pada tubuh wanita berpantang dan tanya pengalaman mereka mengurut orang berpantang.

 

  1. Hubungi Pusat Berpantang (Confinement Centre)

Pusat berpantang telah bertambah banyak jika dibandingkan dari sepuluh tahun yang lalu. Paling kurang di setiap bandar pasti ada pusat berpantang. Ada juga yang dikenali sebagai ‘Spa Berpantang’ atau ‘Hotel Berpantang’ yang menyediakan yoga, kelas penyusuan dan rawatan muka.

Boleh cuba bertanya di pusat berpantang tersebut, samaada bolehkah mendapatkan khidmat mengurut sahaja. Namun kemungkinan besar anda perlu ke pusat tersebut semata-mata nutuk mendapat urutan. Ini kerana kebanyakan pusat berpantang menyediakan tempat tinggal seakan asrama dimana ibu berpantang dan bayi akan dijaga dipusat tersebut sehinggalah tempoh berpantang yang dipilih tamat.

 

  1. Online cari laman sesawang

Cara mudah untuk orang zaman kini, segalanya di hujung jari. Malahan ini mungkin perkara pertama yang anda lakukan untuk mencari tukang urut; tanya ‘Uncle Gugel’. Melalui laman web, pelbagai capaian yang dirasakan relevan akan dipamerkan kepada anda.

Baca, banding dan pilih sahaja mana-mana pusat berpantang atau penyedia pakej berpantang yang berkenan di hati. PantangPlus.com adalah penyedia pakej berpantang amat dekat dihati kerana menyediakan lawatan ke rumah selain menawarkan pakej berpantang yang lengkap, merangkumi diri si ibu, anak dan juga penyediaan makanan.

 

  1. SPA / Pusat refleksologi berdekatan

Sekiranya masih buntu, boleh pergi ke SPA dan pusat refleksologi terdekat. Bukan masa nak kahwin saja pergi mandi lulur, buat rawatan muka, ya. Kebanyakan spa ada kemahiran menyediakan urutan tradisional, namun tidak dijamin mereka boleh menyediakan perkhidmatan sengkak (menaikkan rahim) dan bertungku (rawatan batu panas).

Bagi pusat refleksologi pula, mereka berkemahiran menggunakan titik tekanan pada tubuh untuk mengenalpasti kesakitan dan melancarkan darah dan ‘angin’. Boleh bertanya samaada mereka selesa untuk menjadikan anda sebagai pelanggan.

 

  1. Pensyarah Kolej Komuniti

Sekiranya anda bertuah, bolehlah cuba menghubungi pensyarah atau kakitangan kolej komuniti yang ada menyediakan kursus urutan. Mana tahu mereka sendiri ada melakukan kerja separa masa mengurut.

Mungkin kerana bidang kerja adalah terapis dan urutan, mungkin mereka boleh mencadangkan kenalan atau anak murid yang dipercayai untuk mengurut anda.

Semoga bermanfaat apa yang saya kongsikan. Selamat berurut wahai para ibu sekalian!

7 Tanda Awal Mengandung, Untuk ‘Check’ Hamil atau Tidak

Tanda awal mengandung

Detik hati terasa diri mengandung, malah orang sekeliling ada pula yang mengatakan ‘Eh macam ada isi’. Nak check, masih awal lagi, baru sehari dua terlepas ‘period‘.

Lagipun terasa segan pula untuk pergi membeli alat uji kehamilan. Untuk memudahkan anda, disini disertakan tujuh tanda awal mengandung yang boleh diperhatikan dengan teliti pada diri anda.

  1. Kekejangan di abdomen

Kekejangan di bahagian rahim dan abdomen yang terasa seperti mengembung adalah seakan-akan tanda menstruasi yang bakal datang. Mungkin ia adalah disebabkan oleh perubahan hormon progesteron dan kekejangan pula disebabkan oleh pelekatan telur pada dinding uterus.

Hormon yang sama juga mengakibatkan pergerakan otot lebih perlahan dan boleh memberi kesan kepada bahagian pencernaan, iaitu boleh menjadi tanda mengandung seterusnya iaitu sembelit dan heartburn. Pencernaan yang dilambatkan adalah supaya nutrisi dalam makanan mempunyai lebih masa untuk sampai kepada kandungan.

  1. Kerap Buang Air Kecil

Hormon hCG (human Chorionic Gonadotropin) dirembeskan oleh kantung bayi (placenta) selepas pelekatan fetus di rahim. Hormon ini kerap merangsang rasa ingin buang air kecil walaupun embrio masih kecil dan belum menekan bahagian pundi kencing.

Tubuh juga dikatakan menambah kandungan cecair dalam tubuh termasuk darah untuk persediaan membesarkan bayi dalam kandungan. Ini memaksa buah pinggang bekerja lebih dan menyebabkan tanda awal mengandung termasuklah kekerapan kencing yang meningkat.

  1. Mudah Dijangkiti

Kadar progesteron yang tinggi bekerja untuk menahan imunisasi tubuh wanita hamil dari menyerang DNA baru dan asing dalam tubuh yang dimiliki oleh fetus. Peluang keemasan ini dikatakan digunapakai oleh virus dan bakteria dalam tubuh hingga wanita baru hamil mudah diserang batuk dan selsema.

Semakin merumitkan, wanita yang ingin mengandung jarang ingin mengambil ubat batuk dan deman kerana bimbang akan memudaratkan kandungan. Terdapat pelbagai cara alami untuk mengatasi dan mengubati batuk selsema yang boleh dicuba.

Gusi bengkak akibat bakteria dalam mulut yang berleluasa juga boleh berlaku, dan temujanji pergigian adalah antara yang patut dilakukan selain mengamalkan kebersihan mulut sebaiknya. Muka, gusi dan mata yang membengkak adalah antara tanda awal mengandung yang patut diperhatikan.

  1. Selera Makan Berubah

Antara tanda awal mengandung adalah merasa mual, seawal dari dua minggu persenyawaan. Namun tidak semua mual akan menyebabkan muntah. Malahan merasa pening dan mudah letih juga termasuk dalam tanda awal mengandung.

Tubuh mula berkerja keras demi membesarkan fetus dalam tubuh dan menyuburkannya dengan nutrisi, tidak kira siang dan malam. Oleh itu, merasa cepat letih dan mengidam adalah antara tanda awal yang boleh dialami.

Tubuh dikatakan akan mengidam makanan yang diperlukan tubuh, dan bersifat tinggi nutrisi demi tumbesaran bayi. Menginginkan makanan yang tidak berkhasiat malah memudaratkan adalah tidak masuk akal dan patut dikawal.

  1. Angin Emosi Tidak Menentu

Merasa sensitif, cepat sedih dan marah adalah antara tanda awal mengandung. Ini boleh diburukkan dengan membuat keputusan terburu-buru. Orang sekeliling patut memahami kerana ia adalah perkara yang sukar dielakkan dek kerana hormon yang meningkat secara drastik.

Perubahan asing pada tubuh, kesakitan disana-sini dan juga cepat merasa letih juga boleh menyumbang kepada perubahan angin emosi pada wanita yang hamil.

  1. Perubahan Pada Payudara

Puting payudara dirasakan menonjol keluar dan kawasan gelap (aerola) semakin besar. Malahan, kawasan dada terasa membengkak, membesar dan sensitif kerana pengaktifan kelenjar dan persediaan yang dilakukan tubuh untuk menyusukan bayi kelak.

  1. Terlepas Menstruasi

Kerapkali wanita baru hamil mengatakan mereka mengalami payudara bengkak dan kejang di kawasan rahim seakan-akan hampir melalui menstruasi. Namun pada mereka yang mencatat dan memiliki tempoh haid yang tetap, antara tanda awal mengandung adalah ‘lewat’ melalui menstruasi berbanding yang dijangka.

Mengalami sedikit pendarahan walaupun terlepas tarikh jangkaan menstruasi mungkin diakibatkan oleh pelekatan telur pada rahim setelah persenyawaan. Bagi wanita yang tidak hamil, terlepas atau lewat menstruasi juga boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti perubahan nutrisi, merasa tertekan atau pelbagai lagi.

Oleh itu, setelah minima tujuh hari terlepas dari tarikh jangkaan menstruasi, ujian mengesan hCG dalam air kencing boleh dilakukan. Kit pengesan kehamilan ini boleh dibeli di farmasi atau dilakukan di klinik yang terdekat, dimana keputusannya adalah 99% tepat. Saya mengambil ujian ini sehingga lima kali kerana seperti dungu masih tidak percaya diri ini bunting pelamin. Syukur.

 

Wanita yang terlalu ingin hamil juga boleh mengalami tanda yang lebih kurang sama terutamanya mengidam, kejang rahim dan loya dek kerana pengaruh psikologi. Namun sekirannya mengalami tanda-tanda tersebut termasuklah tujuh diatas, silalah berkongsi senyap-senyap dengan orang berpengalaman dan dipercayai.

Jika keputusannya positif selepas diuji, tahniah. Sekiranya keputusannya negatif, kekecewaan masih boleh disembunyikan dan usaha boleh diteruskan. Fokus kepada memiliki tubuh sihat dan mengamalkan gaya hidup dan fikiran yang baik adalah cara terbaik bersedia untuk hamil.

Setelah berusaha dan diizinkan Tuhan, tanda-tanda awal mengandung di atas boleh dialami oleh anda tidak lama lagi. Kemudian, bolehlah dapatkan perkhidmatan istimewa dari PantangPlus.com sebagai ganjaran untuk diri sendiri ya!

Apa yang orang lain cari?:

  • ambil darah untuk check hormon mengandung

7 Tips Mudah Bersalin Secara Normal, Bukan Caesar

Tips mudah bersalin

Bersalin secara normal bermaksud bayi keluar dari tubuh ibu melalui vagina, samada melalui kontraksi normal atau melalui campurtangan perubatan yang dikenali sebagai induced labour.

Bersalin secara normal bermaksud ibu dan janin dalam keadaan yang baik dan boleh melalui kelahiran semulajadi. Penyembuhan selepas kelahiran secara normal adalah lebih mudah dan kurang risiko komplikasi berbanding bersalin secara pembedahan Caeserean.

 

Saya kongsikan tips mudah bersalin, pengalaman sendiri

Disini dikongsikan tujuh tips mudah bersalin secara normal untuk tatapan dan fahaman anda sekalian.

  1. Berlatih Kawal Pernafasan

Tips mudah bersalin

Pernafasan yang betul mat penting diamalkan lebih awal. Dalam kesakitan hendak bersalin, perkara yang tidak biasa dilakukan mungkin tidak dapat dilakukan langsung atau dengan betul. Cara mengawal pernafasan adalah dengan menarik nafas sedalamnya sehingga pangkal perut terasa mengembung. Disini terletaknya diafragma yang akan bergerak ke bawah, menolak perut supaya kembung ke luar. Diafragma yang bergerak ke bawah bermakna ia telah memberi ruang kepada paru-paru mengembang.

Tarik nafas selama dua saat, henti seketika dan lepaskan nafas selama dua saat juga. Mengikut pengalaman saya, cara mudah berlatih bernafas untuk bersalin adalah ketika anda membuang air besar. Kedengaran kelakar bukan? Tetapi itu adalah latihan ‘simulasi’ yang paling sesuai untuk berlatih. Kawal pernafasan menggunakan tempoh dua saat diikuti nafas sedikit laju sebelum fokus meneran najis apabila terasa bersedia (ketika merasai kontraksi usus).Ketika merasai sakit kontraksi bersalin juga, ubat yang paling mujarab adalah nafas yang betul dan berirama.

Terdapat tiga jenis pernafasan berirama, iaitu perlahan, sederhana dan diikuti sedikit laju yang dikenali dengan ‘hirup-hirup-lepas’. Setiap jenis pernafasan sesuai dengan fasa berbeza ketika proses bersalin.

Menurut  kajian, tempoh bersalin aktif bagi bakal ibu adalah dari 12 hingga 14 jam. Melalui pernafasan yang betul, oksigen dapat dibekalkan lebih optimum kepada tubuh dan bayi, dapat mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi otot supaya melakukan kontraksi yang lebih berkesan, memberi lebih kawalan dan ketenangan kepada ibu dan membantu melegakan otot pelvis untuk memudahkan proses bersalin secara normal.

 

  1. Pilih Snek yang Tepat

Tips mudah bersalin normal

Snek iaitu makanan ringkas mudah hadam harus dipilih dengan berhati-hati. Menurut Journal of Obstetrics and Gyneacology, wanita yang memakan kurma setiap hari selama sembilan bulan hamil, akan melalui proses bersalin 7 jam lebih pendek berbanding mereka yang tidak mengamalkan kurma.Menurut Melinda Johnson, jurucakap Akademi Nutrisi dan Dietetik di Amerika Syarikat, kurma mengandungi komponen kimia yang seakan-akan hormon oksitoksin yang menggalakkan kontraksi dan pembukaan pintu rahim untuk mudah bersalin secara normal.

Makanan yang terlalu berat seperti nasi dan lauk pauk patut dielakkan ketika hampir waktu bersalin. Ini untuk mengelakkan ketidakhadaman dan loya yang seterusnya menyukarkan si ibu. Malah, jika berlaku sebarang komplikasi ketika bersalin, ibu yang sedang berpuasa lima jam sebelum bersalin adalah lebih selamat untuk melalui proses pembedahan.

Untuk mudah bersalin secara normal, tenaga yang diperlukan masih boleh diperolehi melalui snek ringkas, mudah hadam, penuh tenaga dan berkhasiat. Pilihan saya untuk dibawa ketika ditahan di wad hospital termasuklah buah-buahan seperti pisang, kurma, kismis dan epal.

 

  1. Tidur dan Rehat Secukupnya

Tips mudah bersalin

Ketika kandungan saya mencecah tujuh bulan keatas, tubuh mulai rasa sakit, terutamanya pinggang. Ini dek kerana menanggung berat kandungan dan berat badan sendiri yang meningkat 10kg dari ketika bujang. Apabila tubuh sakit, melakukan perkara yang meletihkan dan berat akan memudaratkan fizikal dan mental si ibu.

Mengikut kajian, ibu yang tidur malam kurang enam jam akan melalui tempoh bersalin 11jam lebih lama dan meninggikan kebarangkalian sebanyak empat kali ganda untuk melalui pembedahan Caesarean.  Lebih teruk lagi, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk selama hampir setiap hari, selama hampir lima bulan hamil. Oleh itu, saya tidak dapat tidur dengan lena dek tersengguk dari posisi dan kerana pinggang dan ruang dada yang terasa bagai dihimpit.

Cadangan yang baik adalah untuk melabur sedikit membeli bantal atau kerusi bersesuaian dengan tubuh ibu hamil, yang mana ia juga mungkin boleh dipakai ketika menyusukan anak kelak. Percayalah, itu antara perkara yang saya kesali dek kerana kedekut melabur untuk mendapatkan tidur malam yang selesa. Setelah bersalin, berjaga malam untuk memujuk anak menangis dan  menyusukan badan pula menjadi lumrah. Kekurangan tidur dan rehat sejak hamil boleh berlarutan sehingga selepas bersalin.

Ketika di trimester kedua, saya mula didatangi ‘nesting instinct’dimana saya kerap mengemas dan mengatur barangan serta seluruh rumah. Ia adalah naluri semulajadi si ibu yang bersedia untuk bersalin dan menyediakan persekitaran yang baik untuk cahaya matanya. Namun, saya cuba memastikan barangan bayi sudah hampir lengkap dibeli, dibasuh, digantung di dalam almari dan dipek di dalam beg ‘hospital’ sebelum masuk ke trimester ketiga. Lampin, ubat sapu, kapas, penyembur air, wipes dan set sikat sudah diletakkan didalam bakul kotak yang mudah dialih dan dibawa ke mana-mana.

Ia bertujuan supaya set lengkap selepas bayi mandi itu mudah dicapai dan digunakan sesiapa pun yang membantu saya ketika pantang. Ketika balik ke kampung juga, saya membawa bakul itu yang bersaiz lebih kurang sepemeluk yang dibeli di kedai terkemuka lima ringgit berjenama Jepun. Ketika di dalam kenderaan juga ia lebih mudah dilihat dan dicapai berikutan ia tidak bertutup. Ternyata orang sekeliling saya lebih mudah untuk membantu menguruskan bayi saya dan saya pula berjaya saya mendapat tempoh rehat yang lebih.

 

  1. Senaman Ringkas

Antara senaman melegakan otot badan yang saya kerap amalkan adalah teknik ‘Kucing-Lembu’. Teknik lembu adalah dengan berada dalam posisi merangkak; tangan, lutut dan jari kaki di atas lantai. Kemudian muka dari memandang lantai, bergerak perlahan-lahan memandang depan seperti seekor lembu yang sedang berbunyi. Punggung turut digerakkan keatas supaya ‘melentik’ dan saya menbayangkan tulang belakang berbentuk ‘U’.

Teknik kucing pula adalah sambungannya dimana saya menggerakkan kepala perlahan-lahan dari memandang depan sehingga bergerak memandang perut, sambil tulang belakang dinaikkan. Saya membayangkan diri saya seperti kucing yang sedang marah, dimana tulang belakangnya menaik ke atas berbentuk ‘n’.  Saya ulangi sehingga tiga kali sambil mengawal pernafasan mengikut tips nombor satu di atas.

Teknik ini amat membantu tulang belakang dan pinggang saya melentur ke atas dan bawah dan melegakan sebarang rasa lenguh. Senaman ringkas ini amat mudah dan kerap saya lakukan selepas solat. Ini bermakna ia dilakukan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali sehari. Dengan bantuan suami pula, saya melakukan senaman lain.

Kami berdiri menghadap satu sama lain dan kaki dibuka seluas dan selari bahu. Kemudian saya memegang tangan suami sebelum bergerak perlahan-lahan dari posisi berdiri ke cubaan mencangkung. Set cangkung-bangun ini saya ulang maksima lima kali sahaja. JIka anda tidak mahu mencangkung, boleh juga lakukan ‘plie’iaitu separa mencangkung dimana lutut dibengkokkan sementara posisi badan kekal tegak.

‘Plie’ini tidak memerlukan anda bergantung kepada sesiapa dan tidak perlu membengkokkan lutut hingga mencangkung. Namun , terpulang senaman jenis mana untuk anda lakukan, demi keselesaan dan faedah kepada diri sendiri dan bayi. Faedah senaman ini adalah melatih kekuatan kaki dan melatih keseimbangan dek kerana tubuh ibu hamil akan berubah titik keseimbangan gravitinya setelah perutnya semakin membesar.

Tekoa King, jururawat bidan bertauliah dari Universiti California pula menekankan bahawa ibu yang lebih kerap bersenam akan mempunyai daya tahan lebih tinggi dan seterusnya akan membantu mental dan fizikal mereka untuk mudah bersalin secara normal, selain akan melalui tempoh bersalin yang lebih pendek berbanding ibu yang kurang aktif. Anda seharusnya mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar untuk senaman yang bersesuaian daripada jururawat atau doktor ketika temujanji kehamilan. Paling kurang pun, melakukan kerja rumah yang biasa dan bergerak secara aktif di rumah juga memadai untuk menggerakkan otot dan meningkatkan kadar denyutan jantung (cardio exercise).

 

  1. Posisi Manfaatkan Graviti

Graviti adalah satu perkara yang perlu dimanfaatkan untuk mudah bersalin secara normal. Banyakkan berjalan dan berdiri adalah salah satunya; di mana posisi berdiri anda akan menyebabkan kepala janin menekan dan merangsang bukaan ‘jalan’. Untuk berada dalam posisi berdiri dan berjalan yang agak lama, anda memerlukan sepasang kaki yang kuat. Sepasang kaki yang kuat adalah hasil daripada senaman ringkas dan latihan mencangkung yang anda boleh lakukan di tips sebelumnya. Manakala posisi duduk pula, anda boleh menegakkan badan ketika bersandar sambil melunjurkan kaki. Pastikan tekanan diberikan di kawasan pelvis dan anda berada dalam posisi rehat yang selesa.

Kadangkala ada yang menggalakkan si ibu untuk berjalan-jalan di taman atau di kompleks membeli-belah. Ini adalah untuk mengalihkan perhatian si ibu supaya tidak merasa bosan, merasa cepat penat disamping mengurangkan tekanan kerana asyik memikirkan perihal akan bersalin. Leka berjalan dan melihat sekeliling menyebabkan senaman kaki menjadi lebih efektif dan kurang membebankan. Sambil itu, boleh melayan kehendak hati melihat-lihat barangan bayi dan barangan rumah yang pasti boleh memberikan keterujaan terhadap si ibu untuk menimang cahaya matanya tidak lama lagi.

 

  1. Jaga Hubungan, Membaca dan Hadiri Kelas Keibubapaan

Tips mudah bersalin secara normal

Ilmu memberi kesan signifikan kepada mental dan persediaan fizikal kepada para ibubapa. Membiasakan dan memahami setiap fasa kelahiran lebih memudahkan proses melahirkan. Berlatih dan berbincang adalah tindakan yang baik untuk mengatasi rasa tekanan dan takut yang keterlaluan. Rasa takut sekadarnya adalah naluri semulajadi dan tindakbalas yang normal. Melalui rasa takut, manusia menjadi lebih bersedia dengan cara untuk mengatasi dan melalui setiap perkara, termasuklah melalui proses melahirkan.

Untuk mudah bersalin secara normal, banyakkan membaca, bertanya dan menghadiri kelas keibubapaan yang boleh didapati percuma di klinik kesihatan kerajaan, atau sesi berbayar di hospital swasta. Pastikan semak tarikh yang ditentukan kerana jika kurang permintaan, mungkin sesi akan ditangguhkan dan anda mungkin hanya dapat menyertainya ketika di trimester ketiga.

Selain itu, cuba perbaiki hubungan sesama manusia dengan mengawal percakapan dan meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan. Dampingi, berbincang dan minta ibu anda memaafkan dan mendoakan anda supaya melalui proses melahirkan yang mudah. Hubungan baik juga perlu cuba dijaga dengan suami, ibu mertua, keluarga sendiri, rakan sepejabat dan jiran terdekat. Pesan dan elakkan mereka dari membunuh binatang secara kejam atau tanpa sebab.

Di PantangPlus, ada kelas untuk bakal-bakal ibu yang diadakan setiap bulan. Boleh hubungi mereka untuk maklumat lanjut.

 

  1. Pentingkan Doa, Jangan Ralit dengan ‘Air Selusuh’

Tips mudah bersalin normal

Air Selusuh yang mengandungi ramuan akar kayu dikhuatiri mengandungi bahan yang tidak diketahui, dos yang tidak tepat dan bahan yang boleh menyebabkan keradangan. Malah seorang doktor tempatan pernah melakukan pendedahan bahawa air selusuh hanya memaksa pintu rahim terbuka sebelum waktunya, sehingga menyebabkan ibu merasa sakit lebih lama berbanding normal. Saya dan keluarga langsung tidak pernah menyentuh sebarang air selusuh dan kami semua alhamdulillah mudah bersalin secara normal.

Terlalu ralit dengan ‘kemujaraban’ air selusuh dikhuatiri akan menganggu kepercayaan akidah anda. Sekiranya mahu jalan paling selamat untuk akidah dan tubuh anda, bacaan ayat Quran dan zikir boleh dilakukan dan dihembus di dalam air masak biasa. Ia sepertimana yang dilakukan di masjid dan surau dimana bacaan yasin, tahlil dan doa dibaca beramai-ramai dan dihembus kedalam air biasa. Air masak biasa yang faedahnya umum diketahui, berfungsi untuk menghidrasi dan mengangkut nutrisi dalam badan.

Ketika di bilik bersalin, zikir nabi Yunus ketika di dalam perut paus telah di tampal di dinding oleh pihak hospital. Zikir tersebut berbunyi ‘Laa ilaahailla anta, subahanaka, inni kuntum minazzalimin’ dan bermaksud ‘Tiada tuhan selain Engkau (Allah), Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk golongan yang menzalimi diri sendiri’. Tujuan zikir ini adalah supaya Tuhan mengampunkan dosa melalui kesakitan bersalin, selain mengakui keesaan dan keagungan Allah sebagai Tuhan tempat bergantung.

Sekian sahaja perkongsian saya mengenai tips mudah bersalin secara normal. Bersalin normal adalah impian, namun jika anda terpaksa melalui pembedahan, ia bukanlah suatu hukuman. Teruskan percaya bahawa rintangan hidup menjadikan anda lebih kuat dan hebat, kerana itu peluang membuktikan bahawa anda mampu melaluinya.

Jika masih mencari pakej berpantang selepas bersalin, boleh dapatkan info lanjut di PantangPlus.

Terima kasih dan semoga segala urusan anda yang bermanfaat akan dipermudahkan.

Apa yang orang lain cari?:

  • bersalin
  • Cara mudah bersalin