Buaian Baby, Sebenarnya Keperluan atau Mudarat?

Dalam proses mendidik dan membesarkan anak-anak, pelbagai perkara perlu disediakan oleh ibu bapa bagi memenuhi keperluan mereka sejak dari mereka bayi lagi. Isu buaian baby  turut menjadi dilema para ibu bapa sama ada ianya perlu dibeli atau tidak untuk anak-anak.

Mungkin ada di antara kita yang menggunakan buaian atau merancang untuk menggunakan buaian bagi menidurkan bayi atau anak kecil. Tetapi, adakah buaian baby  itu benar-benar suatu keperluan atau sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat?

Ikuti perkongsian daripada jururawat ini iaitu Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadi beliau berkenaan buaian ini.

Foto Kredit : manipani.com

KENAPA MEMILIH BUAIAN?

Berikut antara alasan atau jawapan yang biasa diberikan berkaitan penggunaan buaian :

  • Anak tidur lebih lama dan kelihatan selesa dengan ayunan buaian.
  • Buaian dipilih kerana mudah untuk menidurkan anak berbanding tidur di katil bayi yang memerlukan usaha lebih daripada ibu bapa seperti menepuk-nepuk anak sehingga tidur.
  • Buaian baby  amat memudahkan ibu bapa dalam melakukan kerja rumah kerana bayi mudah terlena semula jika terjaga daripada tidur jika dibuai.
Foto Kredit : amazon.co.uk

BUAIAN VS KATIL BAYI (BABY COT)

Sememangnya buaian baby  bukan sahaja kelihatan memudahkan kerja ibu malah seluruh isi rumah kerana bayi kelihatan mudah tidur apabila diletakkan di dalam buaian.

Buaian bayi boleh dibuat sendiri dengan menyangkut spring buaian pada tali / dawai yang telah dipasang / ditebuk di siling rumah dan kemudian kain batik disangkut pada pemegangnya.

Buaian yang sudah sedia berpalang pula boleh dibeli bagi memudahkan untuk bergerak ke mana-mana.

Teknologi terkini, buaian baby  dicipta dengan menggunakan tenaga elektrik hingga tidak perlu lagi menggunakan tenaga sendiri bagi membuai bayi.

Tahukah anda, sebenarnya tidak ada tempat yang selamat selain menidurkan bayi di katil bayi (baby cot)?

Ini kerana, jelas kelihatan bayi terperosok dan melengkung ke bawah apabila mereka tidur di dalam buaian – ianya tidak mengikut anatomi tubuh yang sepatutnya seperti semasa mereka tidur di dalam ‘baby cot’.

Buaian bukan sahaja tidak menyokong struktur tulang bayi sepenuhnya, malah turut berbahaya kerana kemalangan dan kecederaan bayi boleh berlaku disebabkan oleh penggunaan buaian.

Foto Kredit : dormiria.de

4 RISIKO PENGGUNAAN BUAIAN

Sebagai ibu bapa, ambil tahu bahawa terdapat beberapa risiko penggunaan buaian yang boleh terjadi ke atas bayi. Antaranya :

  • Penggunaan buaian untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau ‘subdural haemorrhage’ (saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak boleh pecah apabila kita membuai bayi dengan kuat dan apabila darah dalam otak bergerak dengan hala bertentangan dari tengkorak, boleh menyebabkan pendarahan otak ‘subdural’).
  • Buaian boleh menjadi risiko kepada kecederaan kepala bayi selain mampu mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.
  • ‘Sudden Infant Death Syndrome’ (SIDS) atau lebih dikenali sebagai kematian bayi secara mengejut juga boleh berlaku kepada bayi apabila bayi tidur terlalu lena di dalam buaian (pada kebiasaannya berlaku kepada bayi berusia kurang dari setahun dan berlaku semasa bayi sedang tidur).
  • Ayunan buaian boleh menyebabkan kecederaan pada bayi sekiranya terhantuk pada dinding atau terjatuh akibat ayunan yang terlalu kuat.
Foto Kredit : medium.com

ADAKAH AYUNAN PERLAHAN TURUT BERBAHAYA?

Sepertimana yang kita semua tahu, ubun-ubun bayi masih lembut. Walaupun ayunan buaian yang perlahan itu tidak berbahaya, tetapi lantunan buaian oleh spring itu boleh menghasilkan pergerakan ke atas dan ke bawah seperti kita menggoncang bayi dengan menggunakan tangan kita.

Ianya sama seperti kes ‘Shaken Baby Syndrome’  yang pernah dikongsikan di pautan ini.

Foto Kredit : metro.co.uk

KES-KES KEMALANGAN BERPUNCA DARIPADA BUAIAN

Berikut merupakan contoh kes kemalangan bayi disebabkan oleh buaian :-

  • Pernah berlaku anak jatuh ke lantai sewaktu dibuai oleh bapa yang sedang leka membaca akhbar.
  • Apabila terdapat anak lain yang ingin membantu membuai adiknya, tetapi tidak sengaja mengayun buaian tersebut sehingga menyebabkan adiknya terhantuk pada dinding.
  • Apabila ayunan buaian tidak terkawal, rangka besi menjadi tidak stabil lalu jatuh dan anak terhantuk ke lantai dan dihempap pula oleh rangka besi buaian.
  • Semasa anak berada di dalam buaian, spring penyangkut pemegang kain buaian terputus atau tali yang digantung pada siling putus secara tiba-tiba (kerana tidak dapat menahan beban berat badan anak yang semakin bertambah) menyebabkan anak terjatuh
  • Anak yang sudah boleh memanjat atau melasak di dalam buaian berisiko untuk jatuh apabila mereka cuba untuk turun sendiri daripada buaian lalu terjerut dengan kain buaian itu sendiri.
  • Anak juga boleh tercekik atau lemas apabila mereka memusingkan badan sendiri sehingga posisi muka mereka menghala ke bawah dan tidak pandai berpusing semula agar muka menghala ke atas.
  • Terdapat juga kes di mana rangka besi buaian jatuh menghempap anak yang berada di luar buaian dan juga spring atau tali putus lalu terkena pada anak.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kemalangan ini boleh dicegah dengan mengalas bahagian bawah buaian dengan tilam atau bantal, ‘adjust’  ketinggian buaian atau tidak membenarkan anak lain membuai adik mereka.

Ya, benar. Tetapi berapa lama kita boleh ‘monitor’  keadaan itu? Selepas anak tidur dalam buaian, sudah pasti anak akan ditinggalkan kerana kita ingin membuat kerja rumah.

Bagaimana jika terdapat anak lain mengalih tilam atau bantal yang kita letakkan di bawah buaian tersebut, bereksplorasi mengubah ketinggian buaian itu atau membantu kita mengayun buaian untuk adik mereka ketika kita tidak melihat mereka?

Jika kita tidak mahu semua perkara ini berlaku, secara logiknya, kita perlu ‘monitor’  anak yang sedang tidur di dalam buaian itu sepanjang masa.

Bukankah buaian bertujuan untuk memudahkan kita, tetapi mengapa pula kita perlu ‘monitor’  sepanjang masa anak yang sedang tidur di dalam buaian itu?

Foto Kredit : manipani.com

5 TIPS PISAH BUAI

Apabila anak sudah terbiasa dengan ayunan buaian, maka mereka akan bergantung kepada ayunan itu untuk tidur kerana kita telah ajar mereka dari awal.

Jadi, cara terbaik adalah jangan pernah kenalkan anak dengan buaian. Jika sudah terlajak menggunakan buaian untuk anak, ini merupakan tips pisah buai yang boleh dipraktikkan :-

  1. Buai anak seperti biasa, apabila anak sudah berada dalam keadaan separa sedar, angkat anak dan alih ke dalam katil bayi / tidur di bawah.
  2. Buai anak sehingga anak lena, angkat dan alih anak tidur di atas katilnya agar apabila anak celik mata, dia tidak nampak kelibat buaian itu.
  3. Elakkan meletak mainan yang boleh menarik perhatiannya untuk terus berlama-lama di dalam buaian.
  4. Sabar jika anak masih merengek mahukan buaian. Ya, tidak dinafikan memang mereka akan menangis, tetapi perlahan-lahan ajar mereka untuk tidak menggunakan buaian.
  5. Pujuk anak dengan baik. Perkara ini agak sukar pada awalnya, namun apabila kita latih anak setiap hari, maka ianya akan menjadi semakin mudah.
Foto Kredit : nurtureparenting.com.au

BUAIAN BUKAN KEPERLUAN

Ini realiti tentang buaian bayi – buaian akan menyukarkan ibu bapa dan sebenarnya tidak memudahkan kerja ibu bapa sepertimana yang sering diperkatakan. Ini kerana, apabila anak sudah bergantung sepenuhnya pada buaian, segala komponen buaian perlu dibawa ke mana-mana dan anak akan meragam jika tidak ada buaian.

Terdapat kes anak-anak yang sudah terbiasa berbuai, semasa ditahan di wad, mereka tidak boleh tidur dan terus-menerus meragam. Bukankah ianya mendatangkan tekanan buat ibu bapa?

Semasa bayi dalam kandungan pun mereka tidak perlu dibuai untuk tidur, mengapa pula apabila bayi lahir kita mahu mereka tidur dengan menggunakan buaian?

Malang tidak berbau. Renung-renungkan dan buat keputusan yang terbaik dalam isu buaian ini.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Jururawat Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • BUAIAN SESUAI UNTUK BABY
  • buaian bayi
  • foto ayah membuai anak
  • kebaikan bayi tidur dalam buaian
  • besi buaian baby
  • buaian besi
  • kelebihan buaian elektrik
  • perlu ke buaian bayi
  • tali buaian bayi

7 Tips Mudah Bersalin Secara Normal, Bukan Caesar

Tips mudah bersalin

Bersalin secara normal bermaksud bayi keluar dari tubuh ibu melalui vagina, samada melalui kontraksi normal atau melalui campurtangan perubatan yang dikenali sebagai induced labour.

Bersalin secara normal bermaksud ibu dan janin dalam keadaan yang baik dan boleh melalui kelahiran semulajadi. Penyembuhan selepas kelahiran secara normal adalah lebih mudah dan kurang risiko komplikasi berbanding bersalin secara pembedahan Caeserean.

 

Saya kongsikan tips mudah bersalin, pengalaman sendiri

Disini dikongsikan tujuh tips mudah bersalin secara normal untuk tatapan dan fahaman anda sekalian.

  1. Berlatih Kawal Pernafasan

Tips mudah bersalin

Pernafasan yang betul mat penting diamalkan lebih awal. Dalam kesakitan hendak bersalin, perkara yang tidak biasa dilakukan mungkin tidak dapat dilakukan langsung atau dengan betul. Cara mengawal pernafasan adalah dengan menarik nafas sedalamnya sehingga pangkal perut terasa mengembung. Disini terletaknya diafragma yang akan bergerak ke bawah, menolak perut supaya kembung ke luar. Diafragma yang bergerak ke bawah bermakna ia telah memberi ruang kepada paru-paru mengembang.

Tarik nafas selama dua saat, henti seketika dan lepaskan nafas selama dua saat juga. Mengikut pengalaman saya, cara mudah berlatih bernafas untuk bersalin adalah ketika anda membuang air besar. Kedengaran kelakar bukan? Tetapi itu adalah latihan ‘simulasi’ yang paling sesuai untuk berlatih. Kawal pernafasan menggunakan tempoh dua saat diikuti nafas sedikit laju sebelum fokus meneran najis apabila terasa bersedia (ketika merasai kontraksi usus).Ketika merasai sakit kontraksi bersalin juga, ubat yang paling mujarab adalah nafas yang betul dan berirama.

Terdapat tiga jenis pernafasan berirama, iaitu perlahan, sederhana dan diikuti sedikit laju yang dikenali dengan ‘hirup-hirup-lepas’. Setiap jenis pernafasan sesuai dengan fasa berbeza ketika proses bersalin.

Menurut  kajian, tempoh bersalin aktif bagi bakal ibu adalah dari 12 hingga 14 jam. Melalui pernafasan yang betul, oksigen dapat dibekalkan lebih optimum kepada tubuh dan bayi, dapat mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi otot supaya melakukan kontraksi yang lebih berkesan, memberi lebih kawalan dan ketenangan kepada ibu dan membantu melegakan otot pelvis untuk memudahkan proses bersalin secara normal.

 

  1. Pilih Snek yang Tepat

Tips mudah bersalin normal

Snek iaitu makanan ringkas mudah hadam harus dipilih dengan berhati-hati. Menurut Journal of Obstetrics and Gyneacology, wanita yang memakan kurma setiap hari selama sembilan bulan hamil, akan melalui proses bersalin 7 jam lebih pendek berbanding mereka yang tidak mengamalkan kurma.Menurut Melinda Johnson, jurucakap Akademi Nutrisi dan Dietetik di Amerika Syarikat, kurma mengandungi komponen kimia yang seakan-akan hormon oksitoksin yang menggalakkan kontraksi dan pembukaan pintu rahim untuk mudah bersalin secara normal.

Makanan yang terlalu berat seperti nasi dan lauk pauk patut dielakkan ketika hampir waktu bersalin. Ini untuk mengelakkan ketidakhadaman dan loya yang seterusnya menyukarkan si ibu. Malah, jika berlaku sebarang komplikasi ketika bersalin, ibu yang sedang berpuasa lima jam sebelum bersalin adalah lebih selamat untuk melalui proses pembedahan.

Untuk mudah bersalin secara normal, tenaga yang diperlukan masih boleh diperolehi melalui snek ringkas, mudah hadam, penuh tenaga dan berkhasiat. Pilihan saya untuk dibawa ketika ditahan di wad hospital termasuklah buah-buahan seperti pisang, kurma, kismis dan epal.

 

  1. Tidur dan Rehat Secukupnya

Tips mudah bersalin

Ketika kandungan saya mencecah tujuh bulan keatas, tubuh mulai rasa sakit, terutamanya pinggang. Ini dek kerana menanggung berat kandungan dan berat badan sendiri yang meningkat 10kg dari ketika bujang. Apabila tubuh sakit, melakukan perkara yang meletihkan dan berat akan memudaratkan fizikal dan mental si ibu.

Mengikut kajian, ibu yang tidur malam kurang enam jam akan melalui tempoh bersalin 11jam lebih lama dan meninggikan kebarangkalian sebanyak empat kali ganda untuk melalui pembedahan Caesarean.  Lebih teruk lagi, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk selama hampir setiap hari, selama hampir lima bulan hamil. Oleh itu, saya tidak dapat tidur dengan lena dek tersengguk dari posisi dan kerana pinggang dan ruang dada yang terasa bagai dihimpit.

Cadangan yang baik adalah untuk melabur sedikit membeli bantal atau kerusi bersesuaian dengan tubuh ibu hamil, yang mana ia juga mungkin boleh dipakai ketika menyusukan anak kelak. Percayalah, itu antara perkara yang saya kesali dek kerana kedekut melabur untuk mendapatkan tidur malam yang selesa. Setelah bersalin, berjaga malam untuk memujuk anak menangis dan  menyusukan badan pula menjadi lumrah. Kekurangan tidur dan rehat sejak hamil boleh berlarutan sehingga selepas bersalin.

Ketika di trimester kedua, saya mula didatangi ‘nesting instinct’dimana saya kerap mengemas dan mengatur barangan serta seluruh rumah. Ia adalah naluri semulajadi si ibu yang bersedia untuk bersalin dan menyediakan persekitaran yang baik untuk cahaya matanya. Namun, saya cuba memastikan barangan bayi sudah hampir lengkap dibeli, dibasuh, digantung di dalam almari dan dipek di dalam beg ‘hospital’ sebelum masuk ke trimester ketiga. Lampin, ubat sapu, kapas, penyembur air, wipes dan set sikat sudah diletakkan didalam bakul kotak yang mudah dialih dan dibawa ke mana-mana.

Ia bertujuan supaya set lengkap selepas bayi mandi itu mudah dicapai dan digunakan sesiapa pun yang membantu saya ketika pantang. Ketika balik ke kampung juga, saya membawa bakul itu yang bersaiz lebih kurang sepemeluk yang dibeli di kedai terkemuka lima ringgit berjenama Jepun. Ketika di dalam kenderaan juga ia lebih mudah dilihat dan dicapai berikutan ia tidak bertutup. Ternyata orang sekeliling saya lebih mudah untuk membantu menguruskan bayi saya dan saya pula berjaya saya mendapat tempoh rehat yang lebih.

 

  1. Senaman Ringkas

Antara senaman melegakan otot badan yang saya kerap amalkan adalah teknik ‘Kucing-Lembu’. Teknik lembu adalah dengan berada dalam posisi merangkak; tangan, lutut dan jari kaki di atas lantai. Kemudian muka dari memandang lantai, bergerak perlahan-lahan memandang depan seperti seekor lembu yang sedang berbunyi. Punggung turut digerakkan keatas supaya ‘melentik’ dan saya menbayangkan tulang belakang berbentuk ‘U’.

Teknik kucing pula adalah sambungannya dimana saya menggerakkan kepala perlahan-lahan dari memandang depan sehingga bergerak memandang perut, sambil tulang belakang dinaikkan. Saya membayangkan diri saya seperti kucing yang sedang marah, dimana tulang belakangnya menaik ke atas berbentuk ‘n’.  Saya ulangi sehingga tiga kali sambil mengawal pernafasan mengikut tips nombor satu di atas.

Teknik ini amat membantu tulang belakang dan pinggang saya melentur ke atas dan bawah dan melegakan sebarang rasa lenguh. Senaman ringkas ini amat mudah dan kerap saya lakukan selepas solat. Ini bermakna ia dilakukan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali sehari. Dengan bantuan suami pula, saya melakukan senaman lain.

Kami berdiri menghadap satu sama lain dan kaki dibuka seluas dan selari bahu. Kemudian saya memegang tangan suami sebelum bergerak perlahan-lahan dari posisi berdiri ke cubaan mencangkung. Set cangkung-bangun ini saya ulang maksima lima kali sahaja. JIka anda tidak mahu mencangkung, boleh juga lakukan ‘plie’iaitu separa mencangkung dimana lutut dibengkokkan sementara posisi badan kekal tegak.

‘Plie’ini tidak memerlukan anda bergantung kepada sesiapa dan tidak perlu membengkokkan lutut hingga mencangkung. Namun , terpulang senaman jenis mana untuk anda lakukan, demi keselesaan dan faedah kepada diri sendiri dan bayi. Faedah senaman ini adalah melatih kekuatan kaki dan melatih keseimbangan dek kerana tubuh ibu hamil akan berubah titik keseimbangan gravitinya setelah perutnya semakin membesar.

Tekoa King, jururawat bidan bertauliah dari Universiti California pula menekankan bahawa ibu yang lebih kerap bersenam akan mempunyai daya tahan lebih tinggi dan seterusnya akan membantu mental dan fizikal mereka untuk mudah bersalin secara normal, selain akan melalui tempoh bersalin yang lebih pendek berbanding ibu yang kurang aktif. Anda seharusnya mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar untuk senaman yang bersesuaian daripada jururawat atau doktor ketika temujanji kehamilan. Paling kurang pun, melakukan kerja rumah yang biasa dan bergerak secara aktif di rumah juga memadai untuk menggerakkan otot dan meningkatkan kadar denyutan jantung (cardio exercise).

 

  1. Posisi Manfaatkan Graviti

Graviti adalah satu perkara yang perlu dimanfaatkan untuk mudah bersalin secara normal. Banyakkan berjalan dan berdiri adalah salah satunya; di mana posisi berdiri anda akan menyebabkan kepala janin menekan dan merangsang bukaan ‘jalan’. Untuk berada dalam posisi berdiri dan berjalan yang agak lama, anda memerlukan sepasang kaki yang kuat. Sepasang kaki yang kuat adalah hasil daripada senaman ringkas dan latihan mencangkung yang anda boleh lakukan di tips sebelumnya. Manakala posisi duduk pula, anda boleh menegakkan badan ketika bersandar sambil melunjurkan kaki. Pastikan tekanan diberikan di kawasan pelvis dan anda berada dalam posisi rehat yang selesa.

Kadangkala ada yang menggalakkan si ibu untuk berjalan-jalan di taman atau di kompleks membeli-belah. Ini adalah untuk mengalihkan perhatian si ibu supaya tidak merasa bosan, merasa cepat penat disamping mengurangkan tekanan kerana asyik memikirkan perihal akan bersalin. Leka berjalan dan melihat sekeliling menyebabkan senaman kaki menjadi lebih efektif dan kurang membebankan. Sambil itu, boleh melayan kehendak hati melihat-lihat barangan bayi dan barangan rumah yang pasti boleh memberikan keterujaan terhadap si ibu untuk menimang cahaya matanya tidak lama lagi.

 

  1. Jaga Hubungan, Membaca dan Hadiri Kelas Keibubapaan

Tips mudah bersalin secara normal

Ilmu memberi kesan signifikan kepada mental dan persediaan fizikal kepada para ibubapa. Membiasakan dan memahami setiap fasa kelahiran lebih memudahkan proses melahirkan. Berlatih dan berbincang adalah tindakan yang baik untuk mengatasi rasa tekanan dan takut yang keterlaluan. Rasa takut sekadarnya adalah naluri semulajadi dan tindakbalas yang normal. Melalui rasa takut, manusia menjadi lebih bersedia dengan cara untuk mengatasi dan melalui setiap perkara, termasuklah melalui proses melahirkan.

Untuk mudah bersalin secara normal, banyakkan membaca, bertanya dan menghadiri kelas keibubapaan yang boleh didapati percuma di klinik kesihatan kerajaan, atau sesi berbayar di hospital swasta. Pastikan semak tarikh yang ditentukan kerana jika kurang permintaan, mungkin sesi akan ditangguhkan dan anda mungkin hanya dapat menyertainya ketika di trimester ketiga.

Selain itu, cuba perbaiki hubungan sesama manusia dengan mengawal percakapan dan meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan. Dampingi, berbincang dan minta ibu anda memaafkan dan mendoakan anda supaya melalui proses melahirkan yang mudah. Hubungan baik juga perlu cuba dijaga dengan suami, ibu mertua, keluarga sendiri, rakan sepejabat dan jiran terdekat. Pesan dan elakkan mereka dari membunuh binatang secara kejam atau tanpa sebab.

Di PantangPlus, ada kelas untuk bakal-bakal ibu yang diadakan setiap bulan. Boleh hubungi mereka untuk maklumat lanjut.

 

  1. Pentingkan Doa, Jangan Ralit dengan ‘Air Selusuh’

Tips mudah bersalin normal

Air Selusuh yang mengandungi ramuan akar kayu dikhuatiri mengandungi bahan yang tidak diketahui, dos yang tidak tepat dan bahan yang boleh menyebabkan keradangan. Malah seorang doktor tempatan pernah melakukan pendedahan bahawa air selusuh hanya memaksa pintu rahim terbuka sebelum waktunya, sehingga menyebabkan ibu merasa sakit lebih lama berbanding normal. Saya dan keluarga langsung tidak pernah menyentuh sebarang air selusuh dan kami semua alhamdulillah mudah bersalin secara normal.

Terlalu ralit dengan ‘kemujaraban’ air selusuh dikhuatiri akan menganggu kepercayaan akidah anda. Sekiranya mahu jalan paling selamat untuk akidah dan tubuh anda, bacaan ayat Quran dan zikir boleh dilakukan dan dihembus di dalam air masak biasa. Ia sepertimana yang dilakukan di masjid dan surau dimana bacaan yasin, tahlil dan doa dibaca beramai-ramai dan dihembus kedalam air biasa. Air masak biasa yang faedahnya umum diketahui, berfungsi untuk menghidrasi dan mengangkut nutrisi dalam badan.

Ketika di bilik bersalin, zikir nabi Yunus ketika di dalam perut paus telah di tampal di dinding oleh pihak hospital. Zikir tersebut berbunyi ‘Laa ilaahailla anta, subahanaka, inni kuntum minazzalimin’ dan bermaksud ‘Tiada tuhan selain Engkau (Allah), Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk golongan yang menzalimi diri sendiri’. Tujuan zikir ini adalah supaya Tuhan mengampunkan dosa melalui kesakitan bersalin, selain mengakui keesaan dan keagungan Allah sebagai Tuhan tempat bergantung.

Sekian sahaja perkongsian saya mengenai tips mudah bersalin secara normal. Bersalin normal adalah impian, namun jika anda terpaksa melalui pembedahan, ia bukanlah suatu hukuman. Teruskan percaya bahawa rintangan hidup menjadikan anda lebih kuat dan hebat, kerana itu peluang membuktikan bahawa anda mampu melaluinya.

Jika masih mencari pakej berpantang selepas bersalin, boleh dapatkan info lanjut di PantangPlus.

Terima kasih dan semoga segala urusan anda yang bermanfaat akan dipermudahkan.

Apa yang orang lain cari?:

  • bersalin
  • Cara mudah bersalin

5 Tips Berpantang Di Rumah Mak Sendiri, Bukan Berpantang Di Rumah Mertua

Berpantang di rumah mertua

Menjadi ibu ayah terutamanya buat kita yang baru pertama kali bakal menimang cahaya mata adalah perkara yang sangat mengujakan. Sebelum bayi lahir lagi, kita sudah membuat pelbagai persediaan serta perancangan untuk menyambut kelahiran bayi itu kelak termasuk urusan berpantang.

Ada yang memilih untuk berpantang sendiri dan ada yang mendapatkan perkhidmatan ‘confinement lady’  untuk berpantang. Tidak kurang juga yang memilih untuk berpantang di rumah ibu bapa sendiri.

Bagi suami isteri yang merancang atau memilih untuk berpantang di rumah ibu bapa, bukan berpantang di rumah mertua, ikuti perkongsian berdasarkan pengalaman dan pandangan peribadi Puan Intan Dzulkefli ini berkenaan 5 perkara yang perlu kita ambil tahu sekiranya berpantang di rumah ibu bapa.

Foto Kredit : investcorrectly.in

RUMAH IBU BAPA BUKAN ‘CONFINEMENT PLACE FOR FREE’

Peringatan buat kita semua sebagai pasangan suami isteri, rumah ibu bapa bukan ‘confinement place for free’. Bantuan mereka menjaga anak menantu semasa berpantang juga bukan khidmat sukarelawan masyarakat.

Ramai di antara kita yang hanya menjenguk kampung apabila mahu bersalin semata-mata kerana mahukan penjagaan rapi semasa berpantang, tanpa perlu mengeluarkan kos perbelanjaan ribuan ringgit. Astaghfirullah, moga Allah ampunkan kita jika kita pernah berniat sebegini.

Foto Kredit : kalimantanpers.co.id

5 'CHECK LIST'  BERPANTANG DI RUMAH IBU BAPA

Lelaki sebagai suami dan menantu. Ingatlah bahawa sebenarnya tanggungjawab menjaga isteri berada sepenuhnya di atas bahu anda.

Ibu bapa yang sukarela mahu menjaga anak perempuan mereka semasa berpantang perlu dihargai dan diraikan. Bukan bermakna sepanjang tempoh itu, anda sebagai menantu boleh melepaskan diri dan bersenang-lenang laksana bujang, sedangkan di kampung, ibu bapa yang uzur terkial-kial mengangkat air panas buat isteri anda mandi dan hampir pitam mengendong bayi yang meragam dari malam hingga dinihari setiap hari.

Hal berpantang jangan diambil remeh. Suami isteri perlu duduk berbincang dengan ibu bapa tentang segala persediaan dan keperluan yang patut dipersiapkan.

Jika suami jenis 'clueless', isteri memainkan peranan untuk mengingatkan suami hal yang perlu dia ambil tahu, fikir dan sediakan sebelum dan semasa kita berpantang. Kadang-kala suami ini bukan ‘selfish’, tetapi dia tidak terfikir hal remeh-temeh yang bakal berlaku sepanjang tempoh berpantang itu. Mungkin kerana kurang membaca, kurang bertanya atau mungkin juga terlalu ambil mudah. Terutamanya untuk kelahiran pertama.

Jadi, kepada para isteri untuk suami jenis begini, beritahu dan ingatkan suami bahawa selain daripada menyediakan keperluan bayi, kita juga memerlukan set berpantang, upah bidan mengurut, ‘standby’ pam susu jika terkena bengkak susu, serta jangan lupa beri wang perbelanjaan kepada ibu bapa yang menjaga isteri bagi 5 perkara yang disenaraikan ini.

Foto Kredit : news.infoseek.co.jp

1. BAJET MAKANAN SEPANJANG BERPANTANG

Jangan lupa bahawa nafkah isteri tetap sepenuhnya di bawah tanggungjawab suami. Sediakan duit bajet untuk membeli lauk buat isteri sepanjang berpantang di rumah ibu bapa.

Untuk membeli makanan berkhasiat bagi mengembalikan tenaga isteri seperti ikan jenis tertentu, daging, susu, buah-buahan, sayur-sayuran, biskut dan lain-lain, ianya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit jumlahnya.

Tanya kepada ibu atau bapa tentang kos kasar barangan keperluan itu dan sediakan seawalnya sebelum isteri bersalin. Jika ada bajet ekstra, asingkan juga duit belanja dapur untuk ibu bapa.

Foto Kredit : getyourleanon.com

2. BIL AIR DAN ELEKTRIK

Sediakan juga duit untuk membayar bil air dan elektrik di rumah ibu bapa, kerana pada kebiasaanya jumlah bil akan naik sedikit atau mungkin berganda semasa tempoh berpantang isteri di sana.

Jika ada di antara kita yang menggunakan ‘aircond’  24 jam, sudah pasti bil elektrik akan naik mendadak. Jadi jangan buat-buat lupa bayar semula kepada ibu bapa.

Foto Kredit : ghac.com

3. MINYAK KERETA IBU BAPA

Sediakan juga duit minyak kereta ibu bapa yang ke hulu hilir menghantar isteri dan anak untuk ‘check up’  ke klinik / hospital atau untuk sebarang urusan lain semasa ketiadaan suami di rumah ibu bapa kelak.

Lebih-lebih lagi jika destinasi yang ingin dituju itu agak jauh dari kediaman ibu bapa, sudah pasti duit minyak kereta ini sangat diperlukan.

Foto Kredit : vanguardia.com.mx

4. KEPERLUAN TAMBAHAN

Pastikan juga sediakan wang ‘standby’  atau kecemasan sekiranya tiba-tiba bayi perlu dibelikan ‘pacifier’ , pakaian lebih, lampin pakai buang jenama lain jika bayi tidak serasi dengan jenama tertentu, krim ruam dan sebagainya.

Sentiasa bersiap sedia dengan segala macam kemungkinan kerana kita tidak tahu bagaimana kerenah bayi kita kelak. Setiap bayi, berlainan ragamnya.

Foto Kredit : madeof.com

5. BELANJA EKSTRA

Jika ibu bapa turut menjaga anak-anak yang lain semasa isteri berpantang, sudah pasti mereka memerlukan wang belanja tambahan untuk membeli makanan, susu, lampin pakai buang dan sebagainya. Jangan ajar anak meminta-minta daripada datuk nenek mereka, sebaliknya kita sediakan wang perbelanjaan yang mencukupi untuk keperluan anak-anak.

Jika ada bajet lebih lagi, selepas habis berpantang dan anak sudah besar sedikit, suami isteri boleh mengajak ibu bapa berjalan-jalan makan angin atau belanja mereka makan di tempat-tempat yang bagus sedikit untuk meraikan penat lelah mereka.

Sebagai tanda penghargaan, lakukan yang terbaik untuk membayar semula bantuan ibu bapa (walaupun kita sebenarnya tidak layak dan pasti tidak mampu membalasnya setimpal dengan jasa mereka – hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan mereka).

Foto Kredit : wallpaperstudio10.com

PERANCANGAN AWAL

Sekiranya ibu bapa berterus terang sudah tidak mampu menjaga isteri semasa berpantang, mungkin atas faktor uzur dan sebagainya, suami sepatutnya sudah merancang urusan berpantang isteri sejak dari awal kandungan lagi.

Mungkin suami boleh mula membuat perancangan awal untuk mengambil cuti lebih lama selepas isteri bersalin dan mula mencari maklumat tentang tugasan yang perlu dilakukan jika mahu berpantang sendiri.

Jika suami tidak dapat mengambil cuti yang panjang, boleh mula menabung untuk mengupah ‘confinement lady’  menjaga isteri dan bayi semasa berpantang serta bayaran ‘day care’  untuk anak yang lain sementara isteri dalam tempoh berpantang.

Dalam dunia serba moden ini, semua maklumat kini berada di hujung jari dan semakin mudah diakses di mana sahaja kita berada.

Berpantang selepas bersalin

SANTUNI IBU BAPA

Sejujurnya, kebanyakan ibu bapa tidak akan meminta ‘directly’  kesemua wang perbelanjaan ini daripada anak menantu mereka. Tetapi sebagai anak yang baik, peka dan bertimbang rasa, fahami tanggungjawab kita dan buat persediaan awal untuk melunaskan semua senarai keperluan di atas.

Ibu bapa tidak pernah berkira termasuk untuk menjaga anak menantu semasa tempoh berpantang, tetapi anak menantu sering kali berkira dengan ibu bapa. Walhal selepas berkeluarga, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menguruskan segala urusan rumah tangga kita sendiri. Bersyukur kerana mereka sudi untuk memberi bantuan di kala kita memerlukan. Maka, usah mengambil kesempatan atas kebaikan dan kasih sayang ibu bapa.

Ingatlah bahawa kita juga bakal menjadi orang tua kelak. Jangan dizalimi ibu bapa yang duit bulanan pun tidak pernah diberi, tetapi apabila tiba tempoh kritikal sebegini, kita tambahkan pula beban buat mereka. Jaga adab kita sebagai anak kerana dikhuatiri apabila ibu bapa berkecil hati dalam diam dan mereka tidak redha, kita yang menanggung dosa serta menerima balasan.

Ibu atau bapa kita cuma ada seorang sahaja di atas muka bumi ini. Jika Allah ambil mereka kembali, sudah tentu tiada lagi galang gantinya. Semoga kita dapat menyantuni mereka semampunya, kerana Allah tahu segala apa yang ada di dalam hati kita.

Wallahu 'alam.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Intan Dzulkefli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.