in ,

7 Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Selepas Mengalami Keguguran

Keguguran bayi bukanlah suatu yang kita inginkan. Ada kalanya, detik kehamilan yang menggembirakan bertukar kepada kedukaan. Bagi wanita yang diuji keguguran bayi, usah bersedih dan berputus asa. Sememangnya keguguran memberikan kesan dari segi emosi dan psikologi wanita. Oleh itu, wanita perlu segera memulihkan diri selepas keguguran. Dalam post ini, anda akan mengetahui beberapa perkara yang perlu dilakukan selepas mengalami keguguran.

 

Tempoh berpantang

Mengikut nasihat bidan dan petua orang dulu-dulu, tempoh berpantang bagi keguguran adalah sama seperti pantang bersalin iaitu 44 hari. Namun begitu, ia adalah agak mustahil bagi wanita bekerja. Oleh itu, anda disarankan untuk berpantang selama 2 minggu selepas mengalami keguguran atau mengikut tempoh cuti yang diberikan oleh doktor. Ketika tempoh berpantang, anda perlu berehat secukupnya untuk melegakan badan dan minda.

 

Pemakanan sihat

Kebiasaannya, doktor menyarankan pengambilan makanan yang seimbang bagi tanpa mengehadkan sebarang jenis makanan bagi wanita yang mengalami keguguran. Bagi anda yang rajin dan mengambil berat petua orang dulu, anda boleh mengamalkan pantang larang bagi ibu bersalin. Sediakan makanan berpantang yang boleh disusun mengikut kesesuaian dan banyakkan sayuran serta buah-buahan. Diet yang sihat dan seimbang adalah penting untuk memberi tenaga kepada badan anda selepas mengalami keguguran.

 

Kekalkan kebersihan

Kebersihan adalah sangat penting selepas anda mengalami keguguran. Dengan mengekalkan kebersihan, anda boleh mengelakkan jangkitan kuman. Tukar tuala wanita dengan kerap, elakkan mandi pada waktu malam. Pada waktu ini, anda tidak digalakkan untuk mencuci bahagian sulit anda dengan apa-apa produk bagi mengelakkan jangkitan kuman.

 

Hadkan aktiviti harian

Ketika tempoh berpantang selepas keguguran, kurangkan aktiviti harian anda. Elakkan melakukan kerja-kerja berat dalam tempoh sebulan selepas keguguran. Anda boleh kembali bekerja selepas habis tempoh bercuti. Walaubagaimanapun, rujuk doktor dengan segera jika anda mengalami demam yang teruk, pendarahan yang banyak dan berpanjangan atau faraj berbau semasa tempoh berpantang. Anda juga digalakkan untuk melakukan senaman ringan seperti berjalan.

 

Penjagaan rahim

Penjagaan rahim selepas mengalami keguguran adalah sangat penting. Jika bahagian rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh masuk ke dalam sistem tubuh dan menyebabkan demam panas dan jangkitan di bahagian peranakan. Anda disarankan untuk berurut, bertungku atau mandi herba seperti ibu pantang bersalin. Kaedah ini boleh membantu melancarkan peredaran darah, cepatkan proses penyembuhan serta menyegarkan tubuh badan anda.

 

Elakkan hubungan seks

Selepas mengalami keguguran, anda disarankan untuk berehat seketika daripada melakukan hubungan intim dengan suami. Secara umumnya, isteri tidak boleh disetubuhi selagi mana berlaku pendarahan. Suami dan isteri perlu berbincang dalam membuat perancangan keluarga selepas melalui proses keguguran ini.

 

Penjagaan emosi

Wanita seringkali menyalahkan diri sendiri selepas mengalami keguguran. Adalah penting bagi para suami bagi memahami emosi dan kehendak isteri selepas mengalami keguguran. Pada saat ini, isteri sangat memerlukan sokongan dan perhatian dari suami. Bercakaplah dengan seseorang dan luahkan perasaan anda. Jika kemurungan berterusan, anda boleh rujuk pada doktor atau pakar kaunseling.

 

Keguguran merupakan ujian yang besar bagi pasangan suami isteri yang inginkan cahaya mata. Ingatlah bahawa setiap ujian itu didatangkan kepada mereka yang mampu, bukan di luar kemampuan anda. Usah terlalu lama berasa sedih. Sentiasa positif dan jangan berputus asa. Dengan usaha dan tawakal, anda pasti beroleh peluang untuk hamil semula.

 

Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan perbidanan profesional, lawati laman web utama kami untuk maklumat lanjut.

Apa yang orang lain cari?:

  • apa perlu dilakukan selepas keguguran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ketahui Beberapa Tanda-Tanda Keguguran Yang Perlu Diambil Berat Oleh Ibu Mengandung

Senarai tukang urut selepas bersalin

Senarai Tukang Urut Selepas Bersalin (Kemaskini 2019)