“Aku Ambil Epidural Bersalin Normal, Tak Sakit Langsung!”

“Mula-mula aku takut nak ambil epidural. Dahlah harga mahal, entah-entah tipu je, rupanya sakit jugak. Tapi dah alang-alang bersalin kat hospital swasta ni, aku ambil je epidural. Husband pun kata kesian tengok aku, dengan muka menahan sakit – Zakiah (bukan nama sebenar)”

“Fobianya aku bersalin anak pertama dulu. Sakitnya macam masih boleh terasa lagi sampai hari ini. Kawan aku kata, kalau guna epidural semasa bersalin boleh kurangkan rasa sakit. Betulkah? Teringin nak cuba, tapi bila tengok jarumnya – bukan main besar, rasa tak berani pula! – Yati (bukan nama sebenar)”

Bagi kebanyakan ibu hamil, ramai yang masih ragu-ragu menggunakan epidural bersalin normal atas 3 sebab:

i) Pertamanya mereka takut berlakunya komplikasi terhadap diri sendiri atau bayi.

ii) Kedua, ada yang bimbang tentang ‘side effect’ jangka masa panjang yang digembar-gemburkan seperti sakit belakang, sakit bekas cucuk, dan sebagainya.

iii) Ketiga, sebab dengar orang kata, kalau ambil epidural, sakitnya sama sahaja. Ambil epidural atau tidak, tidak ada beza!

Di sini, PantangPlus.com ingin merungkaikan segala mitos dan 5 perkara yang patut ibu hamil tahu tentang epidural semasa bersalin.

Adakah epidural terlalu banyak keburukan, sehingga tiada kebaikan langsung? Ikuti kupasan kami.

5 Perkara Perlu Tahu Tentang Epidural Bersalin Normal

Penggunaan epidural semasa bersalin bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah diperkenalkan di Malaysia sejak sekian lama serta turut digunakan oleh selebriti terkenal seperti Rozita Che Wan dan Scha Al Yahya.

Berikut adalah 5 perkara yang perlu anda tahu tentang epidural semasa bersalin.

1. Epidural Dapat Melegakan Sakit Bersalin

Bagaimanakah cara epidural berfungsi? Menurut Dr Krishna H Kumar melalui Positive Parenting, anestesia epidural adalah satu cara untuk memberi anestesia (bius) dengan menyuntiknya ke dalam ruang epidural tulang belakang.

Melalui suntikan ini, ia menghalang isyarat rasa sakit daripada sampai ke otak dan sekaligus melegakan kesakitan yang biasa digunakan oleh wanita ketika melahirkan bayi. Harus diingat di sini, ia bukan 100% dapat menghilangkan rasa sakit bersalin.

Suntikan epidural ini dilakukan oleh seorang pakar bius.

2. Benarkah Epidural Menggunakan Jarum Besar?

Sakit tak kalau guna epidural?

Menurut Dr Hana Nadzrami, seorang Pakar Anestesiologi & Rawatan Rapi, jarum yang digunakan memanglah besar, iaitu sepanjang 8cm. Walaubagaimanapun, ia bukanlah akan dibenamkan selama-lamanya dalam tulang belakang pesakit.

Sebaliknya, jarum ini hanya digunakan untuk mengesan ruang epidural supaya tiub halus yang disambungkan kepada ubat bius setempat (local anaesthetic) boleh diletakkan. Maka, apabila dah jumpa ruang epidural maka jarum besar itu pun akan dibuang.

Menurut beliau lagi, proses meletakkan tiub epidural selalunya mudah saja. Namun bagi pesakit tertentu seperti yang mengalami obesiti, abnormaliti, atau yang bertulang belakang kurang fleksibel, proses ini boleh menjadi sukar dan memerlukan beberapa kali cubaan.

3. Kesan Sampingan Epidural

Telah banyak menular mitos yang tidak benar tentang epidural semasa bersalin. Katanya, ada yang tidak berani ambil epidural kerana takut ‘side-effects‘ pada hari mendatang. Antara dakwaan yang paling popular adalah ia menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan. Juga ada yang sakit pinggang.

Sebenarnya, perkara ini adalah tidak benar kerana sekiranya seseorang bersalin normal tanpa epidural pun, sakit belakang tetap wujud disebabkan faktor berat badan, regangan pada kulit dan otot, serta postur ketika mengandung.

Kajian telah membuktikan bahawa epidural selamat digunakan dan sama sekali tidak menyebabkan masalah atau penyakit pada organ seseorang dalam jangka masa panjang.

Kalau ada pun kesan sampingan yang biasa dialami hanyalah ketidakselesaan akibat kekebasan pada bahagian bawah badan. Dalam sesetengah kes, ia menyebabkan tekanan darah rendah (hipotensi) dan kesukaran membuang air kecil sendiri (mungkin memerlukan tiub kencing). Namun, semua ini adalah sementara sahaja.

4. Kelebihan Epidural Semasa Bersalin

Suntikan epidural ini mempunyai kelebihan tersendiri seperti membantu mengawal rasa sakit pada fasa pertama dan kedua kelahiran tanpa memberi kesan mengantuk pada ibu. Malah, epidural adalah ubat tahan sakit paling selamat dan sangat berguna sekiranya ibu mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Menurut sumber, ia juga menyebabkan salur darah mengembang, melancarkan peredaran darah kepada bayi dan secara tidak langsung mengurangkan risiko bayi lemas.

Satu lagi mitos yang diwar-warkan adalah epidural boleh memperlahankan kelahiran dan anda tidak tahu bila untuk meneran. Jelas Dr Krishna, ibu tidak perlu risau kerana anda akan dipantau oleh doktor dan jururawat yang akan memberitahu anda waktu yang sesuai untuk meneran.

5. Harga Suntikan Epidural Di Malaysia

Menurut survey, harga epidural semasa bersalin bagi hospital kerajaan adalah sekitar RM100 bagi hospital kerajaan dan RM500-RM1,000 bagi hospital swasta. Namun, harga epidural itu mungkin tidak sama bagi setiap hospital.

Jika anda berhasrat untuk mencuba kaedah ini, berbincanglah dengan doktor seawal mungkin supaya mereka boleh memeriksa keadaan kesihatan anda serta membuat persediaan sebaiknya apabila tiba hari bersalin nanti.

Dalam kes terpencil seperti wanita yang mengalami masalah darah beku atau alah terhadap anestesia, penggunaan epidural semasa bersalin perlu dielakkan.

Jangan Terlalu Cepat Percaya Mitos!

Tak adil untuk kita melabel epidural sebagai penyebab sakit belakang kerana dakwaan ini adalah tidak berasas. Selain ibu hamil, epidural juga digunakan dalam pelbagai rawatan yang melibatkan pembedahan tak kiralah lelaki atau perempuan.

Ternyata, ramai yang amat berpuas hati dengan epidural. Malah, hampir semua yang pernah diberi suntikan epidural ingin melakukannya sekali lagi pada masa hadapan!

Apa yang orang lain cari?:

  • artis malaysia ambil epidural ketika bersalin
  • keburukan epidural semasa bersalin
  • suntikan epidural untuk apa
  • ubat tahan sakit bersalin

Jangan Meneran Bila Sembelit Ketika Hamil

“Stresnya aku nak ‘membuang’. Air dah cukup minum. Buah pun dah banyak makan. Nak makan ubat dan suplemen sebarangan takut tak sesuai dengan ibu mengandung pula. Aduh…. Tak senang duduk dibuatnya.”

Bila dah masuk bilik air, meneran boleh ambil masa berjam-jam. Nak keluar, belum selesai. Nak duduk lama-lama dalam bilik air, penat. Lagi-lagi kalau tandas cangkung.

Kehamilan adalah waktu yang membahagiakan. Perasaan tentang kewujudan si kecil di dalam perut memang sukar digambarkan sehinggakan kita sanggup mengharungi segala keperitan asalkan anak kita sihat.

Badan kita mula mengalami perubahan seperti mudah kembung dan sembelit. Masalah sembelit adalah biasa dalam kalangan ibu mengandung terutamanya pada awal kehamilan. Dengan cara yang betul, kita dapat membendung masalah sembelit dan badan akan menjadi lebih selesa.

Ikuti 7 tips atasi sembelit yang mudah ini.

Mudah-mudahan dapat mengurangkan rasa tidak selesa itu.

1. Lebihkan Pengambilan Serat

Sembelit ketika kehamilan sebahagiannya disebabkan oleh rembesan hormon yang membuatkan sistem pencernaan lebih relaks. Oleh itu, lebihkan pengambilan serat dan bijirin penuh dalam makanan yang kita ambil. Orang Inggeris kata, ‘fibre’. Cari makanan yang ‘high-fibre’

Selain itu, amalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam makanan untuk mengurangkan risiko. Makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Dengan cara ini, perut akan lebih selesa dan kurang berasa kembung.

 

2. Minum Air Secukupnya

Mengandung atau tidak, pengambilan air yang mencukupi sangat penting untuk badan yang sihat. Bila badan cukup air, sistem pencernaan dapat berfungsi lebih lancar.

Amalkan minum 8 geas air sehari. Bagi yang bermasalah sembelit, boleh cuba minum jus prun atau air dengan perahan lemon. Minuman jus ini dapat membantu melawaskan pembuangan kita.

 

3. Semak Semula Supplemen Kehamilan

Beberapa jenis supplemen kehamilan juga mengandungi bahan yang dapat membuatkan sembelit.  Baca senarai kandungan dalam supplemen yang diberi oleh doktor.

Jika ubat kita mengandungi kandungan zat besi yang tinggi walaupun anda tidak anemik, minta doktor untuk tukar supplemen kepada yang kurang kandungan zat besi.

Pengambilan zat besi menyebabkan sembelit kerana hanya sebahagian sampai ke pembuluh darah, manakala yang lebihnya pergi ke sistem pencernaan kita dan menyebabkan najis menjadi keras. Guna alternatif lain atas saranan doktor seperti supplemen herba yang tidak menyebabkan sembelit.

 

4. Lakukan Senaman Ringan

Mengandung bukanlah alasan untuk kita tidak bersenam. Lakukan senaman ringan seperti yoga atau keluar berjalan di taman rekreasi.bila badan lebih aktif, pergerakan usus untuk menghadam makanan lebih berkesan dan sembelit juga akan berkurang.

 

5. Amalkan Bakteria Baik

Bakteria baik amat berkesan untuk mendapatkan sistem penghadaman yang sihat. Dapatkan khasiat bakteria baik dengan pengambilan yogurt. Bakteria probiotik ini dapat mempercepat penghadaman makanan. Probiotik juga boleh didapati dalam bentuk suppelemen.

 

6. Amalkan Pemakanan Sihat

Apa yang kita makan semasa hamil sangat penting untuk kesihatan kita dan bayi. Amalkan diet yang seimbang dan sihat. Pemakanan sihat mampu membekalkan khasiat disamping mengubati sembelit.

Elakkan karbohidrat yang diproses seperti nasi putih dan pasta dan gantikannya dengan bijirin penuh seperti beras perang dan oat. Tambahkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang kaya dengan serat bagi sistem penghadaman yang efisien.

Kurangkan pengambilan minyak sayuran seperti minyak kelapa sawit dan marjerin. Gantikannya dengan minyak semulajadi dari avokado, dan mentega kacang.

 

“We are what we eat” adalah pepatah sesuai untuk menangani segala ketidakselesaan pada badan. Gaya hidup yang sihat amat penting untuk kesihatan tubuh badan.

Hal ini perlu dititikberatkan semasa hamil kerana kita adalah pembekal nutrien pada bayi. Amalkan diet yang sihat dan aktifkan diri dengan senaman ringan.

Minum air secukupnya dan lebihkan makanan yang kaya dengan serat untuk mengelakkan sembelit.

 

Rujukan:

  1. https://www.bellybelly.com.au/pregnancy/constipation-during-pregnancy/
  2. http://americanpregnancy.org/pregnancy-health/constipation-during-pregnancy/
  3. http://www.babycentre.co.uk/a549293/constipation-natural-remedies
  4. http://www.whattoexpect.com/pregnancy/symptoms-and-solutions/constipation.aspx
  5. http://www.babycenter.com/0_constipation-during-pregnancy_836.bc

 

Apa yang orang lain cari?:

  • adakah mengeran sembelit semasa hamil menyebabkan keguguran
  • teran ketika mengandung jika sembelit