5 Fakta Tentang Bertangas, Amalan Tradisi Yang Banyak Khasiatnya

bertangas selepas bersalin

“Berurut dah, mandi lulur pun dah. Segar sikit rasa badan ni. Bidan cakap nanti nak bertangas pula. Bertangas tu apa? Macam mana cara bertangas ni sebenarnya?”

Kebanyakan wanita, terutamanya anak muda mungkin tak ramai tahu atau mengamalkan tradisi bertangas. Ia adalah antara amalan yang lebih sinonim dengan wanita selepas bersalin.

Sungguhpun tidak begitu popular, tradisi bertangas masih lagi dilakukan oleh mereka yang pakar dan telah dimodenkan.

Mari ketahui apa sebenarnya proses dan ramuan yang terlibat, cara bertangas dan bagaimana ia menyumbang kepada kesihatan wanita.

5 Fakta Tentang Bertangas, Amalan Tradisi Yang Banyak Khasiatnya

1. Apakah Bertangas?

Bagi yang belum tahu, bertangas adalah proses ‘mandi wap’ yang melibatkan anggota sulit wanita, iaitu vagina. Ia dilakukan bagi membuang bau badan, melancarkan peredaran darah dan haid, serta menjaga kesihatan faraj.

Selain menjadi tradisi masyarakat Melayu kita, ia juga turut diamalkan dalam masyarakat lain di luar negara contohnya di negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand. Di negara Barat juga, ia lebih dikenali sebagai proses ‘vaginal steaming’.

Foto Kredit: dealtoday.vn

2. Tangas Kering & Tangas Basah

Menurut Ruzita Jamaluddin, pemilik Spa Mawar Putih, terdapat 2 jenis bertangas iaitu:

  • Tangas Kering – menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama satu jam di atas api kecil dan diletakkan serbuk tangas diperbuat daripada herba terpilih. Asapnya inilah yang akan menghangatkan bahagian sulit wanita. Tangas kering ini dianggap lebih ringkas dan tidak terlalu merimaskan bagi yang tak tahan panas.
  • Tangas Basah – menggunakan air panas yang dididih bersama daun herba terpilih. Wapnya dirasai seolah-olah sedang bersauna.
Foto Kredit: definitions-long.cf

3. Kebaikan Bertangas

Terdapat banyak kebaikan bertangas antaranya adalah membantu ibu bersalin melancarkan pengaliran darah nifas, mengeluarkan toksin, serta membantu melangsingkan tubuh.

Herba-herba terpilih yang digunakan juga dipercayai dapat mengelakkan kekenduran rahim, serta mempercepatkan kesembuhan pada luka jahitan selepas bersalin.

Rawatan ini tidak terhad kepada wanita selepas bersalin saja kerana ia juga dikatakan mampu mencegah masalah bau dan keputihan pada vagina.

4. Cara Bertangas

Berikut adalah cara bertangas, seperti yang dirujuk melalui The Asian Parent Malaysia

Cara Bertangas Kering

Bahan-bahannya:

• serbuk manjakani
• daun inai
• kunyit hidup
• jintan hitam
• halba
• garam kasar
• limau nipis
• asam gelugur

Caranya :

Mula-mula panaskan batu sungai atau batu tanah liat di atas dapur. Alaskan daun sirih dalam periuk atau mangkuk tanah. Masukkan batu yang telah pun betul-betul panas. Letakkan ramuan yang telah ditumbuk halus di atas batu. Sedia untuk digunakan.

Cara Bertangas Basah

Bahan-bahannya:

• halia
• biji atau serbuk manjakani
• daun sirih
• garam kasar
• lengkuas
• jintan hitam
• serai wangi
• halba

Caranya :

Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Seeloknya rebuskan di dalam periuk tanah. Gunakan kerusi khas atau sediakan tempat bertangas yang sesuai. Bertangas selama 15-30 minit. Air yang telah sejuk boleh dijadikan bahan pencuci bahagian sulit.

*Untuk mendapatkan kesan wap bahan rebusan tadi secara menyeluruh, boleh juga berselubung menggunakan kain pada paras leher sehingga ke kaki (seperti berkemban).

*Sementara menunggu tempoh 30 minit tersebut, senaman kemutan otot rahim (senaman Kegel) juga boleh dialakukan untuk kekuatan otot alat sulit dan rahim.

bertangas selepas bersalin
Foto Kredit: majesticunicorn.biz

5. Tangas Tradisional Dan Moden

Tangas tradisional melibatkan bahan yang agak sukar didapati seperti menggunakan tikar pandan, periuk tanah dan prosesnya mungkin leceh untuk dilakukan sendiri di rumah.

Namun dengan perubahan zaman, kini proses ini bertambah mudah dan khidmatnya juga tersedia di kebanyakan spa yang berkonsepkan tradisional Melayu.

Malah, pelbagai produk seperti kerusi khas dan set bertangas telah dipakejkan dengan lengkap agar tradisi ini terus dapat dihidupkan lagi hingga ke hari ini.

cara bertangas
Foto Kredit: healthclue.org

Sihat Luaran & Dalaman

Ringkasnya, amalan bertangas bukan saja membantu memulihkan wanita lepas bersalin, tetapi ia juga menawarkan pelbagai khasiat kepada wanita bujang.

Bagi yang belum biasa melakukannya, rujuklah pada juruterapi spa yang bertauliah untuk kali pertama melakukannya. Kemudian, bolehlah lakukan sendiri di rumah dan diamalkan secara konsisten.

Apa yang orang lain cari?:

  • bahan tangas kering lepas bersalin
  • Bertangas guna air rebusan teh serbuk
  • cara bertangas
  • kebaikan mengamalkan bertangas
  • kerusi tangas
  • khasiat tangas basah
  • masa pantang bertangas guna api

4 Tips Mengatasi Bayi Meleleh Air Liur dari 'Occupational Therapist'

“Kenapa dengan si kecil ni ya, semua barang nak masuk dalam mulut? Lepas tu, meleleh air liur dia, tak berhenti!. Bagaimana cara untuk atasi kedua-dua isu ini ya?

Setiap anak adalah berbeza. Mereka berbeza dari pelbagai aspek termasuklah dari segi fizikal, tahap perkembangan, cara belajar, minat dan juga ragam.

Antara perkara yang sering menjadi tanda tanya ibu bapa adalah mengapa anak gemar memasukkan barang yang dijumpai ke dalam mulut dan mengapa air liur anak sering meleleh.

Ikuti perkongsian seorang ‘Occupational Therapist’ (OT), iaitu Puan Mahfuzah Zainol tentang cara-cara mengatasi masalah anak yang gemar memasukkan barang ke dalam mulut dan mengurangkan atau menghentikan lelehan air liur anak.

Foto Kredit : verywell.com

‘ORAL SENSORY SEEKING BEHAVIOUR’

Dalam perkembangan kanak-kanak atau ‘developmental milestone’, ‘oral sensory seeking behaviour’  ini pada kebiasaannya dapat dilihat pada usia anak di bawah 1 tahun, iaitu apabila anak sering memasukkan barang ke dalam mulutnya atau sering melelehkan air liur.

Jika perkara ini masih berlaku selepas anak melewati umur 1 tahun, kemungkinan terdapat isu ‘sensory craving’  atau ‘sensory seeking’  pada bahagian oral atau mulut anak.

Dalam usaha menangani kedua-dua isu ini, ibu bapa boleh mempraktikkan 4 teknik berikut untuk mengurangkan dan seterusnya mengatasi kedua-dua perkara tersebut daripada terus berlaku.

1. TEKNIK ‘ORAL MOTOR STIMULATION’

‘Oral motor stimulation’  ini menggunakan kaedah ‘mouth tapping and pressing’  di sekitar mulut dan pipi anak.

Objektif teknik ini adalah untuk memberi ‘sense of tactile input’  (sentuhan dan ‘touch pressure’) di sekitar kawasan itu.

Teknik ‘oral motor stimulation’  ini sangat sesuai juga untuk kanak-kanak yang mengalami masalah ‘drooling’  atau meleleh air liur (kerana tidak menelan air liur tersebut).

Ia turut berkesan membantu bayi pra matang (seperti anak pertama Puan Mahfuzah) untuk menghisap susu terus dari badan. Cuma teknik ini perlu kerap dipraktikkan.

Foto Kredit : pinterest.com

2. GUNA ‘TEETHER’

Salah satu cara untuk menangani masalah ‘sensory seeking behaviour’  pada otot oral anak adalah dengan menggunakan ‘teether’. ‘Teether’  ini digunakan untuk digigit oleh anak-anak yang mempunyai ‘sensory seeking’  atau ‘sensory craving’  di sekitar mulut mereka.

Kini, terdapat pelbagai jenis ‘teether’  yang menarik dengan pelbagai bentuk dan warna dijual di pasaran.

Objektif penggunaan ‘teether’  ini adalah untuk mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka. Penggunaan ‘teether’  lebih terjamin kebersihannya berbanding barang atau objek lain yang diragui tahap kebersihannya.

Selain itu, objektif penggunaan ‘teether’  ini adalah memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala.

Foto Kredit : chipi.co.il

3. GUNA ‘CHEWY TUBE’

‘Chewy tube’  merupakan alat permainan kanak-kanak yang dicipta khas agar boleh digigit oleh mereka.

Fungsi dan objektifnya adalah sama seperti ‘teether’  iaitu untuk mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka dan memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala.

‘Chewy tube’  ini boleh digantung pada leher anak. Sekiranya anak terasa ingin menggigit, mereka boleh menggigit ‘chewy tube’  ini untuk memenuhi keperluan sensori oral mereka (oral sensory fulfilness).

Foto Kredit : rehabmart.com

4. GUNA ‘TOOTHETTE’

‘Toothette’  merupakan alat penjagaan oral yang jika dilihat sekali imbas, ianya kelihatan seperti lollipop. Walau bagaimanapun, ‘toothette’  sebenarnya merupakan batang (stick) yang di hujungnya terdapat kapas atau span untuk digunakan oleh ibu bapa bagi memberi rangsangan (stimulate) pada bahagian oral motor iaitu di sekitar bahagian dalam mulut anak.

Fungsi ‘toothette’  ini juga sama seperti ‘teether’  dan ‘chewy tube’  iaitu bertujuan memberi input sensori pada sekitar otot mulut anak secara berkala serta mengurangkan kecenderungan anak daripada menggigit barang lain di sekitar mereka.

Foto Kredit : ebay.com

SEJAUH MANA KEBERKESANAN TEKNIK-TEKNIK INI?

Sebagai ibu bapa, kita pasti tertanya-tanya, adakah teknik-teknik ini akan membuahkan hasil yang diingini apabila dipraktikkan kelak?

Sejujurnya, bukan mudah untuk menangani isu ‘oral sensory behaviour seeking’  ini pada anak. Kesemua tips dan teknik ini bukan ‘magic touch’  yang mana hanya perlu buat sekali sahaja dan ianya terus berkesan. Ia memakan masa dan perlu dilakukan berterusan sehingga terlihat kesannya.

Terdapat ibu bapa yang sering berputus asa setelah teknik-teknik ini tidak berjaya membuahkan hasil.

Ini contoh kes kanak-kanak berumur 4 tahun mengalami masalah ‘drooling’  yang teruk. Pada awal pertemuan, bajunya basah dek lelehan air liurnya. Dan air liur ini apabila kering mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Setelah hampir setahun mempraktikkan teknik-teknik yang dinyatakan seperti di atas, Alhamdulillah air liurnya berkurangan sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun, tidak bermakna dengan melakukan teknik-teknik itu semata-mata, ianya berjaya menangani isu anak berusia 4 tahun ini. Tetapi mungkin dengan usaha itu, Allah memperkenankan doa kita sebagai ibu bapa dan memperlihatkan hasilnya.

Foto Kredit : grebweb.com

USAHA SELAGI TERDAYA

Setiap masalah seperti bayi meleleh air liur, ada jalan penyelesaiannya termasuk isu ‘oral sensory seeking behaviour’  ini. Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk ditangani, teruskan berusaha dan usah berputus asa. Kerana berusaha itu adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa dan mengharapkan keajaiban berlaku dengan tiba-tiba.

Kita hanya berusaha, Allah yang akan menentukannya. Semoga dengan usaha, diiringi dengan doa serta keyakinan kita sebagai ibu bapa, in sha Allah kelak, kita pasti berjaya menyelesaikan apa jua masalah yang dialami anak-anak.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Mahfuzah Zainol melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Apa yang orang lain cari?:

  • air liur baby meleleh
  • bayi berli
  • cara menghilangkan air liur baby
  • cara menghilangkan air liur bayi
  • cara menghilangkan air liur pada bayi
  • faktor budak setahun ke atas meleleh air liur
  • punca air liur kanak kanak meleleh
  • tips hilangkan air liur anak kecil

Bolehkah Bayi Mandi Air Sejuk? Kalau Demam Macam Mana?

“Leceh juga nak siapkan air mandi ni. Nak kena suam elok, kalau tak menjeritlah jawabnya nanti. Bila agaknya boleh bagi bayi mandi air sejuk ya?”

Kalau nak ikutkan memanglah lagi senang kalau bayi boleh mandi air paip saja. Tak perlu nak tuang air panas dan adjust suhunya dalam besen. Tapi risau juga kalau-kalau tindakan ini akan membuatkan bayi mudah terkena batuk, selsema, demam dan sebagainya.

Bila ditanya pada orang tua, ada yang berpendapat mandikan bayi dengan air sejuk lagi baik sebab tulang bayi akan menjadi kuat. Malah, ada tradisi turun-temurun orang Rusia yang mencelup anak-anak kecil dalam air ais kerana dipercayai ‘anak akan membesar lebih sihat’.

Jadi, bolehkah sebenarnya bagi bayi mandi air sejuk? Kalau boleh, sejak umur berapa? Apa yang perlu diperhatikan supaya mereka benar-benar selesa dan selamat?

Suhu Mandi Bayi Yang Paling Sesuai

Bagi orang dewasa, sebenarnya mandi air panas atau sejuk kedua-duanya mempunyai manfaat tersendiri. Namun, suhu air mandi yang paling sesuai untuk bayi, terutamanya bayi baru lahir adalah suhu suam, sekitar 37 darjah celsius, iaitu bersamaan dengan suhu badan manusia. Suhu ini adalah suhu yang selesa untuk bayi dan tidak akan membuatnya terkejut.

Anda tak semestinya menggunakan termometer untuk menyukat suhu air mandian bayi yang tepat. Sebaliknya, anda boleh mengagak suhu yang selesa dengan mencelup bahagian siku anda ke dalam besen mandi bayi. Cukup dengan memastikan ia tak terlalu panas atau terlalu sejuk, ia sudahpun dikira selesa dan selamat untuk bayi.

Foto Kredit: tesco-baby.com

Jadi, Bolehkah Bayi Mandi Air Sejuk?

Berbalik kepada persoalan di atas, jawapannya bergantung kepada keadaan. Biasanya di Malaysia suhu air paip tidaklah terlampau sejuk, kecuali ketika hujan, waktu malam, atau awal pagi.

Seeloknya suhu air mandian bayi baru lahir adalah suam dan selepas berusia 3 bulan, suhu air bolehlah diubah secara bertahap. Ini kerana, apabila bayi semakin besar, barulah tubuhnya mampu mengawal selia suhu dengan lebih efektif. Apapun, dinasihatkan agar air suam tetap digunakan ketika mandi malam atau ketika cuaca sejuk.

Selain suhu air mandian bayi, jangan lupa mengambil kira suhu bilik dan keringkan bayi secepat mungkin kerana kedua-dua faktor ini juga boleh membuat bayi berasa sejuk.

Foto Kredit: momjunction.com

Perlukah Bayi Mandi Air Sejuk Untuk Menurunkan Suhu Badan Ketika Demam?

Mungkin ada yang percaya bahawa cara paling mudah menurunkan suhu badan yang tinggi ketika demam adalah dengan mandi air sejuk. Namun ini sebenarnya merupakan satu kesilapan yang tidak seharusnya dipraktikkan, terutamanya buat bayi.

Sebaliknya, apa yang lebih disarankan adalah melakukan tepid sponging atau teknik menyapu tubuh dengan menggunakan tuala lembab yang dicelup dalam air suam.

Menurut Dr Abdul Rahim Nor, air suam akan membantu pembuluh darah agar mengembang lalu membuka pori-pori yang memudahkan keluarnya panas dari tubuh. Penggunaan air sejuk atau air ais hanya akan meningkatkan suhu badan kerana pembuluh darah di kulit akan mengecut hingga panas dari tubuh terhalang untuk keluar dari kulit.

Foto Kredit: bundoo.com

Tanda Yang Perlu Diperhatikan

Oleh kerana kulit bayi amat sensitif, ibu ayah perlu lebih peka terhadap reaksi semasa bayi mandi air sejuk atau air panas.

Jika kulit bayi menjadi kemerahan apabila bersentuhan dengan air, ini bermakna ia mungkin terlalu panas. Air yang terlalu sejuk pula boleh membuat bayi menggigil dan nampak sedikit kebiruan. Pada beberapa hari pertama kelahiran, bayi tidak perlu dimandikan terlalu lama. Malah, memadailah dengan mencuci tubuh bayi dengan air suam tanpa terlalu disabunkan.

Sesetengah bayi akan menangis ketika mandi kerana mungkin berasa kurang selesa atau tidak suka mandi. Ibu ayah juga mungkin masih kekok dan tidak dapat bertenang apabila tangisan bayi mula kedengaran sebaik anggota tubuhnya mencecah air. Namun selepas beberapa kali dimandikan, ibu ayah akan berasa semakin konfiden dan bayi juga akan terbiasa dengan rutin tersebut.

Apa yang orang lain cari?:

  • Bayi 1 tahun boleh mandi
  • bolehkah bayi 3 bulan mandi air sejuk
  • air sejuk jualan tulang bayi
  • kebaikan air sejuk dan panas untuk bayi
  • mandikan baby dengan air sejuk
  • mandikan combayi dengan air paip

6 Tips Berpantang Selepas Bersalin dari Doktor Perubatan

Berpantang selepas bersalin

“Jika tak ikut cara berpantang orang dahulu selepas bersalin nanti, adakah ianya akan menjejaskan kesihatan? Bagaimanakah cara berpantang yang relevan untuk ibu-ibu pada zaman moden ini ya?”

Berpantang Selepas Bersalin

Buat para ibu yang berada dalam zaman moden ini, isu berpantang selepas bersalin merupakan salah satu isu yang pastinya menimbulkan dilema dalam diri. Sama ada mahu mengamalkan petua berpantang orang zaman dahulu atau berpantang mengikut nasihat pakar perubatan masa kini?

Seiring dengan gaya hidup zaman sains dan teknologi masa kini, kemajuan sains perubatan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Jika dahulu, adalah sangat sukar untuk kita mendapatkan maklumat-maklumat tentang kesihatan. Tetapi kini, semuanya berada di hujung jari. Hanya dengan satu klik, pelbagai info kesihatan sahih dapat kita perolehi.

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang tips-tips berpantang selepas bersalin untuk ibu moden. Tips-tips ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

6 TIPS BERPANTANG LEPAS BERSALIN

TIPS 1 : MINUM AIR SECUKUPNYA

Ibu-ibu yang berpantang selepas bersalin memerlukan air yang secukupnya iaitu 2 hingga 3 liter sehari. Ianya penting bagi penghasilan susu ibu yang banyak kerana susu ibu mempunyai komponen air yang tinggi. Selain itu, minum air yang mencukupi dapat mengatasi masalah sembelit.

Mengapa orang dahulu kata, minum air banyak masa pantang lepas bersalin nanti urat kembang?

Secara logiknya, pada zaman dahulu, sumber air adalah sangat sukar didapati dan sangat terhad. Mereka perlu mengambil air dari perigi, dapatkan kayu untuk hidupkan api serta perlu jerang air dengan cara yang betul bagi mengelakkan air yang dimasak tidak berbau asap yang mana boleh menyebabkan rasa payau. Jika ibu-ibu minum air dengan kuantiti yang banyak, ia pasti menyukarkan. Disebabkan faktor-faktor ini, air minuman dicatu buat mereka.

Kini, kemudahan sudah tersedia. Jika tidak mahu memasak air, para ibu boleh terus minum air daripada penapis air mengikut keperluan yang sepatutnya. Tiada istilah kembang urat dan sebagainya jika ibu-ibu minum banyak air semasa berpantang selepas bersalin.

 

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : sydsvenskan.se

TIPS 2 : MAKAN MAKANAN YANG BERKHASIAT

Ibu yang berpantang selepas bersalin memerlukan zat nutrisi daripada makanan yang berkhasiat. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar pengambilan makanan yang terbaik adalah mengikut sukatan ini – suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein, separuh pinggan adalah sayur dan buah.

Ikan, ayam, daging dan telur mengandungi protein yang tinggi dan amat diperlukan untuk pembaikan tisu-tisu badan.

Sayur-sayuran dan buah-buahan pula mengandungi serat untuk mengelakkan sembelit. Selain itu, untuk menggantikan darah yang hilang selepas bersalin serta mempercepatkan penyembuhan luka, vitamin-vitamin seperti Vitamin A, B1, B2 dan B6, dan C, asid folik, zat besi dan garam galian (seperti kalium) yang terkandung dalam sayur-sayuran dan buah-buahan dapat membantu.

Jika makanan ibu berpantang dicatu atau disekat dengan hanya nasi putih dan ikan kering atau ikan bilis sahaja, nutrisi para ibu jelas tidak mencukupi.

Namun, sekiranya para ibu mempunyai alahan terhadap makanan tertentu atau sistem penghadaman tidak sesuai dengan sesetengah makanan, makanan-makanan tersebut perlu dielakkan.

Mengapa wujud petua makan ikan atau ayam atau telur, kelak tempat luka pembedahan atau kecederaan akan gatal?

Secara logiknya, pada zaman dahulu, tiada orang menjual ayam dan telur di pasar seperti sekarang. Ayam perlu dibela sendiri dan ikan pula perlu dijala di laut atau dikail di sungai, bukan dibeli di kedai atau pasar. Ayam dikira makanan mewah zaman dahulu dan jika setiap hari para ibu makan ayam, habislah ayam sereban. Dahulu, ayam dan ikan tidak boleh disejukbekukan seperti sekarang. Maka, muncul petua makan ayam dan telur nanti gatal.

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : plus.google.com

TIPS 3 : KEKAL AKTIF SEMASA BERPANTANG

Selepas bersalin, para ibu tidak seharusnya bermalas-malasan ketika berpantang. Ibu berpantang perlu bergerak mengikut daya kemampuan masing-masing. Petua orang dahulu meminta ibu berpantang tidur atau berbaring sahaja semasa berpantang mungkin sudah tidak relevan pada masa ini kerana zaman kita berbeza. Teknologi masa kini banyak memudahkan kehidupan seharian kita.

Melakukan kerja rumah merupakan salah satu cara untuk ibu-ibu kekal aktif semasa berpantang. Ianya bertujuan untuk mengelakkan darah beku pada kaki kerana jika darah beku itu bergerak ke paru-paru, ianya boleh membahayakan para ibu dan boleh membawa maut.

Walau bagaiamanapun, usah lakukan kerja rumah sehingga mendera dan membahayakan diri sendiri, lakukan secara sederhana dan sekadar termampu sahaja.

Tidak semua orang mampu memiliki pembantu rumah atau pembantu untuk menjaga para ibu ketika berpantang. Ibu-ibu yang masih mempunyai ibu atau ibu mertua yang menjaga anda semasa berpantang adalah sangat beruntung. Jika tidak, siapa lagi mahu menguruskan rumah tangga kita selain diri kita sendiri dan bantuan suami? Jadi, usah bimbang untuk kekal aktif semasa berpantang dengan melakukan kerja rumah mengikut kemampuan.

Pantang selepas bersalin
Foto Kredit : litefm.iheart.com

TIPS 4 : BERTUNGKU SECARA SEDERHANA

Bertungku selepas bersalin adalah dibolehkan selagi mana tidak berlebihan. Jangan ditungku pada bahagian luka disebabkan pembedahan Caesarean atau luka episiotomi.

Dari segi Sains, apabila kita bertungku, haba dari batu tungku akan menyebabkan saluran darah di kulit pada bahagian yang diletakkan batu tungku itu akan mengembang. Peredaran darah akan bertambah baik apabila salur darah tadi berkembang sedikit daripada yang asal. Dengan itu :

  • Nutrisi dan oksigen yang ada dalam darah akan pergi ke bahagian yang ditungku.
  • Melegakan rasa sakit dan lenguh di otot terbabit.
  • Meningkatkan fleksibiliti otot.
  • Membantu menyahkan bahan buangan apabila darah mengalir dengan baik.

Perlu diingat, batu tungku tidak boleh diletakkan lebih daripada 30 minit pada satu-satu tempat kerana dikhuatiri saluran darah itu akan mengecut.

Selain daripada batu tungku, ibu-ibu boleh menggunakan alternatif lain seperti pek berhaba untuk membantu mencapai objektif yang sama seperti bertungku. Walau bagaimanapun, tidak mengapa jika ibu-ibu tidak bertungku semasa berpantang kerana ianya bukan perkara yang salah dan para ibu tidak sepatutnya dipersalahkan.

Nota : Kulit manusia terdiri daripada banyak lapisan seperti dalam gambar rajah di bawah. Hanya sebahagian lapisan di bahagian atas abdomen sahaja yang mendapat kebaikan bertungku. Lapisan otot yang berada di bahagian dalam-dalam badan, tidak akan mendapat manfaatnya. Ini kerana, jika kita potong kulit badan, terdapat lapisan lemak dahulu dan kemudian barulah kelihatan lapisan otot. Lapisan lemak ini berfungsi untuk menapis haba. Maka haba tungku itu tidak akan sampai ke lapisan otot yang kedudukannya berada di bahagian dalam-dalam badan kita.

Pantang selepas bersalin
Keratan rentas lapisan abdomen

TIPS 5 : SEGERA KE HOSPITAL JIKA ALAMI MASALAH KESIHATAN

Jika ibu berpantang selepas bersalin mengalami sebarang masalah kesihatan atau kemusykilan tentang diri sendiri mahupun bayi, maklumkan kepada jururawat yang datang melawat para ibu di rumah. Ibu-ibu seharusnya pergi ke klinik atau hospital jika perlu.

Antara simptom-simptom merbahaya buat para ibu selepas bersalin adalah :-

  • Demam melebihi 38°C.
  • Sakit kepala yang teruk diiringi dengan mata kabur, muntah dan kaki bengkak.
  • Darah nifas yang keluar begitu banyak secara tiba-tiba. Ditambah dengan pening kepala atau denyutan nadi yang laju.
  • Sakit dada dan sukar bernafas secara tiba-tiba. Ditambah pula jika ibu turut mengalami batuk darah dan pening kepala.

Dalam keadaan seperti yang dinyatakan di atas ini, para ibu perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan daripada mereka yang lebih pakar.

Pantang selepas bersalin
Foto Kredit : 3a2ilati.com

TIPS 6 : BERFIKIRAN POSITIF

Terdapat banyak perubahan yang akan berlaku kepada ibu selepas melahirkan bayi. Ianya merupakan suatu perubahan besar dalam hidup terutamanya bagi para ibu yang pertama kali menimang cahaya mata.

Dalam keadaan ibu yang masih belum sihat sepenuhnya selepas bersalin, saat ini sememangnya waktu yang sukar kerana ibu bukan sahaja perlu menjaga kesihatan diri, malah turut perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran bayi yang baru dilahirkan.

Suami dan ahli keluarga terdekat seharusnya memberi sokongan padu dari segi mental, fizikal, emosi dan moral kepada para ibu agar ibu berpantang selepas bersalin ini dapat sentiasa berfikiran positif.

Buat para ibu, nikmati waktu berpantang kerana tidak semua orang melaluinya. Jika ibu-ibu dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dalam diri dari segi fikiran mahupun emosi, usah berlengah lagi, dapatkan rawatan segera.

Berpantang selepas bersalin
Foto Kredit : islamozaik.com

BERANI BERPANTANG CARA MODEN

Biar pun para ibu dikecam kerana tidak mengikut cara berpantang orang dahulu, ibu-ibu harus kental menghadapi semua kecaman tersebut. Ibu-ibu harus kuat dan menjadi individu yang berani mempertahankan pendirian kerana kita mempunyai alasan yang kukuh dengan berpantang mengikut cara moden sebegini.

Betulkan yang salah dan biasakan yang betul.

Semoga tips-tips ini bermanfaat dan ibu-ibu dapat melalui tempoh berpantang selepas bersalin dengan jayanya.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Pautan asal perkongsian Dr. Rusyainie Ramli :
Pautan 1
Pautan 2
Pautan 3
Pautan 4
Pautan 5

Apa yang orang lain cari?:

  • pantang selepas bersalin
  • berpantang makan daging
  • resepi minuman berpantang
  • pantang bersalin normal
  • Lontong untuk ibu berpantang
  • Vitamin lepas
  • resepi lempeng untuk ibu berpantang
  • persiapan berpantang
  • pantang lepas beranak
  • mandi air sejuk ketika berpantang
  • makanan orang berpantang bersalin
  • makanan ibu semasa berpantang
  • artis malaysia berpantang
  • khasiat jagung untuk ibu berpantang
  • Kesan sampingan jatuh selepas berpantang
  • kerja rumah yang boleh dibuat oleh ibu berpantang czer
  • kebajikan memakai stoking untuk ibu berpantang
  • ibu berpantang boleh makan siput sedut
  • cara menguruskan badan selepas berpantang
  • cara mengurus diri dalam berpantang

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

cara urutan bayi

“Letihnya berjaga semalaman sebab baby asyik meragam. Sembelit ke? Kembung ke? Mungkin kena urut sikit agaknya baru selesa. Macam mana cara urutan bayi yang bagus ya?”

Pernahkah kita pergi memanjakan diri di spa? Ada juga muzik perlahan, pencahayaan yang malap, aroma yang menenangkan, dan yang paling seronok tentulah urutan yang melegakan badan. Walaupun diurut berjam-jam, rasa macam sekejap saja masa berlalu. Siap boleh tertidur lagi!

Begitulah keistimewaan urutan badan yang bukan saja dapat dinikmati oleh orang dewasa, tetapi juga anak kecil termasuklah bayi. Selepas mandi adalah waktu yang ideal untuk mengurut bayi. Dengan cara urut bayi yang betul, lebih mudah mereka tidur nyenyak sepanjang malam.

Cara Urut Bayi Selepas Mandi, Biar Mudah Tidur Malam

Cara urut bayi yang berkesan boleh memudahkan bayi untuk tidur lena pada waktu malam.

Berikut adalah cara urut bayi yang boleh anda praktikkan setiap hari.

1. Sediakan Tempat Yang Selesa

Pertama sekali, sediakan tempat yang paling selesa untuk mengurut bayi. Keringkan bayi dengan tuala selepas mandi supaya bayi tidak berasa sejuk. Pakaikan lampin jika anda khuatir bayi akan membuang air semasa diurut.

Pastikan semua kelengkapan telah ada di sisi supaya anda tidak perlu bangun dan bergerak ke mana-mana sepanjang sesi urutan nanti.

Antara kelengkapan yang akan digunakan adalah:

  • minyak urut
  • tuala kecil
  • pakaian bayi
  • selimut bayi
Urut Bayi
Foto Kredit: thechampatree.com

2. Tumpukan Perhatian Terhadap Bayi

Sebaik-baiknya anda juga perlu berada dalam keadaan yang selesa untuk mengurut bayi. Basuh kedua-dua belah tangan dengan bersih terlebih dulu dan matikan telefon bimbit agar anda dapat betul-betul fokus pada bayi.

Bercakap-cakaplah dengan bayi dan beritahunya bahawa anda akan mengurutnya. Walaupun bayi belum memahami perkataan, kata-kata anda dapat memberi isyarat tertentu buat bayi dan membuatnya berasa selamat.

Cara Urut Bayi

3. Mula Dari Kaki

Sebenarnya anda boleh memulakan urutan pada mana-mana anggota badan yang paling disukai oleh bayi. Namun, kaki adalah anggota yang sesuai kerana ia kurang sensitif berbanding bahagian-bahagian lain.

Mula-mula, oleskan sedikit minyak dan urutkan bahagian tapak kaki, tumit, dan ibu jari. Kemudian, beralih ke bahagian buku lali dan seterusnya ke peha. Gunakan sedikit daya untuk menggenggam peha bayi dan tariknya ke arah bawah.

Urut Bayi

4. Perut

Dengan menggunakan kedua-dua belah ibu jari, buat urutan dari bahagian pusat ke arah luar. Gerakkan jari perlahan-lahan daripada perut ke dada.

Sekiranya bayi selalu kembung, boleh gunakan teknik urutan ‘I Love You’, iaitu dengan membuat gerakan seperti huruf ‘I’, ‘L’, dan ‘U’ seperti dalam rajah di bawah.

Cara urutan bayi
Foto Kredit: pinterest.com

5. Dada

Letakkan kedua belah tangan anda di atas kedudukan jantung bayi. Kemudian, usap ke luar dan leperkan tapak tangan anda pada dadanya. Ulangi beberapa kali.

Urut Baby
Foto Kredit: newbornbaby.com.au

6. Bahu Ke Tapak Tangan

Sekarang letakkan kembali kedua-dua tangan anda di atas dada bayi. Ambil salah satu tangannya dan urutkan bahagian dari bahu sehingga ke pergelangan tangan.

Seterusnya, buat gerakan bulatan kecil pada tapak setiap tangannya dengan ibu jari anda.Lakukan pada kedua-dua belah tangan.

Cara Urut Baby
Foto Kredit: dreamstime.com

7. Belakang

Seterusnya, tiarapkan bayi anda dan mula mengurut dari bahu dan turun ke bahagian tulang belakang hingga ke punggung.

Akhiri dengan membuat satu usapan memanjang dari bahu hingga ke hujung kaki. Gunakan sedikit tekanan dan ulangi usapan ini beberapa kali.

Cara Urut Bayi
Foto Kredit: parentlane.com

8. Tamatkan Sesi

Selepas selesai, pakaikan bayi dengan pakaian dan berilah pelukan kepadanya. Kemudian bolehlah menyusu dan mendodoikannya. Bayi akan rasa selesa dan mungkin terus tertidur selepas beberapa ketika.

Jika bayi meragam dan meronta semasa sedang diurut, tak perlu dipaksa. Tamatkan sesi dan cuba lagi pada lain waktu.

Urut Baby

Jadikan Sebahagian Rutin Tidur

Apabila bayi tahu dia akan diurut, secara automatiknya bayi juga tahu bahawa waktu tidurnya sudah hampir tiba.  Maka apabila urut bayi dilakukan dengan konsisten, secara tidak langsung ia juga akan memberi isyarat untuk bayi tidur dengan lebih mudah.

Selamat mencuba!

Apa yang orang lain cari?:

  • cara urutan bayi
  • Langkah mengurut perut bayi
  • urut bayi