5 Kebaikan Lulur Yang Menyegarkan. Boleh Buat Sendiri Di Rumah!

“Tadi Mak pesan kalau mandi guna lulur. Macam mana nak guna ya? Apa kebaikan lulur ni sebenarnya?”

Lulur atau skrub adalah bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama kulit-kulit mati akan turut tertanggal. Dengan tertanggalnya kulit-kulit mati yang kusam, kita akan berasa lebih segar dan terlihat lebih cerah.

Lulur sebenarnya bukanlah terhad untuk wanita berpantang saja, tetapi boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Namun, ia cukup banyak manfaatnya bagi wanita bersalin.

5 Kebaikan Lulur Bagi Wanita Bersalin

Berikut adalah kebaikan lulur untuk wanita selepas bersalin.

1. Memberi Kesegaran

Antara kebaikan lulur adalah membantu pori-pori kulit untuk mendapatkan rangsangan positif. Dengan ini, kulit dapat bernafas hingga ke lapisan kulit terdalam. Selepas bersalin, kita cenderung berasa letih, kusam, dan tidak selesa. Maka, melulur badan menjadikan badan terasa ringan dan lebih bertenaga.

Selain wanita bersalin, lulur juga sesuai bagi wanita yang lasak dan sering mengendalikan kerja di luar pejabat. Lakukan lulur beberapa kali dalam sebulan agar kulit terasa lebih segar dan bermaya.

2. Awet Muda

Seperti yang kita tahu, fungsi utama lulur adalah membantu pengelupasan kulit mati. Kulit baru yang lebih anjal dan sihat akan menjadikan penampilan kita tampak lebih awet muda.

Maka, tidak hairanlah lulur ini telah diamalkan oleh golongan atasan sejak berzaman lamanya. Jadi, teruskanlah amalan berlulur ini walaupun selepas tamat tempoh berpantang nanti.

3. Antara Kebaikan Lulur Ialah Mencerahkan Kulit

Sesetengah wanita mengalami banyak masalah kulit seperti ketiak hitam akibat perubahan hormon. Seiring dengan proses terhasilnya sel kulit yang baru, daki-daki akan menghilang dan khasiat bahan lulur yang digunakan juga akan diserap oleh tubuh.

Secara tidak langsung, khasiat semulajadi daripada bahan-bahan tersebut membantu tubuh bertambah cerah dan mendapat tona yang sekata. Bahkan, tampak lebih berseri setiap hari.

4. Menjadikan Otot Badan Lebih Relaks

Kebaikan lulur yang seterusnya adalah terhadap psikologi – di mana aroma semulajadi yang digunakan mampu merangsang suasana yang tenang dan relaks.

Dalam tempoh berpantang, mandi lulur dapat bertindak sebagai urutan dan gosokan lembut pada tubuh yang akan membuatkan otot badan menjadi lebih relaks.

5. Kulit Lebih Gebu Dan Mulus

Akibat perubahan hormon, kulit wanita terasa kering, kasar dan kusam. Hal ini boleh berlarutan sehinggalah beberapa bulan selepas tempoh bersalin. Dengan mandi lulur, bahagian kulit yang tidak sihat boleh digantikan dengan kulit baru.

Selepas berpantang juga, amalan mandi lulur ini sebaiknya diteruskan. Apabila dimakan usia, kulit akan mula kendur dan berkedut. Penggunaan lulur secara rutin setiap dua kali seminggu dapat menghindarkan masalah ini.

Cara Buat Lulur Sendiri Di Rumah

Terdapat banyak cara membuat lulur atau skrub sendiri di rumah. Antaranya:

i) Skrub Tradisional

Ramuan tradisional seperti beras ditumbuk bersama daun sirih, halba, akar wangi, jintan manis, cekur, kunyit kasturi, kunyit, halia, dan daun mengkudu. Tumbuk kesemua bahan sehingga halus dan menjadi serbuk. Paling sesuai untuk wanita berpantang.

ii) Skrub Kopi

Tumbukkan beberapa biji kopi sehingga halus. Skrub daripada biji kopi juga membantu menyingkirkan aroma kurang enak daripada tubuh selain memberi kesegaran luar dan dalaman. Skrub kopi lebih popular di negara Barat, mudah dibuat dan sesuai untuk kegunaan biasa.

iii) Skrub Buah-buahan

Skrub daripada buah-buahan yang dihancurkan atau dilenyek seperti betik, sengkuang, pisang, strawberry dan timun biasanya ditambahkan dengan sedikit gula. Gula ini akan bertindak membantu proses pengelupasan kulit dengan lebih berkesan.

Setelah menyediakan mana-mana jenis skrub di atas, tambahkan sedikit air pada bahan lulur ini dan sapu pada badan semasa mandi. Ia boleh disapu sebelum atau selepas mandi.

Lakukan Ikut Selang Masa Yang Sesuai Untuk Mendapatkan 100% Kebaikan Lulur Dan Manfaatnya

Sebenarnya tubuh kita sudah punya mekanisme sendiri untuk mengganti kulit secara semulajadi. Penggunaan lulur ini membantu menjadikannya lebih efisyen jika dilakukan dengan betul.

Sungguhpun begitu, sebaiknya lakukan lulur ini dua kali seminggu saja supaya lapisan pelindung kulit  tidak turut sama mengelupas bersama pigmen kulit. Jika dilakukan setiap hari, kulit boleh terdedah kepada iritasi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkulit sensitif.

Leave a Comment