7 Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Selepas Mengalami Keguguran

Keguguran bayi bukanlah suatu yang kita inginkan. Ada kalanya, detik kehamilan yang menggembirakan bertukar kepada kedukaan. Bagi wanita yang diuji keguguran bayi, usah bersedih dan berputus asa. Sememangnya keguguran memberikan kesan dari segi emosi dan psikologi wanita. Oleh itu, wanita perlu segera memulihkan diri selepas keguguran. Dalam post ini, anda akan mengetahui beberapa perkara yang perlu dilakukan selepas mengalami keguguran.

 

Tempoh berpantang

Mengikut nasihat bidan dan petua orang dulu-dulu, tempoh berpantang bagi keguguran adalah sama seperti pantang bersalin iaitu 44 hari. Namun begitu, ia adalah agak mustahil bagi wanita bekerja. Oleh itu, anda disarankan untuk berpantang selama 2 minggu selepas mengalami keguguran atau mengikut tempoh cuti yang diberikan oleh doktor. Ketika tempoh berpantang, anda perlu berehat secukupnya untuk melegakan badan dan minda.

 

Pemakanan sihat

Kebiasaannya, doktor menyarankan pengambilan makanan yang seimbang bagi tanpa mengehadkan sebarang jenis makanan bagi wanita yang mengalami keguguran. Bagi anda yang rajin dan mengambil berat petua orang dulu, anda boleh mengamalkan pantang larang bagi ibu bersalin. Sediakan makanan berpantang yang boleh disusun mengikut kesesuaian dan banyakkan sayuran serta buah-buahan. Diet yang sihat dan seimbang adalah penting untuk memberi tenaga kepada badan anda selepas mengalami keguguran.

 

Kekalkan kebersihan

Kebersihan adalah sangat penting selepas anda mengalami keguguran. Dengan mengekalkan kebersihan, anda boleh mengelakkan jangkitan kuman. Tukar tuala wanita dengan kerap, elakkan mandi pada waktu malam. Pada waktu ini, anda tidak digalakkan untuk mencuci bahagian sulit anda dengan apa-apa produk bagi mengelakkan jangkitan kuman.

 

Hadkan aktiviti harian

Ketika tempoh berpantang selepas keguguran, kurangkan aktiviti harian anda. Elakkan melakukan kerja-kerja berat dalam tempoh sebulan selepas keguguran. Anda boleh kembali bekerja selepas habis tempoh bercuti. Walaubagaimanapun, rujuk doktor dengan segera jika anda mengalami demam yang teruk, pendarahan yang banyak dan berpanjangan atau faraj berbau semasa tempoh berpantang. Anda juga digalakkan untuk melakukan senaman ringan seperti berjalan.

 

Penjagaan rahim

Penjagaan rahim selepas mengalami keguguran adalah sangat penting. Jika bahagian rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh masuk ke dalam sistem tubuh dan menyebabkan demam panas dan jangkitan di bahagian peranakan. Anda disarankan untuk berurut, bertungku atau mandi herba seperti ibu pantang bersalin. Kaedah ini boleh membantu melancarkan peredaran darah, cepatkan proses penyembuhan serta menyegarkan tubuh badan anda.

 

Elakkan hubungan seks

Selepas mengalami keguguran, anda disarankan untuk berehat seketika daripada melakukan hubungan intim dengan suami. Secara umumnya, isteri tidak boleh disetubuhi selagi mana berlaku pendarahan. Suami dan isteri perlu berbincang dalam membuat perancangan keluarga selepas melalui proses keguguran ini.

 

Penjagaan emosi

Wanita seringkali menyalahkan diri sendiri selepas mengalami keguguran. Adalah penting bagi para suami bagi memahami emosi dan kehendak isteri selepas mengalami keguguran. Pada saat ini, isteri sangat memerlukan sokongan dan perhatian dari suami. Bercakaplah dengan seseorang dan luahkan perasaan anda. Jika kemurungan berterusan, anda boleh rujuk pada doktor atau pakar kaunseling.

 

Keguguran merupakan ujian yang besar bagi pasangan suami isteri yang inginkan cahaya mata. Ingatlah bahawa setiap ujian itu didatangkan kepada mereka yang mampu, bukan di luar kemampuan anda. Usah terlalu lama berasa sedih. Sentiasa positif dan jangan berputus asa. Dengan usaha dan tawakal, anda pasti beroleh peluang untuk hamil semula.

 

Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan perbidanan profesional, lawati laman web utama kami untuk maklumat lanjut.

Apa yang orang lain cari?:

  • petua penjagaan selepas keguguran

Ketahui Beberapa Tanda-Tanda Keguguran Yang Perlu Diambil Berat Oleh Ibu Mengandung

Keguguran merupakan satu fenomena yang sering berlaku di kalangan ibu mengandung, terutama ketika awal kehamilan – semasa 20 minggu pertama. Keguguran merupakan satu kebimbangan bagi ibu hamil. Keguguran atau spontaneous abortion boleh dikenalpasti melalui beberapa tanda-tanda keguguran. Para ibu perlu peka dengan perubahan badan anda dan ketahui jika berlaku keguguran melalui tanda-tanda tersebut. Di sini akan dikongsikan beberapa tanda-tanda keguguran yang perlu diambil berat oleh ibu mengandung.

 

Pendarahan

Pendarahan ketika mengandung merupakan perkara yang membimbangkan. Walaubagaimanapun, ia merupakan perkara yang normal pada awal kehamilan. Jika berlaku pendarahan yang banyak serta terdapat perubahan pada warna darah, anda perlu rujuk kepada doktor dengan segera.

 

Kekejangan

Kekejangan serta sakit belakang adalah normal dan sering berlaku pada ibu hamil. Namun begitu, kekejangan yang tajam dan kerap menandakan bahawa keguguran telah berlaku. Ia mungkin merupakan kontraksi dan tanda awal keguguran.

 

Sakit yang berterusan

Ketika mengandung, terdapat banyak perubahan yang berlaku pada tubuh badan ibu. Oleh itu, anda mungkin merasai sakit dan lenguh sekali-sekala. Namun begitu, kesakitan yang berterusan terutama di bahagian abdomen atau bawah perut boleh menjadi tanda keguguran. Kesakitan ini boleh berlaku sebelum atas selepas pendarahan terjadi.

 

Kehilangan tanda kehamilan

Seperti yang diketahui, perubahan pada badan anda menunjukkan tanda kehamilan, seperti keletihan, sakit belakang serta kerap membuang air kecil. Jika anda terasa kembali normal tanpa tanda kehamilan, ia mungkin menunjukkan tanda keguguran. Ia berlaku kerana hormon yang mengekalkan kehamilan sudah tiada.

 

Tiada lagi alahan

Ramai ibu hamil sering mengalami alahan, terutama ketika awal kehamilan. Alahan kebiasaannya akan berkurangan, seiring dengan usia kehamilan. Namun, jika alahan hilang secara drastik atau tiba-tiba, anda mungkin mengalami tanda keguguran. Ibu hamil mengalami alahan disebabkan oleh hormon yang dihasilkan oleh janin. Oleh itu, kadar hormon tersebut menurunkan jika berlakunya keguguran kandungan lalu menyebabkan alahan anda hilang.

 

Ujian kehamilan bertukar kepada negatif

Ujian kehamilan menyukat kadar hormon hCG, hormon yang dihasilkan dari kehamilan. Pada awal kehamilan, kadar hormon ini menaik dengan cepat lalu menunjukkan ujian kehamilan yang positif. Jika anda mengambil ujian kehamilan buat kali kedua selepas beberapa hari, ia sepatutnya menunjukkan positif. Jika negatif, anda bukan sahaja berisiko mengalami keguguran malahan kandungan luar rahim. Ia kerana paras hormon hCG yang rendah salah satu merupakan tanda keguguran.

 

Tiada denyutan jantung bayi

Denyutan jantung bayi merupakan tanda penting untuk memastikan bayi dalam keadaan baik. Kebiasaannya, denyutan jantung bayi boleh dikesan melalui ‘ultrasound scan’. Jika anda mengalami salah satu tanda yang disebutkan tadi, denyutan jantung bayi boleh memberikan kepastian. Jika denyutan jantung bayi tidak dapat dikesan, ia menunjukkan bahawa bayi telah gugur dan tidak berkembang.

 

Tiada pergerakan bayi

Pergerakan bayi juga merupakan tanda penting. Anda harus peka dengan corak pergerakan kandungan anda sepanjang hari, di mana bayi mungkin bergerak pada waktu tertentu. Berdasarkan rutin ini, anda mungkin perasan jika bayi anda tidak bergerak seperti biasa. Namun harus diambil kira, pergerakan bayi hanya boleh dirasai antara minggu ke-18 dan minggu ke-24.

 

Jika anda mengalami tanda-tanda keguguran seperti yang telah disebutkan, sila rujuk doktor anda dengan segera. Terdapat simptom yang biasa berlaku di kalangan ibu hamil dan tidak perlu dirisaukan. Pun begitu, pencegahan adalah lebih baik dari mengubati. Tempoh berpantang dan berurut selepas keguguran perlu diikuti.

 

Jika anda diuji dengan keguguran pada awal kehamilan, usah bersedih dan jangan sekali menyalahkan diri sendiri. Pasti ada hikmahnya dan rezeki anda akan tiba jua.

 

Apa yang orang lain cari?:

  • ketahui awal keguguran

6 Tips Mencegah Meroyan Semasa Berpantang (Selepas Bersalin)

Meroyan semasa berpantang

Meroyan atau juga dikenali umum sebagai post-partum depression adalah masalah mental yang berlaku kepada wanita selepas bersalin. ‘Post’ bermakna ‘selepas’ dan ‘Partum’ adalah dari perkataan Latin yang bermaksud ‘Membawa/Mengandungi’.

Sebenarnya meroyan semasa berpantang tidak boleh terus dikatakan sebagai gila, ini kerana terdapat tiga kategori meroyan mengikut tahap dari segi perubatan yang, iaitu blues (perasaan sedih agak panjang), depression (kemurungan) dan yang paling teruk adalah psychosis.

Mengikut kajian, perasaan sedih (post-partum blues) boleh menyerang 50% hingga 85% ibu dan kerap berlaku dalam dua minggu setelah melahirkan. Ia boleh dikenali melalui sikap yang berubah mendadak, cepat tersentuh, merasa gelisah dan terasa kesunyian tanpa bantuan.

Kategori kedua pula adalah post-partum depression iaitu kesedihan dan kemurungan yang lebih berpanjangan sehingga setahun selepas melahirkan. Kebarangkaliannya terjadi pula adalah sehingga 13%, iaitu jauh lebih tinggi berbanding meroyan kategori ketiga iaitu post-partum psychosis yang mempunyai kadar hanya 0.01% kemungkinan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah bersalin.

Tanda Meroyan

Terdapat banyak tanda meroyan semasa berpantang yang perlu difahami bakal ibu dan diperhatikan oleh orang disekelilingnya, termasuklah;

  1. Terlalu banyak menangis dan merasa putus asa
  2. Kurang selera makan
  3. Emosi sensitif dan menjauhkan diri
  4. Tidak boleh tidur (insomnia) walau telah dibantu
  5. Tidak cekap menguruskan diri sendiri
  6. Halusinasi seakan berada dalam dunia sendiri
  7. Mendengar ‘bisikan’, cenderung perkara memudaratkan diri dan orang lain

Namun terdapat jenis meroyan yang menjadikan seseorang itu pasif, tidak memudaratkan diri sendiri namun sudah menjadi tidak cekap mengurus diri selain mengalami masalah ingatan. Ibu sahabat baik saya, Auntie ‘Z’ mengalami meroyan jenis ini setelah melahirkan anak kelimanya iaitu adik sahabat saya. Dia terpaksa bersara awal dari menjadi guru sekolah dek kerana tidak mampu menjalankan tugas dan seakan-akan hilang ingatan.

Sehingga kini beliau masih berkeadaan begitu namun dari jauh, keadaannya kelihatan agak normal. Makan dan pakainya dijaga rapi oleh ahli keluarga selain masih mengambil ubat yang dibekalkan hospital. Namun sekiranya berbual dengan beliau, beliau tidak akan menjawab soalan dengan begitu tepat selain akan mengulang mengatakan sesuatu dengan berkali-kali tanpa memandang siapa yang bertanya.

Punca Meroyan

Kerapkali puncanya dikaitkan dengan penurunan mendadak hormon setelah bersalin, walaupun kajian terhadapnya masih dijalankan. Namun perkara berikut mungkin menyumbang kepada punca berlakunya meroyan semasa berpantang;

  1. Perubahan fizikal tubuh
  2. Menghadapi penyakit setelah bersalin seperti masalah pencernaan dan tekanan darah
  3. Proses kehamilan dan bersalin yang sukar
  4. Sokongan kekeluargaan dan kewangan yang goyah
  5. Perubahan jadual tidur dan cara hidup yang lebih fokus kepada bayi; bukan diri sendiri
  6. Sejarah keluarga mengalami depresi

Mencegah lebih baik dari mengubati, namun sekiranya sudah mengalami tanda meroyan semasa berpantang, terdapat pelbagai cara untuk mengubati dan mengatasinya.

Cara Atasi Meroyan

Cara mengubati meroyan adalah melalui pelbagai sudut termasuk memperbaiki hubungan sosial, spiritual dan akhir sekali adalah melalui bantuan perubatan.

  1. Ubat anti depressant iaitu ubat yang membantu mengimbangkan kimia otak yang merangsang emosi
  2. Terapi psikologi melalui perkongsian perasan dan beban yang dirasai
  3. Merapatkan diri dengan Tuhan
  4. Kurangkan rasa mementingkan kesempurnaan
  5. Mendapatkan pembantu rumah
  6. Bergaul dengan ibu-ibu yang lain dan berjumpa teman yang dipercayai

Cara Mencegah Meroyan

Cara terbaik untuk terus mencegah meroyan ketika berpantang dari terkena adalah termasuk;

  1. Membuat pelan pengurusan rumah seperti membeli bekalan makanan dan keperluan secukupnya
  2. Meminta bantuan seseorang menguruskan rumah
  3. Mengikut pantang diet makanan yang kurang minyak, bernutrisi tinggi dan menggunakan bahan segar
  4. Cuba sebaik mungkin mendapatkan rehat dan tidur yang cukup terutama ketika bayi sedang tidur
  5. Mendapatkan urutan tubuh untuk melegakan kesakitan dan menenangkan fikiran
  6. Berbual dan berkongsi segala keresahan yang dirasai

Saya sendiri mengakui saya melalui post-partum blues dimana saya merasa letih dek kerana melayan bayi menyusu dan menangis dengan kerap. Tubuh sendiri masih belum pulih setelah bersalin, kemudian waktu makan dan rehat yang amat diperlukan juga terpaksa ditolak tepi demi memberi sepenuh perhatian kepada bayi sendiri.

Bantuan yang diberi ahli keluarga mencukupi namun ketika sedang berehat atau makan, terbit pula perasaan rasa bersalah kerana meninggalkan bayi bersama ahli keluarga yang terpaksa berhempas-pulas membantu.

Namun terkadang memang mesti ‘mementingkan diri’ dengan mengurangkan pengurusan rumah dan lebih menumpukan kepada mendapatkan waktu rehat dan memanjakan diri demi memulihkan tubuh. Pakej-pakej untuk memulihkan tubuh boleh didapati di PantangPlus.com.

Semoga diizinkan Tuhan ‘menghilangkan’ perasaan murung tersebut melalui usaha anda berterusan.

Cara Mandi Nifas dan Mandi Wiladah Yang Betul (Sumber Mufti Wilayah)

Cara mandi nifas

Mandi Wajib Nifas VS Mandi Wajib Wiladah; perkara yang tidak asing lagi diperkatakan oleh semua wanita yang beragama Islam lebih-lebih lagi yang baru mendirikian rumah tangga.

Ini kerana, perkara ini sangat penting untuk kita ambil tahu agar ibadah kita tidak tersia-siakan dek kerana cara mandi wajib yang tidak betul akibat daripada kealpaan kita daripada mengambil tahu. Tahukah anda mandi wajib selepas bersalin terbahagi kepada dua iaitu mandi wajib Nifas dan mandi wajib Wiladah.

Apa itu Nifas?

Nifas merupakan darah yang keluar daripada rahim sejurus melahirkan anak atau sebaik sahaja rahim dikosongkan. Terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan seseorang wanita itu tidak mengalami darah nifas antara asbabnya adalah keguguran ataupun melahirkan secara caesar. Darah nifas yang keluar selalunya selama 40 hingga 60 hari, bergantung kepada cara si ibu berpantang.

Apa itu Wiladah?

Manakala Wiladah pula bermaksud ‘bersalin atau melahirkan’ termasuklah wanita yang  keguguran (walaupun cuma segumpal darah atau segumpal daging) atau yang melahirkan secara caesar.Menurut Mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad wanita ini WAJIB MANDI, sekalipun tiada darah nifas yang keluar. Hal ini kerana, secara QIAS anak yang lahir itu adalah hasil gabungan air mani lelaki dan air mani wanita oleh itu hukum mandi wajib tetap sama walaupun berbeza cara melahirkannya.

Persoalan yang selalu timbul

“Kalau tiada darah nifas, perlu ke aku cepat-cepat mandi wajib wiladah? Dan kalau aku ada darah nifas, adakah aku perlu mandi wajib dua kali (nifas dan wiladah)? Dan jika aku kedatangan nifas dan haid serentak, macam mana?. Ataupun selesai nifas, terus datang haid, perlu ke aku mandi wajib dua kali (nifas dan haid)?”

Berikut adalah antara persoalan yang selalu bermain difikiran newly mom, ramai yang beranggapan bahawa mandi wiladah harus dilakukan dengan segera dan kemudiannya setelah habis nifas wajib mandi sekali lagi dan sesiapa yang didatangi haid harus mandi dua kali juga. Pandangan ini adalah TIDAK BENAR sama sekali, menurut Imam Syafi’ie ianya turut tidak dianjurkan oleh hukum dan menyusahkan.

Jawapan kepada persoalan mandi nifas dan mandi wiladah

Oleh itu, para ibu sila ambil perhatian, mandi wajib wiladah yang dilakukan dalam kadar segera adalah untuk mereka yang TIDAK keluar darah nifas, yang biasanya keguguran atau caesarian. Agar ianya membolehkan anda beribadah seperti biasa walaupun masih dalam tempoh berpantang. TETAPI, bagi mereka yang mempunyai darah nifas anda perlu lah menunggu sehingga darah nifas anda kering dan mandi wajib dilakukan cuma SEKALI sahaja untuk kedua-duanya. Begitu juga di antara darah nifas dengan darah haid, anda perlu mandi SEKALI sahaja apabila telah kering kedua-duanya.

Apa kata mufti?

Menurut ulama Fekah dan seperti yang telah dibincangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan hukumnya adalah sah jika kita mengangkat kesemua hadas besar itu sekaligus dengan satu mandian sahaja. Tidak perlu lah mandi dua kali.

Panduan Mandi Wajib Yang Betul Untuk Ibu Yang Lepas Bersalin 

Anda tidak perlu bimbang, sebenarnya ianya mudah sahaja lebih kurang sama dengan cara mandi wajib selepas haid yang biasa kita lakukan cuma berbeza dari sudut niat nya sahaja. Jom kita semak niat mandi wajib berikut:

 

  • Niat Untuk Mandi Wajib Wiladah Sahaja

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas wiladah kerana Allah Ta’ala”.

 

  • Niat Untuk Mandi Wajib (Wiladah + Nifas) atau (Nifas + Haid)

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas akbar (besar) kerana Allah Ta’ala”.

 

Cara-caranya:

  1. Niat seperti yang dinyatakan di atas;
  2. Membaca Bismillah;
  3. Membasuh telapak tangan dan celahan jari;
  4. Membasuh kemaluan menggunakan tangan kiri, sabun dan air yang bersih. Setelah itu, cuci tangan tersebut sehingga bersih;
  5. Mengambil wudhu’ seperti biasa;
  6. Menyiram kepala 3 kali, dimulakan pada sebelah kanan dalam keadaan rambut yang terurai;
  7. Meratakan air ke seluruh badan dan pastikan air kena pada setiap bahagian tubuh anda, jangan lupa check bahagian lipatan ketiak, perut, lengan dan bahagian lainnya;
  8. Basuh kaki sehingga bersih, dan jangan lupa untuk bersihkan celahan kuku dan jari anda.

 

Demikianlah cara mandi wajib nifas dan wiladah yang betul dan anda boleh lah memulakan ibadah seperti biasa.

Kesimpulan

Oleh itu, kesimpulan daripada entri ini adalah, terdapat dua jenis mandi wajib selepas bersalin dan berpantang yakni mandi wiladah dan mandi nifas.

Mandi wiladah wajib disegerakan selepas bersalin seandainya si ibu tiada darah nifas, TETAPI untuk si ibu yang berdarah nifas maka haruslah tunggu sehingga darah nifasnya kering terlebih dahulu dan mandi wajib boleh dilakukan cuma SEKALI untuk mengangkat kedua-dua hadas tersebut.

Semoga entri dari PantangPlus ini dapat memberi pencerahan kepada yang masih dalam kebingungan terhadap permasalahan ini.

Apa yang orang lain cari?:

  • cara mandi selepas bersalin
  • cara mandi nifas selepas 44 hari
  • mandi nifas
  • cara mandi nifas
  • niat mandi nifas
  • niat mandi hadas nifas
  • niat mandi wiladah dan nifas
  • cara mandi nifas selepas pantang
  • cara mandi selepas bersalin dan berpantang
  • cara mandi wajib selepas bersalin
  • cara mandi wajib selepas habis pantang
  • cara mandi wiladah habis pantang
  • cara mandi nifas 60 hari lepas besalin
  • mandi nifas dan mandi wiladah
  • mandi nifas selepas bersalin
  • mandi selepas bersalin
  • mandi wiladah dan nifas selepas bersalin
  • cara mandi lepas bersalin
  • niat mandi wiladah dan nifas serentak
  • panduan mandi nifas