5 Kebaikan Lulur Yang Menyegarkan. Boleh Buat Sendiri Di Rumah!

kebaikan lulur

“Tadi Mak pesan kalau mandi guna lulur. Macam mana nak guna ya? Apa kebaikan lulur ni sebenarnya?”

Lulur atau skrub adalah bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama kulit-kulit mati akan turut tertanggal. Dengan tertanggalnya kulit-kulit mati yang kusam, kita akan berasa lebih segar dan terlihat lebih cerah.

Lulur sebenarnya bukanlah terhad untuk wanita berpantang saja, tetapi boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Namun, ia cukup banyak manfaatnya bagi wanita bersalin.

Foto Kredit: vicare.vn

5 Kebaikan Lulur Bagi Wanita Bersalin

Berikut adalah kebaikan lulur untuk wanita selepas bersalin.

1. Memberi Kesegaran

Antara kebaikan lulur adalah membantu pori-pori kulit untuk mendapatkan rangsangan positif. Dengan ini, kulit dapat bernafas hingga ke lapisan kulit terdalam. Selepas bersalin, kita cenderung berasa letih, kusam, dan tidak selesa. Maka, melulur badan menjadikan badan terasa ringan dan lebih bertenaga.

Selain wanita bersalin, lulur juga sesuai bagi wanita yang lasak dan sering mengendalikan kerja di luar pejabat. Lakukan lulur beberapa kali dalam sebulan agar kulit terasa lebih segar dan bermaya.

2. Awet Muda

Seperti yang kita tahu, fungsi utama lulur adalah membantu pengelupasan kulit mati. Kulit baru yang lebih anjal dan sihat akan menjadikan penampilan kita tampak lebih awet muda.

Maka, tidak hairanlah lulur ini telah diamalkan oleh golongan atasan sejak berzaman lamanya. Jadi, teruskanlah amalan berlulur ini walaupun selepas tamat tempoh berpantang nanti.

3. Mencerahkan Kulit

Sesetengah wanita mengalami banyak masalah kulit seperti ketiak hitam akibat perubahan hormon. Seiring dengan proses terhasilnya sel kulit yang baru, daki-daki akan menghilang dan khasiat bahan lulur yang digunakan juga akan diserap oleh tubuh.

Secara tidak langsung, khasiat semulajadi daripada bahan-bahan tersebut membantu tubuh bertambah cerah dan mendapat tona yang sekata. Bahkan, tampak lebih berseri setiap hari.

Foto Kredit: huffingtonpost.in

 

4. Menjadikan Otot Badan Lebih Relaks

Kebaikan lulur yang seterusnya adalah terhadap psikologi – di mana aroma semulajadi yang digunakan mampu merangsang suasana yang tenang dan relaks.

Dalam tempoh berpantang, mandi lulur dapat bertindak sebagai urutan dan gosokan lembut pada tubuh yang akan membuatkan otot badan menjadi lebih relaks.

5. Kulit Lebih Gebu Dan Mulus

Akibat perubahan hormon, kulit wanita terasa kering, kasar dan kusam. Hal ini boleh berlarutan sehinggalah beberapa bulan selepas tempoh bersalin. Dengan mandi lulur, bahagian kulit yang tidak sihat boleh digantikan dengan kulit baru.

Selepas berpantang juga, amalan mandi lulur ini sebaiknya diteruskan. Apabila dimakan usia, kulit akan mula kendur dan berkedut. Penggunaan lulur secara rutin setiap dua kali seminggu dapat menghindarkan masalah ini.

Foto Kredit: gesundheitstrends.netdoktor.at

Cara Buat Lulur Sendiri Di Rumah

Terdapat banyak cara membuat lulur atau skrub sendiri di rumah. Antaranya:

i) Skrub Tradisional

Ramuan tradisional seperti beras ditumbuk bersama daun sirih, halba, akar wangi, jintan manis, cekur, kunyit kasturi, kunyit, halia, dan daun mengkudu. Tumbuk kesemua bahan sehingga halus dan menjadi serbuk. Paling sesuai untuk wanita berpantang.

ii) Skrub Kopi

Tumbukkan beberapa biji kopi sehingga halus. Skrub daripada biji kopi juga membantu menyingkirkan aroma kurang enak daripada tubuh selain memberi kesegaran luar dan dalaman. Skrub kopi lebih popular di negara Barat, mudah dibuat dan sesuai untuk kegunaan biasa.

iii) Skrub Buah-buahan

Skrub daripada buah-buahan yang dihancurkan atau dilenyek seperti betik, sengkuang, pisang, strawberry dan timun biasanya ditambahkan dengan sedikit gula. Gula ini akan bertindak membantu proses pengelupasan kulit dengan lebih berkesan.

Setelah menyediakan mana-mana jenis skrub di atas, tambahkan sedikit air pada bahan lulur ini dan sapu pada badan semasa mandi. Ia boleh disapu sebelum atau selepas mandi.

Foto Kredit: muslimah.co.id

Lakukan Ikut Selang Masa Yang Sesuai

Sebenarnya tubuh kita sudah punya mekanisme sendiri untuk mengganti kulit secara semulajadi. Penggunaan lulur inimembantu menjadikannya lebih efisyen jika dilakukan dengan betul.

Sungguhpun begitu, sebaiknya lakukan lulur ini dua kali seminggu saja supaya lapisan pelindung kulit  tidak turut sama mengelupas bersama pigmen kulit. Jika dilakukan setiap hari, kulit boleh terdedah kepada iritasi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkulit sensitif.

Apa yang orang lain cari?:

  • berlulur
  • lulur terbaik selepas bersalin
  • mandi lulur selepas bersalin

7 Sebab Kenapa Ramai Wanita Memilih Set Bersalin Tanamera

set berpantang tanamera

“Banyaknya jenama set bersalin yang dijual sekarang ni. Rambang mata aku nak pilih. Yang mana paling bagus dan sesuai untuk aku ya?”

Bagi PantangPlus, penjagaan semasa berpantang adalah amat penting untuk mengembalikan kecergasan dan kesihatan wanita dalam tempoh terdekat dan buat jangka masa panjang.

Selepas survey demi survey, anda pasti akan mendapati ramai wanita yang menyenaraikan Set Bersalin Tanamera dalam pilihan wishlist mereka. Selain dikenali ramai, ianya mempunyai banyak keistimewaan yang menyerlah berbanding jenama lain. Maka, tidak hairanlah selebriti terkenal seperti Serina Redzuawan dan Dynas Mokhtar turut menjadi pengguna setia set bersalin ini.

Produk Yang Terdapat Set Bersalin Tanamera

Pertama sekali, elok diberi sedikit pengenalan untuk Set Bersalin Tanamera. Set ini mengandungi 10 produk penjagaan yang boleh digunakan sejak mengandung lagi supaya mudah bersalin tanpa koyakan faraj. Seterusnya, ia boleh digunakan semasa berpantang untuk pulih sepenuhnya dengan segera.

10 produk yang terdapat dalam Set Bersalin Tanamera termasuklah:

  • Minyak Kelapa Dara
  • Sabun Mandi Herba
  • Minyak Urut Herba
  • Herba Pembersih Wanita
  • Mandian Herba
  • Tapel
  • Pilis
  • Bengkung
  • Teh Herba
  • Lulur Badan Herba
Foto Kredit: tanamera.com.my

7 Keistimewaan Set Bersalin Tanamera

Berikut adalah antara keistimewaan Set Bersalin Tanamera yang menjadikannya antara produk paling dipercayai di Malaysia.

1. Menggunakan 100% Bahan Semulajadi

Salah satu daripada faktor yang paling menarik perhatian adalah kerana ramuannya yang terdiri daripada 100% bahan semulajadi, iaitu dengan penggunaan herba tropika dan pati minyak. Ia sama sekali tidak mengandungi pewarna tiruan, pewangi, pengawet, mahupun bahan kimia toksik.

Di samping itu, Set Bersalin Tanamera juga tidak menawarkan ‘jamu’ yang dikhuatiri boleh menjejaskan penyusuan atau menyebabkan bahaya kepada bayi (seperti jaundis) yang sering dikaitkan dengan pengambilannya.

Selain bahan-bahan herba, Bengkung Tanamera juga diperbuat daripada 100% kain kapas yang sejuk, selesa, selamat, dan lebih berkesan untuk merampingkan tubuh.

Foto Kredit: sevlievo.com

2. Cara Penggunaan Yang Moden & Praktikal

Berdasarkan rawatan tradisional orang Melayu, Cina dan Ayurveda, bahan-bahannya bersifat universal dan tidak terhad untuk sesetengah kaum saja, bahkah sesuai untuk semua rakyat Malaysia.

Sekalipun ramuannya dirumus secara tradisional, tapi ia dipakejkan dalam bentuk yang moden, praktikal dan begitu mudah digunakan walaupun seseorang berpantang sendiri di rumah. Semua 10 produk yang disertakan dalam set bersalin boleh dikendalikan sendiri oleh ibu semasa berpantang tanpa melibatkan proses yang sukar seperti menumbuk, memasak, dan sebagainya.

Foto Kredit: Tanamera Postnatal Care Set

3. Boleh Digunakan Sejak Hamil Lagi

Memang jimat dan berbaloi, anda boleh menggunakan beberapa produk seperti Minyak Urut Herba dan Minyak Kelapa Dara semasa mengandung lagi.

Urutan dengan Minyak Urut Herba akan menenangkan dan melegakan tekanan atau sakit sendi yang dialami semasa mengandung. Uniknya, Minyak Urut Herba ini tidak terlalu panas kerana ramuan yang digunakan adalah daripada ekstrak tumbuhan semulajadi.

Sementara itu, Minyak Kelapa Dara boleh dimakan atau digunakan untuk urutan perineum bagi memudahkan regangan faraj semasa bersalin, sekaligus meminimakan koyakan.

set berpantang tanamera
Foto Kredit: Tanamera Postnatal Care Set

4. Selamat Untuk Bayi

Sekalipun Set Bersalin Tanamera mementingkan unsur-unsur semulajadi dan tradisional, ianya mempunyai sedikit perbezaan dengan jamu-jamu tradisonal.

Set Bersalin Tanamera semuanya berbau harum dan tidak meloyakan. Wangian ini bukanlah daripada aroma pewangi kimia, tetapi semuanya adalah daripada bahan semulajadi.

Bagi yang susah ‘menelan’ jamu, jangan risau kerana hanya 1 produk saja yang perlu diminum, iaitu teh herba.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: inewsgr.com

5. Mesra Untuk Ibu Menyusu

Hampir kesemua 10 produk dalam Set Bersalin Tanamera adalah untuk penggunaan luaran kecuali Teh Herba dan Minyak Kelapa Dara (kegunaan luaran dan dalaman).

Berbanding jamu, Teh Herba ini selamat untuk ibu menyusu kerana ia dirumus khas untuk menggalakkan aliran susu ibu. Tambahan pula, ia mempunyai kesan aromaterapi untuk menenangkan ibu-ibu.

Jadi, anda tak perlu risau akan kesan sampingannya terhadap ibu menyusu mahupun bayi.

Foto Kredit: Tanamera Postnatal Care Set

6. Juga Sesuai Untuk Ibu Yang Bersalin Pembedahan

Sekiranya anda bakal melahirkan bayi secara pembedahan Caesarean, usah khuatir kerana set bersalin ini bukanlah hanya untuk mereka yang bersalin normal saja. Cuma, anda dinasihatkan untuk melewatkan sedikit penggunaannya – terutamanya dalam penggunaan bengkung dan bertungku.

Maka, pastikan anda hanya menggunakan bengkung apabila jahitan kering. Bertungku pula tidak boleh dilakukan di kawasan abdomen dan hanya dibenarkan pada kawasan paha, pergelangan kaki dan belakang.

Selain itu, bahan lain boleh digunakan seperti biasa mengikut arahan pada produk.

Foto Kredit: tanamera.com.my

7. Boleh Digunakan Tanpa Ragu-ragu

Paling penting, Set Bersalin Tanamera telah disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta turut mempunyai sijil Halal oleh JAKIM.

Jadi, Apa Pilihan Anda?

Ramai yang mempercayai keberkesanan Set Bersalin Tanamera selepas menggunakannya. Selain dijual dalam bentuk set, ia juga boleh dibeli dalam loose item. Manalah tahu ada yang nak cuba 1-2 item terlebih dahulu.

Berbaloi, bukan?

 

Di Mana Boleh Beli Set Bersalin Tanamera?

Tak banyak tempat yang jual secara ‘walk-in‘. Kebanyakannya, ramai yang beli secara online.

Untuk pengetahuan, PantangPlus.com ialah salah satu Master Reseller untuk Set Bersalin Tanamera. Boleh terus beli dengan kami di sini.

*Harga pasaran Set Bersalin Tanamera adalah RM390 untuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, termasuk harga pos. 

Apa yang orang lain cari?:

  • set bersalin tanamera
  • amazon

7 Kesan Urutan Yang Luarbiasa Kepada Bayi Anda

Rutin mengurut si kecil sudah menjadi amalan turun-termurun dan merupakan antara keperluan dalam penjagaan bayi. Bayi yang belum boleh bercakap meneroka sekelilingnya dengan sentuhan. Oleh itu, urutan boleh menjadi cara komunikasi awal antara ibu bapa dan bayi untuk membina hubungan.

Terdapat pelbagai kebaikan mengurut bayi yang memberi manfaat pada bayi dan ibu bapa. Rutin ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara ibu dan anak malah memberi banyak kelebihan pada sudut kesihatan fizikal dan mental si bayi.

Ini 7 Kebaikan Mengurut Bayi Yang Patut Anda Amalkan

1. Menenangkan Bayi

Umumnya, bayi yang menangis akan terus diam apabila didukung kerana mereka mahukan sentuhan ibu. Bayangkan sahaja apa urutan seluruh badan dapat lakukan pada emosi bayi. Kajian membuktikan apabila mengurut bayi, kita dapat memberi kesan positif pada sistem saraf utamanya.

Apabila bayi diurut, hormon penenang iaitu serotonin dirembeskan dan hormon stres, iaitu kortisol disekat. Hasilnya degupan jantung anak lebih perlahan dan teratur, akan berasa lebih damai dan kurang merengek.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: pinsdaddy.com

2. Menetapkan Corak Tidur

Bayi baru lahir terutamanya menghadapi sedikit kesukaran untuk tidur pada waktu yang tetap. Dengan urutan sebelum tidur, ototnya menjadi lebih tenang, degupan lebih teratur dan hasilnya anak lebih mudah untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Ini kerana hormon melatonin lebih banyak dihasilkan bagi membantu anak tidur dengan lebih mudah.

Melalui tidur yang berkualiti, bayi akan bangun dengan lebih bertenaga, aktif dan ceria.

kelebihan mengurut bayi
Foto Kredit: inewsgr.com

3. Mengawal Emosi Bayi

Menjaga bayi baru lahir terutamanya bukanlah perkara yang mudah. Tetapi dengan selalu meluangkan masa dengan mengurutnya, ibu akan mendapat satu medium untuk mendapat tahu keperluan khususnya.

Seperti menyusu badan, mengurut adalah teknik yang sangat berkesan dalam membentuk emosi anak secara sihat dan mengeratkan hubungan. Rutin ini dapat mengajar ibu bapa untuk mengenal pasti emosi anak dan menanganinya dengan lebih cekap.

Foto Kredit: parentinghub.co.za

4. Faedah Kesihatan

Mengurut bukan sahaja dapat menenangkan bayi, malah memberi kesan baik pada kesihatannya. Mengurut dapat melancarkan peredaran darah serta penghadaman bayi.

Selain itu, urutan juga dapat memperbaik sistem pernafasan bayi serta sistem imun dalam badannya.

Foto Kredit: wyomingmedicalcenter.org

5. Menggalakkan ‘Bonding’

Ibu bapa baru mungkin agak kekok dan tidak tahu dari mana untuk merapatkan hubungan dengan bayi. Jika ibu dapat ‘bonding’ dengan anak melalui proses menyusu badan, bapa dapat ‘bonding’ dengan kaedah mengurut.

Bayi juga dapat mengenal kita dengan lebih rapat melalui suara, pandangan mata beserta sentuhan lembut yang diberikan selalu. Secara tidak langsung, kebaikan mengurut bayi juga dapat mengurangkan tekanan perasaan atau ‘postnatal depression’.

Foto Kredit: netmums.com

6. Pertambahan Berat Badan Bayi Yang Positif

Menurut sumber, rutin mengurut bayi dapat mengatur penambahan berat badan bayi secara sihat dan semulajadi. Jika bayi diurut dengan minyak, ini dapat merangsang saraf utama iaitu saraf vagus.

Saraf ini berhubung dengan organ-organ penting dalam badan termasuk perut. Oleh itu, urutan dapat merangsang saraf ini dan melancarkan penghadaman dan usus perut. Dengan ini, berat badan bayi dapat diuruskan dengan lebih baik.

Foto Kredit: vicare.vn

7. Membantu Tumbesaran Bayi Pramatang

Agak sukar untuk mengangkat dan mendukung bayi pramatang. Namun begitu, bayi pramatang masih boleh bertindak balas dengan sentuhan dan urutan.

Menurut kajian, bayi pramatang yang kerap diurut menunjukkan perkembangan positif dari sudut mentalnya. Selain itu bayi ini juga lebih cepat pulih dan sihat berbanding bayi pramatang yang tidak diurut.

kebaikan mengurut bayi
Foto Kredit: jjsjustice.com

Guna Teknik Urutan Yang Paling Berkesan

Waktu paling baik untuk mengurut bayi adalah selepas mandi dan sebelum mandi kerana emosi bayi agak stabil ketika waktu tersebut. Pastikan juga persekitaran tenang dan kondusif untuk memulakan urutan di mana bayi berada dalam keadaan paling selesa.

Dalam artikel seterusnya, PantangPlus.com akan berkongsikan teknik urutan yang berkesan agar kebaikan mengurut bayi ini dapat dimaksimakan manfaatnya.

Apa yang orang lain cari?:

  • faedah mengurut bayi

7 Tips Atasi Masalah Susu Badan Yang Semakin Berkurang

“Risaunya tengok anak merengek ni. Dahlah susu badan makin kering. Kenapa jadi macam ni? Bagaimana cara banyakkan susu badan dengan cepat?”

Menyusu badan bukanlah perkara yang mudah. Walaupun ada ibu yang pernah menyusukan bayi pertama sebelum ini, kadangkala mereka tetap mengalami masalah kurang susu badan atas faktor-faktor tertentu.

Oleh itu, kami di PantangPlus ingin berkongsikan 7 tips untuk anda tambah susu badan dengan berkesan melalui kaedah semulajadi.

7 Cara Banyakkan Susu Badan Yang Semakin Berkurang

Berikut adalah beberapa cara untuk anda banyakkan susu badan tanpa pengambilan suplemen atau ubat-ubatan.

1. Kenalpasti Stres

Pertamanya, penting untuk anda mengenalpasti stres. Selepas bersalin, seorang wanita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian untuk memulihkan kesihatan diri dan pada masa yang sama menguruskan bayi serta ada pula yang dah mula membuat kerja rumah.

Jelas sekali, stres adalah antara perkara yang dapat menjadi punca susu badan anda berkurang. Oleh itu, cuba dapatkan sokongan dan bantuan daripada pasangan, saudara-mara, atau pembantu. Ingatlah anda tidak perlu melakukan semuanya dengan sempurna walaupun kini anda sudah bergelar ibu.

Foto Kredit: netmums.com

2. Kerapkan Menyusu

Semakin kerap anda menyusu, otak akan mendapat isyarat untuk menghasilkan lebih banyak susu untuk bayi. Maka, apabila payudara kerap dikosongkan, lebih banyak susu akan terhasil.

Jadi, jangan biarkan payudara anda terlalu penuh sehingga bengkak kerana ia boleh menyakitkan. Malah, pembengkakan juga boleh menyebabkan demam atau mastitis yang memerlukan pembedahan.

Foto Kredit: rifara.com

3. Kosongkan Payudara Dengan Pam / Perahan Tangan

Sekiranya anda sudah kembali bekerja dan tidak dapat menyusukan bayi dengan kerap, jangan lupa bahawa ada alternatifnya untuk anda mengosongkan payudara dengan menggunakan pam atau perahan tangan.

Cara banyakkan susu badan adalah dengan mengepam setiap 2-3 jam sekali, terutamanya semasa bayi tiada bersama anda. Kalau terlalu sibuk di tempat kerja, tak perlu mengepam dengan lama. Ambil masa 5 minit untuk mengepam pun boleh, asalkan konsisten. Dengan cara ini, stok susu badan akan sentiasa ‘maintain’.

Foto Kredit: mom365.com

4. Minum Banyak Air

Seterusnya, cara banyakkan susu badan adalah dengan memastikan kadar hidrasi anda berada pada tahap optimum. Minumlah air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Lebih bagus lagi, biasakan meminum segelas air kosong sebelum dan selepas menyusukan bayi.

Elakkan pengambilan minuman berkafein atau soda yang berlebihan. Menurut kajian, sesetengah minuman seperti ini mampu memberi kesan kepada susu badan anda.

Foto Kredit: authorityngr.com

5. Semak Pengambilan Ubat

Ada ketika, anda mungkin tidak menyedari bahawa pengambilan sesetengah jenis ubat mahupun suplemen memberi kesan kepada susu badan anda. Jadi, cuba semak semula.

Antara ubat-ubatan yang boleh menjejaskan penghasilan susu badan adalah pil perancang ataupun kaedah perancang yang lain. Walaupun rakan-rakan anda yang memakainya tidak mengalami kesan sampingan, sebenarnya setiap tubuh boleh memberi respon yang berbeza.

Foto Kredit: affinitymagazine.com

6. Urutan

Sekiranya payudara anda terasa bengkak dan susu tidak mahu keluar, cuba lakukan sedikit urutan dan tuamkan dengan kain sejuk atau panas – mengikut keselesaan anda.

Di samping itu, satu lagi tempat yang bagus untuk diurut adalah pada bahagian belakang. Cara ini dipercayai dapat mempertingkatkan penghasilan hormon oksitoksin dan sekaligus memberi let down reflex kepada ibu.

cara banyakkan susu badan
Foto Kredit: hacerfamilia.com

7. Pemakanan Berkhasiat

Selain teknik di atas, jangan lupa satu cara paling penting untuk cara banyakkan susu badan iaitu melalui pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Pastikan anda tidak terlalu berdiet sehingga mengabaikan pengambilan kumpulan makanan tertentu yang diperlukan oleh tubuh.

Selain itu, terdapat pelbagai makanan semulajadi yang terkenal sebagai penggalak susu / milk booster. Antaranya ialah:

  • Kurma
  • Halba
  • Buah longan kering
  • Oat
  • Lobak putih
  • Sayuran hijau
cara banyakkan susu
Foto Kredit: stylecraze.com

Sentiasalah Berfikiran Positif

Akhir sekali, rehatkan minda dan relaks.

Fikiran positif amat perlu untuk mendapatkan mood dan kesihatan yang baik bagi membolehkan tubuh anda memproduksikan susu badan.

Mudah-mudahan, anda pasti akan dapat melakukannya!

Apa yang orang lain cari?:

  • susu badan kering
  • Cara tang beleh keluar air susu
  • Sebab Susu ibu kering
  • susu badan kering selepas pantang

5 Jenis Rawatan Kesuburan Di Malaysia Untuk Bantu Anda Cepat Hamil

rawatan kesuburan

“Dah macam-macam petua dan tips aku cuba. Nampaknya masih belum ada rezeki nak dapat zuriat. Patutkah aku buat rawatan kesuburan di klinik? Bagaimana prosedurnya ya?”

Pasangan yang sudah berumah tangga pasti menanti-nantikan kedatangan ahli baru dalam keluarga kecil yang baru dibina. Pelbagai cara telah dilakukan untuk mencapai hajat tersebut. Gaya hidup telah diubah kepada lebih sihat. Kaedah tradisional juga telah dicuba namun masih belum membuahkan hasil.

Syukurlah pada zaman teknologi perubatan yang semakin maju, pelbagai alternatif rawatan kesuburan dapat dicuba untuk membantu proses kehamilan.

5 Jenis Rawatan Kesuburan Di Malaysia

Rawatan kesuburan di Malaysia boleh dilakukan di Klinik LPPKN (Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara), sesetengah klinik kerajaan atau klinik / hospital swasta yang khusus.

Rawatannya adalah berperingkat dan bergantung kepada masalah yang dihadapi oleh pasangan tersebut. Namun, lazimnya ia merangkumi 5 jenis ini:

1. Ubat Hormon

Ubat ini popular dengan nama komersialnya, Clomid. Ubat ini membantu wanita membebaskan telur pada peringkat ovulasi di kitaran haid secara berkesan dengan peningkatan pada rembesan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan LH (luteinizing hormone). Biasanya doktor akan mengsyorkan ubat ini sekiranya wanita tersebut mempunyai kitaran haid yang tidak normal dan pada pasangan yang mempunyai kesuburan normal tetapi si isteri masih belum berjaya untuk hamil.

Dalam kaedah ini, doktor akan mengesyorkan agar mengambil ubat pada hari ketiga haid untuk lima hari. Ovulasi akan berlaku selepas 7 hingga 8 hari rawatan Clomid. Doktor kemudiannya akan mengesahkan waktu ovulasi serta waktu terbaik untuk melakukan hubungan seksual.Waktu ovulasi dapat disahkan dengan beberapa ujian seperti ujian darah, ujian suhu badan basal serta ultrasound.

Sepanjang pengambilan ubat, pesakit akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti kembung perut, dan tidak selesa semasa melakukan hubungan intim.

Foto Kredit: diaperchamp.com

2. Suntikan Hormon

Suntikan ini adalah dos Human Chorionic Gonadotropin (HCG) yang membantu pembentukan telur yang sihat dalam rahim wanita serta membantu pembebasan telur semasa peringkat ovulasi. Kaedah ini adalah alternatif perubatan lain sekiranya ubat clomiphene tidak berkesan bagi tubuh.

Selain pada wanita, ubat ini juga berkesan meningkatkan jumlah sperma pada lelaki. Suntikan ini juga meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat kembar dua atau tiga. Kaedah ini terbukti membantu peningkatan kebarangkalian untuk mengandung sebanyak 15% dalam satu kitaran ovari.

Suntikan ini memberi kesan sampingan minimum pada badan seperti kemerahan pada bahagian suntikan serta bengkak pada bahagian dada. Sesetengah wanita yang mengamalkan kaedah ini juga mengalami ‘ovarian hyperstimulation syndrome’ (OHSS) terutamanya pada kitaran pertama penggunaan ubat ini. Jika simptom semakin serius seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit, dapatkan nasihat doktor segera.

Apapun, anda tidak perlu risau kerana doktor mengesahkan bahawa kaedah ini tidak akan membuatkan si pengguna berisiko terkena kanser ovari.

Foto Kredit: menshormonalhealth.com

3. Kaedah IUI

Teknik IUI atau Intra Uterine Insemination ini dilakukan dengan memindahkan sperma lelaki yang bergerak pantas terus ke dalam rahim wanita melalui satu tiub halus sewaktu ovulasi hampir berlaku.

Doktor akan mengesyorkan kaedah ini sekiranya wanita itu mempunyai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan dan ovulasi yang normal. Prosedur ini juga dilakukan sekiranya lelaki mempunyai masalah mati pucuk atau ejakulasi pra-matang atau sperma yang tidak terlalu bermasalah.

Dalam kaedah ini, si isteri diberi preskrispsi ubat kesuburan untuk beberapa hari sebelum prosedur dilakukan. Suami pula perlu menyediakan sampel sperma semasa hari prosedur. Sperma yang sihat akan dipilih dan dipindahkan terus ke dalam rahim melalui tiub kecil. Kaedah ini dilihat mempunyai peratusan keberkesanan yang lebih tinggi pada pasangan yang lebih muda.

rawatan kesuburan
Foto Kredit: fertilityproregistry.com

4. Teknik IVF

Persenyawaan in-vitro (IVF) dilakukan dengan cara mensenyawakan sampel sperma dan telur di dalam makmal. Kemudian embrio yang terhasil akan dipindahkan dalam rahim wanita.doktor akan mencadangkan kaedah ini sekiranya:

  • Isteri mempunyai masalah pada tiub fallopian atau kitaran ovulasi
  • Suami mempunyai masalah kekurangan sperma atau sperma yang tidak subur

Isteri akan diminta doktor supaya mengambil ubat kesuburan untuk mendapatkan beberapa telur. Kemudian, doktor akan memilih telur yang sihat untuk menjadi sampel melalui teknik ultrasound dan pembedahan kecil.

Si suami pula perlu menyediakan sampel sperma. Dalam peringkat ‘insemination’, telur dan sperma pasangan akan digabungkan dan disimpan di makmal untuk pemerhatian. Jika berjaya, gabungan tersebut akan bertukar menjadi embrio dan akan dipindahkan di dalam rahim isteri.

rawatan kesuburan
Foto Kredit: sunfert.com

5. Pembedahan

Selain kadar rembesan hormon dan waktu ovulasi yang tidak tetap, tiub fallopian yang tersumbat atau ketumbuhan tidak normal dalam rahim turut menjadi punca ketidaksuburan pada wanita. Rawatan kesuburan kaedah pembedahan major iaitu laparotomy atau pembedahan kecil seperti endoscopy boleh mengatasi masalah ini.

Dalam prosedur laparotomy, doktor akan membuat pembukaan pada bawah abdomen bagi melihat keadaan pelvis secara menyeluruh. Prosedur endoscopy pula dilakukan dengan kaedah laporoscopy iaitu dengan memasukkan teleskop kecil melalui dinding abdomen dan hysteroscopy iaitu dengan cara memasukkan teleskop kecil melalui serviks. Kaedah pembedahan ini dapat merawat masalah kesuburan seperti endometrosis, pembentukan cyst serta tiub fallopian tersumbat.

rawatan kesuburan
Foto Kredit: shutterstock.com

Jalani Diagnosis Yang Terperinci

Saranan daripada doktor amat penting untuk memilih prosedur terbaik untuk rawatan kesuburan. Semua prosedur diatas perlu memiliki beberapa kriteria bagi mencapai peratusan kehamilan yang lebih tinggi. Ia juga mungkin perlu dilakukan beberapa kali sebelum berjaya hamil.

Dengan informasi ini, warga PantangPlus sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anda. Jika anda dan pasangan mahu merancang untuk membina keluarga, buatlah temujanji dengan doktor supaya puncanya dapat ditemui, dan diagnos yang terperinci dan tepat dapat diberikan.

Apa yang orang lain cari?:

  • ubat subur untuk hamil
  • ubat subur
  • clomid untuk wanita
  • pil hormon di watson
  • rawatan untuk tiub tersumbat dan kos
  • pil subur untuk hamil
  • waktu sesuai untuk membuat ujian kesuburan di klinik
  • ubat subur c
  • Ubat kesuburan jual di watson
  • suntikan hormon tuk hamil
  • senarai ubat untuk mengandung
  • rawatan untuk telor pra matang mengandung
  • pusat rawatan wanita kerajaan
  • buat ujian kesuburan di lppkn skudai
  • Pil subur clomifene
  • Macam manakah ubat untuk mengandong
  • macam mana nak check kesuburan
  • lppkn untuk IVF di penang
  • kaedah bantuan mengandung
  • jenama pil hormon