Bolehkah Berurut Ketika Hamil? Ini 6 Perkara Perlu Tahu

Mengurut sebagai cara untuk meningkatkan tahap kesihatan, mengurangkan stres serta lenguh-lenguh badan sudah menjadi tradisi sejak turun temurun. Lebih-lebih lagi ketika mengandung, badan mudah terasa lesu dan letih. Sebenarnya, terdapat kajian mendapati urut ketika hamil dibolehkan dan memberi kesan baik kepada ibu hamil jika kena pada caranya. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil tahu sebelum ibu hamil pergi ke sesi urutan pertama.

6 Perkara Perlu Tahu Tentang Urut Ketika Hamil

1. Pastikan Tukang Urut Diyakini & Diiktiraf

Sekarang memang banyak tukang urut yang menawarkan servis urutan untuk ibu mengandung. Tetapi tidak semua mempunyai pengetahuan lengkap tentang urutan antenatal iaitu urutan bagi ibu hamil. Urutan antenatal memerlukan kepakaran, pengalaman, serta latihan khas dan perlu mendapatkan pengiktirafan sebelum menawarkan khidmat.

Hal ini penting kerana, ketika mengandung sistem badan tidak sama seperti luar waktu mengandung. Badan ibu mengandung memberi tindakbalas yang berbeza terhadap rangsangan yang diberikan daripada persekitarannya kerana tahap hormon yang berubah dan kandungan darah dalam badan yang semakin meningkat.

Oleh itu, lakukan sedikit kajian dahulu serta dapatkan saranan daripada doktor bagi mendapatkan rawatan terbaik dan selamat untuk ibu mengandung dan kandungan.

2. Elak Urut Ketika Hamil Bawah 12 Minggu

Kebanyakan pakar bertindak untuk tidak mengambil risiko mengurut ibu yang hamil dengan kandungan seawal 12 minggu ke bawah.

Menurut sumber, mengurut pada trimester pertama tidak memberikan banyak manfaat kepada ibu mengandung serta dikhuatiri boleh menyebabkan keguguran.

3. Urutan Tidak Terlalu Kuat

Teknik urutan seluruh badan yang biasa dilakukan dengan urutan antenatal jauh bezanya. Bukan calang-calang orang dapat melakukan urutan kepada ibu mengandung. Dari posisi mengurut sehingga ke tahap tekanan dan cara urutan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mendapatkan kebaikan mengurut secara menyeluruh.

Pengurut yang baik perlu mengurut dengan tekanan yang tidak terlalu kuat dan bersifat ringan. Pakar urut juga perlu elakkan beberapa bahagian yang merangsang pengecutan rahim seperti di bahagian abdomen, pergelangan kaki serta tangan.

Hentikan sesi mengurut segera sekiranya mengalami rasa sakit di bahagian abdomen seperti mahu melahirkan (Braxton-Hicks contraction) dan dapatkan nasihat daripada doktor dengan segera.

4. Elakkan Mengurut Jika Anda Tergolong Dalam Kategori Berisiko

Walaupun urut ketika hamil dapat memberi manfaat tertentu, tidak semua wanita boleh berurut. Ini kerana tidak semua ibu mengandung mempunyai kondisi kesihatan dan fisiologi yang sama.

Antaranya ialah ibu hamil yang didiagnos dengan penyakit seperti darah tinggi dan preeklampsia, atau ibu mengandung yang pernah menghadapi kelahiran pramatang. Selain itu, ibu mengandung yang sering mengalami ‘morning sickness’ juga dinasihatkan untuk tidak mengurut.

Jika badan rasa tidak selesa, cukuplah sekadar mengurut bahagian kaki atau bahagian kepala secara sederhana.

5. Guna Minyak Urut Ketika Hamil Yang Selamat

Servis mengurut yang diiktiraf sering menawarkan beberapa teknik yang selamat bagi ibu mengandung di samping menggunakan minyak aromaterapi untuk mengurut.

Namun begitu, terdapat beberapa minyak yang perlu dielakkan kerana dapat menyumbang kepada pengecutan rahim seperti minyak oregano, pudina, basil dan rosemary. Minta pakar urut untuk gunakan minyak yang tidak berbau untuk urutan yang selamat.

6. Jangan Berurut Dalam Posisi Meniarap

Walaupun tempat urut ada menawarkan meja baring yang berlubang untuk ibu mengandung menyiarap, posisi ini dikatakan tidak sesuai kerana dapat mewujudkan tekanan pada bahagian abdomen serta tidak dapat memberikan keselesaan kepada bahagian uterus kerana regangan.

Ramai pakar bersetuju bahawa posisi terbaik bagi urutan ibu mengandung ialah mengiring kerana tekanan yang kurang serta memudahkan urutan dilakukan pada badan. Dapatkan maklumat tentang kemudahan yang diberikan semasa sesi rawatan sebelum memulakan urutan.

Kalau Tak Selesa, Hentikan Serta-Merta

Mengurut dapat memperbaik kesihatan semasa mengandung secara menyeluruh jika dilakukan dengan cara yang betul. Dengan saranan dan nasihat daripada pakar, mengurut dapat dijadikan rutin bagi penjagaan kesihatan ibu hamil dan memberi kesan sampingan baik dari segi kesihatan emosi dan fizikal.

Tetapi, jika terdapat sebarang kesan sampingan atau rasa tidak selesa, seeloknya urut ketika hamil tidak lagi diteruskan.

1 thought on “Bolehkah Berurut Ketika Hamil? Ini 6 Perkara Perlu Tahu”

Leave a Comment