7 Jenis Makanan Berangin Yang Perlu Dielakkan Oleh Ibu Menyusu

makanan berangin ibu menyusu

“Aduh, dari tadi baby asyik meragam je… Kembung perut ke? Apalah makanan berangin yang aku dah makan tadi agaknya.”

Bila dah jadi ibu menyusu, secara automatiknya kita akan jadi lebih peka terhadap apa yang dimakan setiap hari. Bukannya boleh ‘bedal’ semuanya walaupun dah habis berpantang. Takut kalau tersalah makan, kesannya akan terkena pada bayi yang disusukan pula.

Selain alahan, antara yang boleh merisaukan ibu-ibu adalah apabila anak diserang kembung perut. Salah satu punca utama adalah daripada makanan yang dimakan oleh ibu, terutamanya bagi bayi bawah 6 bulan yang masih belum apa-apa makanan tambahan selain susu ibu.

Oleh itu, adalah baik untuk ibu membuat senarai serta memberi perhatian kepada beberapa jenis makanan berangin seperti berikut.

7 Jenis Makanan Berangin Yang Perlu Dielakkan Oleh Ibu Menyusu

1. Susu / Produk Tenusu

Walaupun susu membekalkan pelbagai khasiat untuk ibu, namun sebenarnya susu adalah salah satu punca masalah kembung perut pada bayi. Laktos ialah gula semulajadi yang terdapat pada produk tenusu dan menghasilkan banyak ‘angin’.

Bukan sekadar susu saja, malah produk-produk tenusu seperti keju, yogurt, aiskrim, atau apa-apa olahan makanan yang bersusu juga boleh menyebabkan sesetengah bayi mencetuskan reaksi alahan atau ketidakselesaan selepas pengambilannya.

makanan berangin
Foto Kredit: agriculturewire.com

2. Buah-buahan Sitrus

Buah-buahan yang berfungsi sebagai sumber vitamin semulajadi adalah amat penting untuk tubuh. Selain mengekalkan kesihatan badan, ia juga melancarkan sistem penghadaman pada ibu serta bayi.

Oleh itu, jika anda mengalami masalah sembelit, makanlah buah-buahan sitrus seperti limau, oren, dan lemon. Manakala buah-buahan seperti aprikot, prune, pear, dan plum juga dapat membantu fungsi yang sama. Namun jika dimakan terlalu banyak, ia juga boleh menjadikan bayi anda mengalami sakit perut.

Foto Kredit: buzzle.com

3. Kobis

Perhatikan beberapa jenis sayuran hijau, terutamanya sayuran seperti kobis, brokoli, taugeh dan asparagus.

Menurut sesetengah sumber, ada bayi yang tidak serasi akan berasa ‘angin’ atau kembung selepas anda memakan sayuran jenis ini.

Foto Kredit: dreamstime.com

4. Coklat & Kafein

Malangnya, makanan kegemaran kebanyakan wanita iaitu coklat tergolong dalam kumpulan makanan yang boleh menjadi punca ‘angin’.

Ini kerana, coklat mengandungi kafein, seperti mana yang juga terdapat dalam teh dan kopi.

Foto Kredit: flickr.com

5. Minuman Berkarbonat

Seperti yang diketahui ramai, air berkarbonat sepatutnya tidak diambil secara berlebihan kerana kandungan gulanya yang tinggi.

Dikenali juga sebagai ‘air gas’, air ini mengandungi belon udara yang perlu dilepaskan oleh tubuh selepas meminumnya. Inilah yang menjadi punca ‘angin’ dalam perut bayi.

Foto Kredit: coach.nine.com.au

6. Kacang

Umumnya, tak ada masalah memakan kacang bagi ibu menyusu melainkan anda memang alah terhadapnya. Namun, kacang adalah salah satu bahan makanan yang sering menimbulkan reaksi alahan terhadap bayi.

Jadi jika ia kali pertama anda memakannya semasa menyusukan bayi, ambillah dalam kuantiti yang sederhana terlebih dahulu.

Foto Kredit: tribune.com.pk

7. Telur

Seperti kacang, telur adalah antara makanan yang menyebabkan alergi pada bayi. Ini adalah kerana kandungan sulfur yang terkandung di dalamnya akan membangkitkan rasa tidak selesa bagi sesetengah orang, terutamanya bayi.

Foto Kredit: bettycrocker.com

Jangan Terlalu Risau

Walaupun ada beberapa jenis makanan yang mungkin menyebabkan bayi anda berasa tidak selesa, ‘angin’ atau kembung perut, jangan jadikan ia penghalang untuk anda mengamalkan diet yang seimbang.

Jika anda merasakan bahawa sesetengah makanan menyebabkan bayi anda sensitif, cuba elakkan makanan tersebut selama seminggu dan lihat hasilnya. Setelah bayi sihat, cuba lagi makanan tersebut dalam kuantiti yang kecil. Dengan cara ini, lebih mudah untuk anda mengenalpasti apakah sebenarnya makanan yang tidak dapat diterima oleh bayi yang menyusu.

Apa yang orang lain cari?:

  • makanan berangin untuk ibu menyusu
  • makanan berangin
  • makanan yang menyebabkan bayi kembung perut
  • makanan pantang menyusu bayi
  • anak kembung kalau kita makan kubis
  • kangkung angin untuk bayi menyusu badan
  • kue tiow berangin ibu menyusu
  • makanan harus di elak ibu menyusu
  • makanan ibu yang menyebabkan bayi angin
  • makanan punca bayi kembung perut
  • makanan yang menyebabkan bayi kembung
  • makanan yang tidak boleh dimakan ketika menyusukan anak
  • makanan yang tidak boleh dimakan semasa myusukan anak
  • Makanan yg mnyebabkan kemb
  • makananan larangan ibu menyusu
  • susu sejuk boleh kembungkan perut bayi

7 Makanan Berpantang Terbaik Untuk Ibu Amalkan Selepas Bersalin

“Alahai bosannya asyik makan biskut kering dengan nasi lauk ikan bilis. Nak pesan suami beli di luar takut tak boleh makan pulak. Apa makanan berpantang yang boleh aku makan ni sebenarnya?”

Pantang-larang makanan selepas bersalin merupakan suatu kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia – tak kiralah yang Melayu, Cina, India, dan sebagainya. Pelbagai makanan dikaitkan dengan ‘panas’, ‘berangin’, ‘sejuk’, ‘tajam’ dan tak boleh dimakan semasa tempoh berpantang kerana dikhuatiri menjejaskan luka bersalin serta kesihatan dalaman.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam portal MyHealth menekankan bahawa setakat ini tiada bukti dari segi perubatan dan kajian saintifik bahawa makanan-makanan tertentu ini memberi kemudaratan kepada ibu lepas bersalin.

Kunci utama adalah memilih makanan yang sihat. Maka, ia bergantung kepada kepercayaan ibu itu sendiri sama ada untuk mengikut pantang-larang seperti yang telah diamalkan secara turun-temurun.

7 Makanan Berpantang Terbaik Untuk Ibu Amalkan Selepas Bersalin

Berikut adalah antara makanan berpantang yang baik untuk diamalkan oleh ibu-ibu selepas bersalin.

1. Beras Perang

Mungkin ramai ibu-ibu yang terfikir untuk diet dan kuruskan badan sebaik saja melahirkan bayi. Namun, anda perlu ingat bahawa tubuh anda sedang dalam proses pemulihan dan bayi yang menyusu badan juga memerlukan nutrisi yang berkualiti melalui pemakanan anda.

Menggantikan beras biasa dengan beras perang adalah antara cara yang tidak keterlaluan untuk anda berdiet serta mendapatkan kalori baik. Sumber bijirin berserat tinggi ini juga bagus untuk penghadaman dan mengelakkan sembelit selepas bersalin.

Foto Kredit: ansonmills.com

2. Roti Berserat Tinggi

Selain makan nasi untuk hidangan utama makanan berpantang, anda boleh mengamalkan pengambilan roti berserat tinggi untuk sarapan atau makan pagi.

Berbanding roti putih dan biskut kering, roti berserat tinggi mengandungi asid folik yang penting untuk kesihatan tubuh badan anda dan bayi.

Foto Kredit: tv3.ie

3. Ikan Tenggiri, Salmon & Tuna

Komponen protein dalam sajian seharian juga penting dalam memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari. Maklumlah, bukan mudah nak menjaga bayi dan menguruskan diri, tambahan pula jika kita berpantang sendiri.

Pengambilan ikan salmon contohnya, bukan saja berkhasiat tetapi turut terbukti dapat mengelakkan risiko kemurungan selepas bersalin (postpartum depression).

Selain itu, ikan tenggiri dan tuna juga antara pilihan yang bagus sebagai lauk dalam makanan berpantang kerana ia memperbaiki fungsi otak dan membina sistem saraf bayi.

Foto Kredit: whatskpcooking.com/

4. Buah-buahan

Buah-buahan dengan warna yang terang seperti anggur, betik, oren, pisang, dan sebagainya sangat berkhasiat untuk ibu berpantang.

Mungkin ada yang menganggap makanan berpantang sebegini tidak sesuai kerana ia bersifat ‘sejuk’. Namun, semua buah-buahan ini sebenarnya mengandungi serat yang dan sumber vitamin yang tinggi. Anda disarankan mengambil sekurang-kurangnya 2 hidangan buah-buahan setiap hari.

Foto Kredit: amazon.com

5. Sayuran Hijau

Seperti buah-buahan, sayuran hijau seperti sawi hijau, bayam, kucai, serta ulam-ulaman seperti pegaga, daun cekur dan ulam raja juga patut ditambahkan ke dalam menu harian anda.

Ia bukan saja tinggi antioksidan, vitamin, serta mineral, bahkan ia turut memiliki sumber kalsium yang penting untuk tubuh. Kalorinya pun rendah!

Foto Kredit: ynet.co.il

6. Kekacang / Kuaci

Kalau teringin nak makan snek, pilihlah daripada sumber yang sihat seperti kacang badam, walnut, kuaci, atau pistachio.

Semua jenis kekacang sihat seperti ini dapat membantu menstabilkan paras glukos dalam darah, menyeimbangkan tindak balas elektrolit dalam tubuh di samping meningkatkan kadar metabolisme serta fungsi tubuh dan otak.

Foto Kredit: lifeline.de

7. Buah-buahan Kering

Kurma adalah antara pilihan buah-buahan kering yang amat baik untuk ibu selepas bersalin. Khasiatnya yang begitu banyak tidak perlu diperkenalkan lagi.

Selain memberi tenaga, ia juga membantu merangsang penghasilan susu badan. Anda juga boleh memakan kismis, aprikot kering atau buah tin (figs) yang tak kurang khasiatnya.

Kedua-dua kekacang dan buah-buahan kering ini amat sesuai ditambahkan kepada bijirin atau oat yang dinikmati semasa sarapan pagi. Sedap!

makanan berpantang
Foto Kredit: velea4u.com

Banyakkan Minum Air Kosong

Akhir sekali, jangan pandang rendah pada kepentingan pengambilan air kosong setiap hari.

Minumlah air secukupnya kerana dehidrasi boleh menjadi salah satu punca utama kepada kehilangan tenaga. Ibu menyusu lebih lagi memerlukan banyak air untuk merangsang penghasilan susu badan secara produktif. Kekurangannya boleh menyebabkan gangguan pelbagai fungsi fisiologi tubuh

Apa yang orang lain cari?:

  • makanan berpantang
  • makanan orang pantang
  • makanan ibu berpantang
  • makanan orang berpantang
  • makanan semasa berpantang
  • makanan untuk orang berpantang
  • makanan ketika berpantang selepas bersalin
  • buah untuk ibu berpantang
  • makanan ibu bersalin
  • makanan berpantang bersalin
  • Makanan untuk ibu berpantang
  • makanan semasa pantang bersalin
  • sayur yang boleh dimakan dalam pantang
  • roti planta boleh kah dimakan oleh wanita dalam pantang bersalin
  • https://blog pantangplus com/makanan-berpantang-bersalin-normal-caesar/
  • sayuran bagus untuk ibu pantang
  • ikan sesuai untuk berpantang menurut kkm
  • ibu berpantang bolehkah makan pisang?
  • Bolehkah makan pisang semasa pantang
  • Bolehkah makan delima semasa pantanv bersalin

5 Aktiviti Yang Mesti Dielakkan Oleh Wanita Berpantang. Bahaya!

“Lepas bersalin nanti ingat nak duduk rumah sendiri je. Tapi kadang-kadang, rasa teragak-agak nak buat apa, nak makan apa. Yelah, selalunya Mak yang uruskan semua. Macam mana cara berpantang yang betul sebenarnya?”

Dalam kehidupan moden kini, lebih ramai wanita yang memilih untuk berpantang di rumah sendiri. Mungkin lebih mudah kerana masing-masing bekerja. Ibu ayah pula bukan sihat sangat, tak nak menyusahkan mereka pula. Suami pun boleh tolong uruskan kerja-kerja rumah yang tergendala, lebih-lebih lagi kalau ada anak kecil yang lain.

Namun orang muda mungkin dah ramai yang tak berapa faham tentang keperluan serta cara berpantang yang betul. Kami di PantangPlus.com ingin memberi sedikit panduan dan contoh aktiviti yang harus anda elakkan selepas bersalin.

5 Aktiviti Yang Mesti Dielakkan Oleh Wanita Berpantang. Bahaya!

Tempoh berpantang selepas bersalin adalah khas untuk merehatkan diri dan memulihkan kesihatan ibu yang telah bertarung nyawa melahirkan bayi.

Ketika ini, kebanyakan ibu juga biasanya masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan waktu tidur bayi serta proses penyusuan yang kerap.

Jadi, dalam 6 minggu pertama terutamanya, seeloknya, ibu mengandung cuba elakkan aktiviti berat seperti di bawah kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan keletihan melampau.

1. Mengangkat Barang Berat

Memang banyak baju bayi yang nak dicuci ketika dalam tempoh berpantang. Bayi memang kerap muntah, berak, dan kencing. Boleh jadi ia terkena pakaian, kain alas, bedung, atau cadar. Itu pun belum masuk pakaian sendiri yang tertumpah susu, terkena darah, dan sebagainya.

Seeloknya dapatkan suami untuk membantu anda. Tapi dalam kes tertentu mungkin anda juga perlu melakukannya sendiri. Jadi, elakkan mengangkat baldi yang berat, lebih-lebih lagi di bilik air. Keadaan lantai yang licin menjadikan kerja ini lebih membahayakan.

cara berpantang
Foto Kredit: momtricks.com

2. Naik Turun Tangga

Sekiranya anda tinggal di rumah 2 tingkat dan bilik anda berada di atas, seeloknya cuba uruskan agar semua barangan anda telah berada dekat dengan anda.

Elakkan aktiviti naik turun tangga yang terlalu kerap kerana ia boleh mengganggu jahitan atau luka bersalin. Berjalanlah dengan perlahan dan jaga langkah anda untuk mengelakkan daripada terjatuh.

Kalau nak mudah, sediakan satu ruang khas untuk anda dan bayi di tingkat bawah saja agar anda tak perlu naik ke atas dengan kerap.

cara berpantang
Foto Kredit: memd.me

3. Berenang

Bersenam adalah amat digalakkan selepas bersalin. Namun, ia bergantung kepada kesediaan tubuh anda untuk mula beraktiviti. Sebaiknya, dapatkan kepastian sama ada anda sudah boleh memulakan aktiviti senaman seperti berenang.

Andainya luka anda telah sembuh dan tiada masalah kesihatan lain, biasanya anda boleh mula berenang selepas minggu keenam. Jika tidak, anda boleh lakukan senaman ringan di rumah saja seperti senaman Kegel, berjalan, dan regangan supaya tubuh terasa lebih cergas.

Foto Kredit: stormfront.org

4. Memandu

Kalau boleh, elakkan memandu jarak jauh dalam tempoh berpantang kerana ia boleh meletihkan. Ini akan membahayakan nyawa anda dan pengguna jalanraya yang lain. Berhentilah apabila letih dan berehat di RnR apabila rasa tidak selesa.

Ada masanya ibu terpaksa memandu untuk melawat bayi yang ditahan di hospital. Dalam kes ini, anda boleh memandu sendiri, namun pastikan anda tetap berhati-hati dan memakai tali pinggang keledar dengan selesa.

Jika perlu membawa bayi bersama, gunakanlah ‘car seat’ dengan betul.

Foto Kredit: wheels.ca

5. Hubungan Seksual

Tubuh anda, terutamanya bahagian vagina dan rahim anda memerlukan masa untuk pulih daripada luka bersalin.Oleh sebab itu, doktor biasanya menyarankan anda untuk menunggu sekitar 4-6 minggu sebelum melakukan hubungan seksual dengan suami. Ini adalah penting bagi mengelakkan risiko jangkitan, pendarahan serius atau luka yang terbuka.

Suami haruslah memahami keadaan isteri dan pastikan mereka sudah bersedia sebelum kembali melakukan aktiviti seksual. Bincangkan posisi yang selesa dan tidak ‘menakutkan’. Kesefahaman amat penting kerana kehidupan seksual anda mungkin akan berubah selepas ini.

Foto Kredit: 123rf.com

Ketahui Limitasi Diri

Walau sekuat manapun, ibu perlu tahu bahawa kita tak perlu melakukan apa-apa di luar kemampuan masing-masing. Setiap orang mempunyai kondisi kesihatan yang berbeza serta kisah mereka yang tersendiri, jadi jangan cuba membandingkan diri anda dengan orang lain.

Jangan stres, berehatlah secukupnya. Cara berpantang yang betul tidak sama bagi semua wanita, sebaliknya ia bergantung kepada keadaan tubuh serta emosi anda. Anda tetap seorang ‘supermom’ walau apa pun yang orang kata tentang anda!

Apa yang orang lain cari?:

  • Cara berpantang
  • https://blog pantangplus com/cara-berpantang-normal-caesar-yang-betul/
  • Apa kesan onani ketika 4 minggu selepas bersalin
  • bersalin czer bila boleh naik turun tangga
  • cara berpantang tanpa jahitan
  • gambar org jatuh motor di hospital
  • jatuh tangga ketika pantang

Walau Banyak Manfaat, Ini 7 Kesilapan Mengurut Bayi Yang Tidak Disedari

“Kenapa Afifah ni merengek semacam je. Takkan tak suka diurut pulak? Atau aku yang salah teknik urutan bayi?”

Seperti yang kita sedia maklum, urutan bayi memberi berjuta manfaat kepada bayi sejak mereka baru lahir lagi. Namun, sesetengah ibu bapa berasa hairan kenapa bayi mereka langsung tak suka apabila diurut. Ada yang tak kenakah?

Mari kita lihat beberapa kesilapan mengurut bayi yang mungkin anda lakukan secara tidak sedar.

Walau Banyak Manfaat, Ini 7 Kesilapan Mengurut Bayi Yang Tidak Disedari

1. Mengurut Selepas Bayi Menyusu

Seeloknya tunggu sekitar 30-45 minit selepas menyusu untuk memulakan sesi urutan bayi. Tempoh mengurut yang terlalu dekat dengan waktu menyusu boleh menyebabkan ketidakhadaman atau muntah.

Foto Kredit: preciouslittlesleep.com

2. Masa Urutan Bayi Terlalu Lama

Ini adalah antara kesilapan yang paling selalu kita buat. Sebenarnya, tempoh mengurut selama 5 minit sudah mencukupi bagi bayi baru lahir.

Jika bayi memberi ‘eye contact’, merelakskan tubuh badannya, tersenyum dan membuat bunyi, ia menandakan bayi menyukainya dan bolehlah anda memanjangkan sedikit tempoh urutan bayi.

Foto Kredit: birthlight.com

3. Minyak Urut Yang Tidak Sesuai

Memang banyak produk yang mengeluarkan minyak bayi buat masa ini. Jadi, sebagai ibu bapa dan pengguna, kita haruslah bijak memilih jenis minyak urut yang baik untuk bayi.

Elakkan minyak yang terlalu wangi dan kuat baunya. Menurut pakar kulit, minyak yang paling baik untuk bayi adalah minyak khusus yang mengekalkan ciri semulajadi, kurang berbau, dan tidak merbahaya jika ditelan.

4. Sentuhan Yang Terlalu Lembut / Kuat

Urutan bayi tak semestinya terlalu lembut hingga tiada langsung tekanan pada sentuhan anda. Ada kajian menunjukkan bahawa sentuhan yang terlalu lembut boleh menyebabkan bayi berasa ‘geli’ dan tidak selesa.

Sebaliknya, sentuhan yang lebih tegar (tapi tidak terlalu kasar) akan membuatkan bayi berasa selamat dan nyaman. Lihat pada reaksi bayi semasa mengurutnya, biasanya kita boleh mengagak sama ada mereka serasi dengan tekanan yang dikenakan atau sebaliknya.

Foto Kredit: shutterstock.com

5. Memaksa Bayi Yang Terlalu Penat

Selalunya ibu bapa akan mengurut bayi ketika menghampiri waktu tidur. Tapi kadangkala, ini adalah masa yang paling sukar untuk bayi anda kerana mungkin dia sudah terlalu penat. Jadi, kalau bayi nampak tidak selesa, berhenti dulu dan tidak perlulah mengurut lagi.

Anda boleh cuba mengurut bayi selepas bayi mandi pada waktu pagi. Ketika itu, bayi lebih segar dan mahu diurut.

Foto Kredit: shutterstock.com

6. Bukan Ibu Ayah Yang Mengurut Bayi

Benar, urutan bayi memberi banyak manfaat dari segi kesihatan. Tapi jangan lupa bahawa ia mempunyai kelebihan luarbiasa dalam menjalinkan ikatan ibu bapa dan bayi. Ikatan ini mampu menyumbang kepada perkembangan sosial, emosional dan minda bayi.

Walaupun dah banyak servis dan spa yang menawarkan perkhidmatan mengurut bayi, seeloknya ia dilakukan sendiri oleh ibu bapa. Bahkan. sesetengah pakar berpendapat bahawa tindakan ini secara tidak langsung mengajar si kecil ‘terbiasa’ dengan sentuhan oleh orang luar.

Foto Kredit: bloomingbabiesyorkshire.co.uk

7. Mengurut Sambil Main ‘Handphone’

Gangguan seperti ini rasanya tak perlu diterangkan lagi dalam masyarakat moden. Dengan tidak memberi perhatian, urutan anda kurang berkesan dan boleh mengganggu proses bayi anda untuk fokus.

Idealnya, urutlah bayi anda di kawasan yang senyap supaya anda berdua dapat merasai pengalaman yang seronok dan relaks.

urutan bayi
Foto Kredit: fr.dreamstime.com

Jadikan Urutan Sebagai Rutin Harian

Supaya bayi lebih tenang untuk diurut, cuba lakukan urutan pada waktu yang sama dan di tempat yang sama setiap hari. Jadikan ia sebagai rutin. Ini akan membantu bayi ‘mengenal’ aktiviti yang bakal dijalankan sekaligus membuatnya lebih mudah bekerjasama dan bersedia untuk diurut.