,


7 Jenis Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Dalam Pantang

Foto Kredit: ezrylpark09.blogspot.my

“Bosannya asyik makan benda yang sama saja dalam tempoh berpantang. Kenapa banyak sangat pantang larang selepas bersalin ya? Masih relevankah semua pantang-pantang ni?”

Tempoh berpantang selepas melahirkan anak dianggap sebagai masa bagi ibu lepas bersalin untuk merawat dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Menurut laman web kesihatan MyHealth Malaysia, tiada pembuktian dari segi perubatan mahupun saintifik yang membuktikan bahawa ‘makanan-makanan pantang’ seperti dalam kepercayaan masyarakat Malaysia ini akan memberi kemudaratan kepada ibu lepas bersalin dan perlu dielakkan.

Namun begitu, mungkin ada beberapa pantang larang selepas bersalin yang patut ibu ketahui tentang berkaitan makanan dan nutrisi semasa dalam tempoh berpantang.

7 Jenis Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Dalam Pantang

1. Makanan Berlemak Tinggi

Pantang larang selepas bersalin menekankan pemulihan dan rawatan tubuh badan yang diperlukan oleh ibu. Makanan berminyak bukan saja menyukarkan pencernaan, ia juga menambahkan kuantiti lemak dalam tubuh.

Selain itu, makanan berminyak atau berlemak tinggi bukanlah pilihan bijak bagi ibu yang ingin menguruskan badan selepas melahirkan.

Foto Kredit: themotleyspicer.com

2. Kafein

Lazimnya kita dengar rungutan ibu lepas bersalin tidak dapat lagi menikmati kopi kegemaran mereka selama berbulan-bulan lamanya. Ini kerana terdapat kajian yang mendapati jumlah kafein yang terlalu banyak boleh menjejaskan penghasilan susu badan.

Pengambilan kafein yang berlebihan juga dijangka boleh menyebabkan dehidrasi tubuh anda di samping mengganggu kualiti tidur bayi dan mungkin membuatkan bayi meragam.

Namun, jika bayi anda tidak terkesan dengan kafein, bolehlah anda meminumnya dalam kuantiti minimum, iaitu 1 cawan sehari. Selain dalam minuman seperti kopi dan teh, kafein juga boleh didapati di dalam kebanyakan jenis coklat.

Foto Kredit: linkedin.com

3. Buah-buahan Sitrus

Dalam kepercayaan masyarakat Melayu, banyak juga buah-buahan yang dianggap ‘sejuk’ atau berbisa. Antaranya buah nenas, limau dan buah lai.

Walaubagaimanapun, perlu kita ingat bahawa pengambilan serat adalah amat penting untuk mengelakkan masalah sembelit, di samping menjadi sumber utama vitamin, mineral dan fitokimia dalam tubuh.

Jika anda menyusu badan, pakar laktasi menerusi BabyCenter berpendapat bahawa buah-buahan sitrus boleh menyebabkan masalah penghadaman bagi sesetengah bayi. Jika anda mendapati bayi kembung, muntah, atau tidak selesa selepas anda memakannya, eloklah anda mengelakkan pengambilannya.

Foto Kredit: labioguia.com

4. Kacang & Kekacang

Komponen alergenik yang ada dalam kacang mampu dipindahkan kepada bayi melalui susu ibu. Ada bayi yang alah terhadap kacang dan sumber kekacang. Maka, pastikan anda memakannya dalam kuantiti kecil terlebih dahulu.

Jika bayi tidak mengalami sebarang gejala seperti ruam, bintik merah, atau bengkak, maka bolehlah anda meneruskan pengambilannya secara sederhana.

pantang larang selepas bersalin
Foto Kredit: familyallergyasthmacare.com

5. Ikan Kering

Sering kita dengar ibu dalam pantang perlu mengelakkan ayam, daging, telur, dan ikan. Namun sebenarnya protein amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan. Sesetengah jenis ikan seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang pula dipercayai menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.

Akibat terlalu percaya terhadap pandangan ini, ada ibu-ibu yang hanya makan ikan bilis atau ikan kering semasa tempoh berpantang. Memetik daripada sebuah artikel perubatan Malaysian Medical Gazette, Dr Mahyuddin menjelaskan bahawa tanggapan bahawa makanan berprotein ini akan menyebabkan kegatalan serta nanah tidak dapat dibuktikan secara kajian saintifik,

Seeloknya, pilihlah sumber protein segar. Menurut sesetengah bidan juga, memakan ikan kering secara kerap boleh menyebabkan darah nifas berbau, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental.

Foto Kredit: retirednoway.wordpress.com

6. Makanan Segera & Minuman Bergas

Makanan segera, snek, dan minuman bergas tidak baik untuk kesihatan kerana kandungan nutrisinya yang amat rendah. Bahkan, ia memiliki kandungan gula yang terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk ibu berpantang.

Foto Kredit: eatthis.com

7. Jamu & Herba Tertentu

Sungguhpun anda bersemangat untuk mengembalikan badan kepada bentuk asalnya, bukan semua jamu dan herba sesuai untuk dimakan semasa dalam pantang. Ada yang menyebabkan bayi tidak serasi dan ada yang dikaitkan dengan penyakit kuning (jaundis).

Sebagai alternatif, anda masih boleh mengamalkan pemakaian tapel, param, dan pilis secara luaran untuk tetap menjaga kesihatan dalam berpantang.

pantang larang selepas bersalin
Foto Kredit: plus.google.com

Bersederhana Dalam Berpantang

Kunci utama pantang larang selepas bersalin adalah pengambilan makanan yang seimbang dan sihat. Sesetengah orang juga mempunyai ketahanan badan yang berbeza terhadap jenis makanan tertentu.

Seeloknya, pastikan setiap sumber keperluan nutrisi – protein, karbohidrat, serat, zat besi, dan sebagainya dipenuhi mengikut kuantiti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika was-was, anda boleh bertanya pada doktor tentang pengambilan makanan tertentu sepanjang tempoh tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cara Memandikan Bayi Baru Lahir, Untuk Ibu Bapa Baru

urutan ibu menyusu

Cara Banyakkan Susu Badan Melalui Urutan Oksitoksin